Thursday, April 1, 2010

Adakah kita lalai?

Dah lama kita tak menulis sesuatu yang kita rasa bermakna. Kita bukan malas tapi macam tak ada apa perasaan nak menulis walaupun ada macam-macam benda yang kita lalui dan perhatikan yang kita rasa boleh tulis. Entahlah. Ilham yang baik Allah juga yang memberi, mungkin kita ada buat maksiat yang kita tak perasan atau buat tak endah sahaja sehingga akal kita jadi tumpul dan minda kita kurang aktif memikirkan perkara yang boleh mendidik jiwa.

Satu lagi masalah adalah kita rasa tahap penglihatan kita juga sudah mula merosot. Kalau kita membaca tak boleh lama sebab pandangan kita menjadi kabur dan kita sakit kepala. Bila kita pakai cermin mata, kita jadi pening. Mungkin kita perlu jumpa doctor mata untuk tambah power cermin mata kita. Tadi kita tengok rakaman cctv yang ada kat stesyen minyak BHp Taman Midah waktu kemalangan maut yang berlaku awal minggu ni. Tak jauh dari rumah kita. Kita rasa sedih masa kita dengar dalam radio berita kemalangan tu, bila kita tengok kita pun keliru mengapa laju benar kereta myvi tu masuk ke kawasan pam minyak. Mungkin ada penjelasan pemandunya, tapi kita rasa dalam suasana biasa, agak ganjil untuk masuk begitu laju.

Memang tidak dinafikan ajal maut itu adalah ketentuan Allah. Siapakah yang boleh tahu dengan pasti tentang saat kematian dan bagaimana ia akan berlaku. Kalau nak fikir pun mungkin boleh menyebabkan kerosakan otak sahaja…bagi orang-orang yang mengalami masalah kebimbangan keterlaluan. Apapun, setiap kejadian yang berlaku merupakan pengajaran bagi kita yang berakal dan masih hidup ini. Memang mudah mengungkapkan kata maaf jika kita telah melakukan sesuatu perbuatan yang melukakan atau menyakiti orang lain tetapi kesan yang tinggal pada keluarga mangsa, pastinya sangat hebat dan sukar untuk diungkapkan.

Macamana kita nak elak kelalaian sehingga menyebabkan kita jadi punca kematian. Kita pun selalu lalai! Kita pun lalai juga semasa memandu minggu ni. Hari selasa kita pergi kajang renew paspot kita…masa nak keluar gesel dengan kereta yang park kat tepi jalan sebab rapat sangat dengan kita… salah kita juga sebab kita tak sabar nak keluar, calar sebelah penumpang….duniawi. Pemandunya tak ada dalam kereta, kita pusing semula sebab nak tengok kalau teruk kereta tu, tapi tak ada apa pun yang rosak atau kemek atau calar…hanya kereta kita je…Alhamdulillah!

Tapi kita tak pernah sangka kita akan buat benda macam tu…bila dah berlaku baru kita sedar yang kita tidak cukup berhati-hati. Pengajaran yang kita dapat adalah jika kita merasa kita sudah cukup hebat, pasti sesuatu yang tak dijangka akan berlaku…buktikan yang kita sebenarnya tak hebat lansung. Contohnya kalau kita rasa kita boleh mengawal kereta yang kita pandu dengan baik, adakah kita yakin kita mampu mengawal tindakbalas badan kita pada keadaan tertentu. Macam mata kita yang kabur semacam je minggu ni, suara kita yang tak keluar, walau kita tak demam…tapi lepas tak ada suara 4 hari baru mula batuk…semua tu kita tak mampu mengawalnya.

Lalu sebagai manusia yang sedar diri, seharusnya kita berhati-hati pada setiap masa terutama ketika dalam kelompok ramai dan mengendalikan alatan yang mungkin membahayakan nyawa orang lain. Kita bayangkan kalaulah ada orang kat tepi kereta yang kita gesel tu, kereta kita tak akan kemek tapi apa akan jadi kat orang tu ye? Dan kita dah lama memandu, bayangkan pemandu muda yang baru dapat lesen memandu laju, sebelum tu dah langgar seorang penunggang motorsikal. Entahlah. Mungkin dia pun macam kita. Mata dah kabur, kepala sakit, batuk teruk sampai tak dapat tumpuan ketika memandu.

Apapun, semoga dengan apa yang berlaku dia menjadi seorangn insan yang lebih baik dan mendapat pengajaran yang berharga untuk dunia dan akhiratnya. Dan untuk keluarga mangsa, doa kita semoga tabah dengan musibah yang menimpa. Tenanglah dengan janji ALLAH bahawa setiap kesedihan dan kesakitan akan diberi ganjaran pahala yang tak ternilai dan ada hikmah dan kebaikan bagi setiap yang berlaku.

No comments:

Post a Comment