Hari ni bermula tahun 2010. Dah masuk tahun ke sepuloh alaf baru. Malam tadi berlaku gerhana bulan yang kita terlupa, tak ada rezeki walau kita ingat siangnya dan malam tadi juga masyarakat dunia meraikan kedatangan tahun baru. Kita terjaga dari tidor apabila bunyi dentuman bunga api bermula menandakan tahun baru. Begitulah suasananya di Malaysia ni... hebat betul menyambut tahun baru. Dan kita terbayang suram warna cahaya gerhana dan gemerlap warna cahaya bunga api. Satu ciptaan Allah dan satu ciptaan manusia. Bunga api boleh bakar bila-bila masa dan gerhana bulan dan matahari berlaku mengikut putaran alam yang telah ditetapkan Nya.
Terbayang pula berapa ramai yang berkumpul di masjid surau untuk sembahyang sunat gerhana dan berapa ramai yang berkumpul untuk meraikan tahun baru. Pastilah meriahnya majlis dunia akan mengatasi majlis akhirat. Berapa ramai yang berusaha mengumpul kekayaan dunia berbanding dengan yang berusaha mengumpul keselesaan dan kekayaan hidup akhirat? Sebab kalau kita tengok pun senario hari ini, manusia boleh buat persiapan berbulan-bulan lamanya untuk memastikan sesuatu majlis berjalan lancar, meriah seronok, bertungkus lumus bekerja siang malam...tapi berapa ramai yang menyiapkan diri untuk solat selama 3 minit 5 kali sehari. Kalau yang sembahyang pun, cepat sangat... jarang yang pergi gosok gigi dulu, bersihkan diri baik-baik dan berpakaian cantik dan bersih untuk sembahyang. Tapi kalau nak pergi majlis-majlis dunia, gosok gigi sekurang-kurangnya 3 minit, berkumur baik-baik, cuci muka bersih-bersih, pakai wangi-wangian dan baju cantik. Sembahyang pakai kopiah bertahi lalat, kain pelekat lusuh dan baju melayu lama.
Yang perempuan pun lebih kurang jugak. Kalau baju kerja dan baju berjalan semuanya mahal dan cantik belaka...telekung dan sejadah, nauzubillah, kalau nak pinjam pun segan...barang lain semua branded belaka... itulah kita. Lebih seronok mengejar kilauan bunga api yang hilang lesap sebaik saja muncul, berbanding menginsafi gerhana bulan yang berlaku kerana keagungan dan kekuasaan Allah. Bulan yang muncul saban malam dari bulan sabit ke bulan penuh dan sebaliknya sehingga hilang beberapa hari dan muncul kembali. Berapa lamakah bulan telah berbuat begitu....dan sampai bilakah ia akan buat macam tu. Dengan putaran bulan itu juga masa beredar dan berubah.
Kita melihat anak-anak hari ni, terkejar-kejar bersiap sedia menyambut perayaan tahun baru. Sedih hati kita. Anak-anak inikah yang akan mendoakan ibu bapanya kelak? Doa anak-anak ini makbulkah nanti? Sebab bukan doa anak sahaja tapi doa anak yang soleh dan solehah! Walaupun perangainya lemah-lembut dengan ibubapa dan ahli keluarga, pergaulannya bebas, auratnya terdedah, sembahyangnya tak jaga.... kat mana kita nak cari ciri-ciri soleh dan solehah itu? Kita jadi sedih. Anak kita pulak asyik main game aje. Tak keluar rumah tapi tak berenggang dengan tv dan game. Sembahyang kena suruh, tidur kena kejut....entahlah! Bila di tegur, diam tak menjawab tapi buat tak tahu aje. Mati akal kita!
Kita pun jadi keliru. Kita berdoa juga agar dia jadi anak yang soleh dan tak akan meninggalkan solat walaupun tak ada depan mata kita. Kita harap jugak tahun baru hijrah dan masehi ini menjadikan kita semua lebih baik. Semoga apapun akhirat lah juga yang akan diutamakan kerana pastinya dunia akan mengekori dari belakang. Tapi kalau kita mengutamakan dunia, akhirat akan tinggalkan kita jauh-jauh! Semoga kita semua memahami hakikat kehidupan dan hakikat kejadian kita semua sebagaimana bulan ada terang, gelap dan gerhana...bukan seperti bunga api yang terang indah hanya seketika dan hilang begitu saja!
Friday, January 1, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment