Saturday, April 24, 2010

Tempat jatuh pasti dikenang

Seminggu dua ni bertemu ramai kawan lama di alam virtual….(zaman jahiliyah kita…ketika hati kita dihijab dengan titik hitam …nauzubillah …semoga Allah ampuni kita). Zaman remaja kita yang tidak kita banggakan namun kita sangat menghargai persahabatan yang kita temui dulu dan bagaimana kita semua dewasa bersama masa, dan insyaallah memahami maksud dan tujuan kewujudan di alam fana ini, walaupun perjuangan melawan hawa nafsu ini memang jihad yang perlu sentiasa kita lalui dengan harapan dan doa yang tidak pernah putus.

Ada kawan cakap kat kita bahawa mencari dan mengembalikan semula kenangan lama itu ibaratnya orang yang tak ada matlamat hidup. Bahawa masa bergerak ke depan, bukan ke belakang. Tak perlu nak cari, kalau ada pertemuan, pasti bertemu. Mungkin ada kebenaran katanya itu berdasarkan pengalaman dan pemahamannya. Sebenarnya kita tidak juga mencari walau kita gembira apabila bertemu.

Kita pun tak mahu mengingat kisah lama apatah lagi yang buruk, umpama menggali kubur dan bawa balik mayat yang dah busuk balik ke rumah. (Dlm buku Jangan Bersedih kita baca ni!) Tapi kita rasa kalau kesempatan itu datang dan memberi peluang kita bermaaf-maafan, bersilaturahim, membina ukhwah, apa salahnya…dalam suasana yang berbeza pula…saling ingat-mengingati. Ini bukan perkara remeh-temeh – nothing trivial about this! (pernah tulis tentang triaviality dulu-2009/03/vested-in-triviality.html).

Persahabatan itu adalah suatu anugerah yang tak ternilai harganya. Ada masa sahabat lebih memahami kita dari keluarga sendiri dan meluahkan perasaan kepada sahabat yang baik adalah satu cara melepaskan perasaan-terapi. Kadang-kadang persahabatan itu timbul secara tidak sengaja dan akhirnya menjadi suatu yang sangat berharga. Kita teringat saat kita dilanda ujian kehidupan, sukarnya untuk bercakap dengan keluarga yang sememangnya memahami tetapi pada masa yang sama sangat menyayangi dan melindungi…kasih sayang mereka menyebabkan kita lebih banyak menangis kerana mereka tak mampu mengawal perasaan sedih dan marah. Tetapi sahabat yang setia, mendengar tanpa apa-apa komen melainkan apabila kita minta pendapat mereka…kita rasa tenang. Bila kita tak mahu bertemu keluarga disaat kita dalam kesedihan, ada sahabat yang sentiasa bersama kita…Alhamdulillah! Allah yang Maha Menjaga… mendatangkan teman semasa kita dilanda kesedihan. Kita pun pernah juga tulis tentang persahabatan ( making-connection.html ) dan ( this-is-another-interesting-lesson-in.html ).

Memang kita pun tak mahu mengungkit kisah lama tetapi itulah perjalanan kehidupan. Apa yang telah berlaku adalah takdir yang telah terlepas dari daya kita, yang tinggal hanya kenangan dan doa semoga kita diberi petunjuk dan hidayah untuk menjadi insan yang diredai Allah. Jatuh bangun dalam kehidupan itulah yang mematangkan kita menjadi orang yang sepatutnya lebih baik bukan sebaliknya. Beruntunglah orang yang diberi umur dan masa untuk memaanfaatkanya sebaiknya…. Dan rugilah orang yang masih tak tahu apa yang dicari dalam kehidupan ini…masih terkial-kial mencari makna kehidupan.

Semoga pengalaman masa lalu kita, pahit atau manis mendekatkan kita kepada Allah bukan menjauhkan kita dariNya.

No comments:

Post a Comment