Menghargai dan menghormati perbezaan kita. Itulah yang kita pelajari hari ini selepas habis ceramah walau ceramah itu lebih menjurus kepada pendidikan khas, tentang keperluan khas yang berbeza bagi setiap perbezaan masalah yang dihadapi oleh OKU. Kita melihat manusia yang dilahirkan cukup sifat dan tidak mempunyai kecacatan dari segi otak dan jasad sebagai individu yang sebenarnya memerlukan pendekatan yang berbeza. Sudah pasti mereka yang dilahirkan 'istimewa' dengan kekurangan mereka memerlukan perhatian yang lebih berbanding yang biasa…tapi itu adalah suatu perkara yang rasanya disedari secara lansung oleh semua orang. Tapi bagaimana dengan manusia biasa yang cukup sifat seperti kita?
Dari segi keperluan asas, cacat atau tidak, istimewa atau biasa, semua orang memerlukan makanan, tempat tinggal, kasih sayang…blah…blah…blah. Tapi dari segi kemahuan perkara yang sama juga berlaku. Apa yang berbeza adalah orang seperti kita mungkin dapat mengawal diri dan berkompromi, memahami dan bersabar, dan pelbagai tindakan waras lain andainya kemahuan kita tidak diperolehi.
Apapun adakah selama ini kita menyedari dan menghormati perbezaan yang terdapat diantara kita? Adakala kita berkawan dengan seseorang bertahun-tahun lamanya dan kita memahami benar perangai kawan kita tu. Kita boleh jangka apa tindakan dia dalam keadaan tertentu, apa makanan kegemarannya, siapa yang dia suka, apa yang dia benci, warna apa yang dia pilih tapi kita kadang-kadang terlepas pandang tentang orang yang sangat hampir dengan kita. Ataupun sebenarnya kita faham dan kita tahu perangai dia tapi sebab kita lebih suka cara kita, maka kita buat tak endah sahaja.
Itu mungkin tanda kita sebenarnya tidak menerima dia seadanya. Kita berharap dia mengikut cara kita sahaja…kita tidak menghormati dan menghargai dia seadanya. Kita terlupa sebenarnya segala perbezaan ini adalah ujian Allah kepada kita. Bagaimana kita menangani ujian ini, dan apakah senjata paling besar untuk menghadapi segala ujian? Itulah sabar. Sabar itu memang susah, memang pahit tapi hasilnya sangat manis.
Dalam kehidupan siapakah yang tidak diuji? Cuma bentuk ujian itu berbeza. Ada yang diuji dengan kemewahan, kesenangan,kebahagiaan lalu terlupa (bahaya sungguh ujian ini), ada yang diuji dengan penyakit, kesusahan, kesedihan…, ada yang diuji dengan anak, isteri, keluarga dan sebagainya. Sabarkah kita dengan segala ujian ini? Sabarkah kita menghadapi kerenah manusia yang berbeza sehingga akhirnya kesabaran itu memberi kemenangan kepada kita? Ya benar, kalau kita sabar dengan orang lain, insyaAllah, akhirnya orang juga akan bersabar dengan kita. Orang akan menghormati dan menghargai kita kerana sabar kita menghormati dan menghargai perbezaan kita. Apapun wajib kita berusaha mendidik jika perbezaan yang ada itu negative tetapi pastilah dengan cara yang berhikmah. Itulah senjata kita…sabar dan hormati dan hargai orang lain juga walau bagaimana berbezanya mereka.
No comments:
Post a Comment