Kita pernah tulis sesuatu yang similar dengan entry ni.( 2009/07/how-i-wish.html ). Tapi hari ni kita nak menambah sedikit tentang kebiasaan yang menimbulkan kebosanan. Mengapa kita jadi bosan dengan sesuatu atau seseorang apabila kita sudah terlalu biasa dengannya. Dan bagaimana pula kalau kita minat dengan sesuatu, kita boleh terus meminatinya walaupun ia adalah benda yang sama sahaja walau berapa lama pun jangkamasanya. Sebagai contoh, ada orang minat tengok filem-filem tertentu boleh menonton filem yang sama berulang-ulang kali…tak bosan pun! Tengok siri televisyen, hero dan heroin sama saja, boleh agak jalan cerita tapi tak bosan pun. Kenapa kita boleh buat semua tu dengan penuh minat tapi kita tak boleh perbaharui minat kepada pasangan kita sehingga tiada waktu membosankan ketika bersama? Sama juga kalau makanan yang kita gemari, kita boleh ulang makan berkali-kali tanpa jemu walau kita tahu macamana rupanya, bagaimana rasanya, kat mana nak dapat dan sebagainya.
Ada orang kata bosan dengan perangai yang sama, tak berubah, mudah dijangka, tiada kejutan…semuanya hambar. Sampaikan dalam hubungan intim pun dah tak ada seronok lagi sebab dah boleh agak dan jangka setiap geraklaku. Apa masalah yang dihadapi sebenarnya? Ada yang kata dia malas nak fikir, tahan sajalah perasaan sebab tak akan ada apa pun yang akan berubah dan keadaan hidup pun selesa saja, tak kuasa. Tapi mengapa merungut? Mengapa menyuarakan rasa tak puas hati ini pada orang lain? Katanya dah puas bincang, dah penat cakap, dah letih! Dan yang lebih menyedihkan ialah, ada yang menjalinkan hubungan dengan orang lain kerana tak kuasa nak atasi masalah rumahtangga, tak mahu berpisah kerana nanti banyak masalah dan masih ada rasa sayang!
Kita yang memerhati merasa sedih. Mungkin kerana pengalaman pahit kita dan kerana kita melihat kekurangan, kelemahan dan keangkuhan manusia untuk melihat kedalam diri, begitu juga dengan tiada kesungguhan pun menceriakan kembali hubungan yang hambar yang berlansung hanya kerana nak jaga hati anak-anak dan mengelakkan kesulitan lain. Mengapa mudah benar kita berpaling dari janji setia, sumpah dan ikrar perkahwinan yang dilafazkan dahulu. Tiada nilaikah kenangan yang dikumpul bersama, tiadakah harga bagi segala kebaikan walau sekadar membancuh secawan kopi sebelum kita keluar bekerja? Lenyapkah segala perlakuan yang dulu kita hargai, pertolongan sedikit walau hanya berupa tenaga menyidai kain kerana kita tak sempat, buatkan sandwich untuk makan tengahari kita di pejabat, cuci tandas dan bilik mandi bila kita terlupa?
Hanya kerana kita merasa bosan dan ada pula orang lain beri kita perhatian dan ucapkan cinta, kita biarkan hubungan suci suami isteri itu tiada nilai dan harganya? Kita abaikan orang yang telah menemani kita bertahun-tahun lamanya kerana kita berjumpa kawan istimewa yang beri kita perhatian? Itulah salahnya kalau kita memandang enteng, mengambil mudah, taking things for granted! Takut nanti yang dikendong keciciran yang dikejar tak dapat!
Bercakap tentang kehilangan apa yang kita miliki dan terlepas apa yang kita kejar, kita teringat pertemuan kita dengan seorang kawan masa belajar tahun 80 an dulu dalam facebook. Dia tanya kita tentang hubungan kita yang terlerai, bagaimana dia bertemu dengan bekas suami kita…(yang beria-ia nak jumpa dia)…tapi lepas tu memburukkan kita dengan macam-macam fitnah. Kita pun terasa pelik sungguh. Mengapa tak habis-habis dia nak fitnah kita. Dulu dia yang ceraikan kita…lepas tu dia gila talak sampai kita jadi takut dan seram nak keluar rumah sebab kita tak mahu kembali, sebab istikharah kita semuanya gambaran yang buruk belaka…. Tapi selepas edah kita berkawan dengan dia. Kita maafkan segala yang berlaku sebab kita merasa kekurangan kita sehingga dia mencari makan diluar tapi dia tak habis-habis burukkan nama kita, rosakkan maruah kita.
Apa lagi yang dia nak dari kita, dah bertahun-tahun lamanya berpisah. Dia pun dah kawin lain, kita tak kacau dia pun. Dulu dia merayu untuk kembali membina hidup bersama semula selepas bercerai, mengakui dia bersalah tapi dengan semua orang dia burukkan kita. Bila kita dah bercerai, dia pun tak dapat kawin dengan kekasihnya sebab dia masih isteri orang. Sekarang kita tahu segala jalan kehidupannya tapi kita tak mahu ganggu dan kita diam sahaja walaupun kita boleh juga bercerita. Mengapa dia buat kita macam tu lagi. 16 tahun kita hidup dengan dia. Beribu hutang dia kita bayar….entahlah! Bahagiakah dia agaknya? Kita sebenarnya malas nak tulis cerita peribadi begini tapi kita rasa sedih dengar cerita yang dah lama berlaku tapi masih terus diperkatakan dan yang lebih buruk….fitnah terhadap kita….pernahkah agaknya dia sayang kita dulu….
Balik kepada kebiasaan yang menyebabkan kebosanan. Mungkin pengalaman kita tak ada kena mengena dengan kita bosan,mungkin dia bosan dengan kita…. tapi sayangilah rumahtangga dengan berusaha untuk menjadikannya menarik walaupun dah lama bersama jangan nanti menyesal lepas tu tak dapat pujuk orang kembali, fitnah dan burukkan bekas pasangan dengan macam-macam cerita.
No comments:
Post a Comment