Friday, April 9, 2010

Hanyalah DIA tempat mengadu!

Dua tiga hari ni kita merasa sedikit tertekan tetapi insyaallah dah berakhir perasaan itu. Ujian nya hanyalah dengan kehadiran seekor monyet kecil warna kelabu di kawasan rumah kita. Dia pernah masuk dalam rumah sekali tapi tak ambil apa-apa. Cuma langgar beberapa barang sahaja…terbalik. Dua hari lepas,bila kita balik dari senaman pagi kita, untuk bersiap nak pergi pejabat, kita masuk rumah tengok botol-botol makanan semuanya atas lantai, buah mangga kita yang masak atas sinki hilang sebiji….kita rasa suspen jugak. Tapi tak apalah. Kita pun memanjat tutup satu lubang tingkap pecah kat tepi balkoni. Tapi petang bila kita balik rumah sekali lagi lebihkurang jam 6.15, rumah kita lagi teruk keadaannya dan monyet tu berak dalam rumah! Aduhai, kita rasa takut dan bimbang! Kita memanjat lagi cari mana lubang masuk monyet tu. Mungkin saiznya yang kecil memudahkan dia masuk walau ada sedikit bukaan kecil.

Kita kemas beg kecil pergi tidur kat rumah adik. Hati terasa sedih dan merasa benar keseorangan dan ketidakupayaan kita menghadapi situasi macam tu. Dan sedih sebab kita dah buat aduan semasa pertama kali dia masuk. Tiada tindakan. Dalam keadaan ini kita merasa kecewa sebab kita berharap dengan manusia untuk selesaikan masalah monyet tapi tiada penyelesaian. Memang orang lain dengar hanya gelak dan buat lawak tentang monyet tu suka kat kita la, datang melawat kita la…blah, blah, blah.. Tapi kita takut dengan monyet tu. Memang itu hanya monyet kecil tapi kita pernah halau dia dari balkoni, dia tunjuk giginya pada kita. kita merasa begitu lemah dan sedih, hanya kerana seekor monyet kecil…ujian!~

Jadi semalam kita pergi kedai hardware, beli jaring dan dawai. Kita akan panjat dan usahakan sendiri. Allah sahaja pelindung dan penjaga yang tak akan mengecewakan. DIA dah bagi kita akal dan kudrat, lebih baik bergantung dan mengharap pertolonganNYA daripada pertolongan sesama manusia. Lepas tu kita buat apa yang termampu untuk tutup segala ruang yang mungkin boleh dimasuki oleh monyet kelabu kecil tu. Lepas tu kita basuh kain-kain dan baju yang kita rasa telah dicemari monyet. Kita mop lantai, cuci dan lap perabot, cuci pinggan-mangkuk kat dapur dan buat apa yang patut. Penatnya!

Pengajarannya adalah lebih baik kita berusaha dengan apa yang Allah anugerahkan kepada kita…brain and brawn! Lepas itu kita bertawakkal. Sebabnya sehingga hari ini tak ada pun perangkap yang dikatakan akan dipasang. Begitulah bila meletakkan harapan kepada sesama manusia…seringkali kecewa. Kita dah lama hidup sendiri dan hampir setiap waktu kita berdikari, Alhamdulillah! Tapi kita hanya manusia biasa yang ada kalanya'merasa' tak mampu nak buat semua benda sendiri…walaupun sebenarnya kalau kita usahakan, insyaallah boleh! Mungkin hasilnya tak sebaik atau secantik hasil tangan seorang lelaki yang secara semulajadi harus lebih gagah dan lebih mantap dari segi keupayaan dalam kerja-kerja begini.

Allah tak akan membiarkan kita dalam keadaan begini tanpa membekal dan mempersiapkan kita dengan keperluan hidup. Itulah yang kita pelajari, tapi nafsu manusia, kita terasa sedih juga sebab hanya seekor monyet kecil, fikiran kita terganggu, penumpuan kita hilang, keberanian kita tercabar dan keyakinan kita tercalar. Lemahnya kita. Apapun kita berdoa semoga monyet tu tak datang lagi. Semoga Allah beri kita semua kekuatan untuk melalui kehidupan ini walau apapun keadaannya. Semoga kita semua selamat dunia dan akhirat. Amin.

No comments:

Post a Comment