Friday, April 23, 2010

Bermulalah Dengan Diri Sendiri

Kita selalu menasihati orang lain. Adakah nasihat itu kita gunakan untuk diri kita juga. Sebabnya orang yang menasihati orang lain seharusnya menasihati diri sendiri juga. Kadang-kadang kita mendengar dan menerima nasihat dari orang lain, kadang-kadang kita memberi nasihat kepada orang lain, kadang-kadang kita minta nasihat daripada orang lain atau orang meminta nasihat daripada kita. Semua itu memang baik dan orang yang beragama memang perlu saling nasihat-menasihati…(banyaknya perkataan nasihat). Kebanyakan masa memang nasihat baiklah yang akan kita terima. Ada juga nasihat yang tidak menolong atau membina sebaliknya menghancurkan sahaja.

Kenapa kita nak cakap tentang isu nasihat ni? Sebab kita melihat orang yang mempunyai kedudukan tinggi dalam sebuah organisasi memberi nasihat dan perangsang kepada warganya tapi peribadinya sebaik beredar dari pentas berucap lansung tidak menggambarkan orang yang mengamalkan apa yang dinasihatinya. Memang ada pepatah yang mengatakan "dengar apa yang disampaikan, bukan siapa yang menyampaikan" tapi apakah nilai nasihat yang tidak diamalkan sendiri oleh orang yang memberi nasihat?

Sebagai contoh apabila kita dinasihatkan supaya bersabar di tempat kerja dengan kerenah rakan-rakan sepejabat, dengan kemudahan yang kurang lengkap dan tidak selesa…..penasihat meleteri pembantunya yang lambat menuangkan air sebaik saja dia habis berucap! (Hai..tuan penasihat….berapa persen?) isy..isk..isk…baru je tadi suruh orang sabar, kenapa depan kelompok yang sama marah orang tuang air lambat?

Itulah 'cakap tak serupa bikin'! Kalau sebelumnya orang merenung dan memikirkan hikmah dari ucapannya, tapi selepas itu orang memandang dia sebagai hipokrit yang cakap saja lawa, diri sendiri jelek walau mungkin rupa paras tiada yang kurang. Apabila orang-orang bawahan mengadu tentang kerosakan kemudahan yang ada ditempat kerja, mereka disuruh bersabar tapi kalau kemudahan yang melibatkan keselesaannya terjejas, dengan pantas tindakan diambil. Untung jadi orang berpangkat dan berkuasa, boleh pastikan keselesaan diri sendiri terjaga, beri kata-kata janji menyedapkan hati orang bawahan lepas tu peduli lah apa nak jadi pada mereka.

Itulah keadaan hidup hari ini. Kita selalu menyuruh orang lain tapi tak suruh diri sendiri. Kita sentiasa salahkan orang lain tak pernah salahkan diri sendiri. Kita melihat segala kelemahan dan keburukan orang lain bukan menilai kekurangan dan kelemahan diri sendiri. Berapa orangkah yang gagal dalam hidupnya akan duduk dan menilai keadaan bermula dengan diri sendiri berbanding menilai orang lain dan faktor-faktor lain yang dirasa menyebabkan kegagalan itu? Kita tak tahu jawapannya. Tapi kita kerapkali berjumpa orang yang menyalahkan orang lain bukan diri sendiri dan orang yang tak rasa dirinya bersalah lansung dalam apa-apa keadaan pun.

Sebagai contohnya, seorang pemandu lori yang tak memberi isyarat masuk simpang kecil, menyalahkan lampu isyarat lori yang rosak apabila kemalangan berlaku….seorang pemandu mati kerana melanggarnya dari belakang…tapi dia tengok ke cermin belakang sebelum masuk simpang tu? Tak boleh ke dia guna isyarat tangan dan berhenti sekejap sebelum tiba-tiba masuk sedangkan kereta belakang sedang cuba memotongnya kerana tak sangka lansung dia nak belok ke kanan. Simpang ladang tepi jalan bukan ada tanda amaran pun. Orang yang biasa jalan tu, mungkin tahu ada simpang, kalau orang yang baru lalu? Bila tanya, sekali pun tak dengar dia kata, "salah saya tak tengok belakang, tak bagi isyarat dan tak berhenti sekejap"….yang ada…"lampu signal rosak, mana saya tahu kereta tu nak potong, saya biasa keluar masuk ladang ni, dah bertahun tak pernah ada kemalangan macam ni. Dah ajal dia macam tu!"

Tiada pun melihat pada kelalaian diri sendiri sebagai penyumbang kepada kemalangan itu. Tak mahu mengakui kesilapan dan memberi berbagai sebab lain yang menjadi punca…itulah sifat manusia yang kadang-kadang nak melepaskan diri dengan mudah. Tiada kesalahan diri sendiri! Begitulah dalam organisasi. Kalau kepimpinannya tidak mampu menasihati diri sendiri,mengenal pasti dan mengakui kelemahan diri, mana mungkin dia membetulkan orang lain. Akhirnya, organisasinya akan pincang, akan banyak masalah timbul.

Kalau kita tidak dapat menerima kelemahan kita sebagai manusia yang tidak sempurna, maka kita hanya akan melihat kelemahan orang lain sahaja dan merasa diri kitalah yang paling sempurna. Semoga kita semua menjadi penasihat yang terbaik untuk orang lain dan diri sendiri. Untuk melihat perubahan, kita mesti berubah…perbaiki diri kita…insafi kekurangan kita… dan hargailah orang lain!


 

No comments:

Post a Comment