Kita mengakulah beberapa minggu lepas, kita duduk rumah banyak masa kita guna untuk melayari laman sesawang -internet. (Fuyoo....bahasa baku)! Bukan sebab apa tetapi sebab kita rasa nak mencari peluang perniagaan yang tak menyusahkan dan tak memenatkan. Kalau boleh dapat duit banyak kan best! Boleh bayar semua hutang dan kalau cukup boleh bawa keluarga pergi haji – jadi mahram, ramai-ramai, boleh berhenti makan gaji. Ada juga cita-cita macam orang lain – nak tolong orang. Kita bertemu banyak betul tawaran dalam bidang perniagaan secara internet ni. Masalahnya ialah kita ada baca dan bincang juga tentang hukum sesetengah cara mendapatkan keuntungan melalui perniagaan internet dan ada yang haram apabila kita buat perniagaan yang memerlukan kita cari orang-orang bawahan yang kemudiannya menambah bilangan melalui orang-orang bawah, kita hilang keyakinan. Kemudian kita melihat paparan gambar-gambar orang yang dah kaya melalui perniagaan laman sesawang ini, ada yang tunjuk gambar duit dalam kotak, duit atas meja, duit dalam mulut ( Amaran: tindakan gigit duit ni tak berapa baik sebab duit ni banyak tangan yang pegang walaupun duit baru, jadi ada banyak bakteria dan bayangkan apa-apa yang mungkin telah disentuh oleh tangan-tangan yang pegang duit sebelum duit tu dapat kat tangan kita ....eeee!)kita rasa terpesona seketika.
Apapun, kalau ada rezeki kita memang berminat tetapi biarlah mengikut apa yang dibenarkan agama bukan kerana kita terpesona dengan keindahan dunia ni. Kita juga bimbang kalau dengan kekayaan datang pulak rasa sombong, bongkak, takbur dan rasa bangga, ujub, taksub dengan kekayaan dan kebolehan diri mencari duit dan membuat duit. Bila kita baca kenyataan-kenyataan yang semacam mengutuk orang yang makan gaji, kita rasa macam sedih je. Orang yang dah dapat duit banyak ni macam lupa je bahawa semua yang kita dapat dan miliki kalau nak hilang boleh hilang macam debu ditiup angin je. Ramai juga orang yang makan gaji hidup selesa sampai ke akhir hayat walau tak kaya raya pun. Dan ramai juga orang yang berniaga dan pernah kaya raya, akhirnya hidup melarat dan miskin.
Kadang-kadang kita terfikir tentang mencari kekayaan dunia dan kekayaan akhirat kita adakah seimbang. Sebab kita pernah melihat orang yang qada sembahyang sebab terlepas waktu kerana nak dapatkan pelanggan. Ada juga yang sembahyang zohor di hujung waktu dan terus sambung asar sebab tak nak buang masa, rugi perniagaan kalau tinggal lama-lama. Masih okay lagi berbanding yang terus meninggalkan kewajipan sebagai hamba ALLAH kerana mengejar kekayaan dunia. Dan kita juga melihat orang-orang yang sembahyang nya sangat laju dan pantas sebab itulah.... sayang kalau tinggal kedai nanti pelanggan lari.
Susah sebenarnya nak dapat kekayaan dunia ni berbanding kekayaan akhirat kalau kita kaji betul-betul. Nak kaya akhirat, senyum pun dapat ganjaran, tolong buang sampul gula-gula dalam tong sampah dapat ganjaran. Itu yang kecil-kecil je. Kalau taat dan bertanggungjawab pada ibu bapa, rajin tolong orang, suka merapatkan silaturrahim, berpesan perkara yang baik, boleh jadi hartawan. Nak lagi banyak baca Al Quran satu huruf pun dah ada mata, kalau satu baris, satu muka surat, satu surah, satu juzuk, satu naskah......sah jadi jutawan! Nak kaya lagi...ada macam-macam lagi. Sambil duduk tengok pokok dan langit dan ingat ALLAH je pun.... tak cukup satu dua buku akaun...kaya tu oooiii......Jangan pulak nanti kita kaya kat dunia miskin dan papa di akhirat dan lebih parah kalau kat dunia tak kaya kat akhirat pun tak kaya...melara..ngeri!
Tapi kalau kaya dunia menambah kekayaan akhirat.... alangkah baiknya.. pasti rahmat ALLAH sentiasa bersama kita. Dan nak dapat kekayaan sebenar iaitu syurga juga hanya dengan rahmat ALLAH kan! Kita ada banyak lagi cita-cita yang belum tercapai dan semoga segala yang baik untuk dunia dan akhirat akan dapat kita capai.
Saturday, January 23, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment