Thursday, April 16, 2009

SEKILAS KEMBARA

Selepas sebulan setengah rehat, minggu ni tak dapat mengelak terpaksa juga buat kerja luar ni, panjat bukit dan kembara. Hati meragui kemampuan badan sendiri. Mampu ke tidak bawak peserta yang ramai ni panjat bukit dan kembara melalui lorong-lorong dan denai. Selepas sakit hari tu, kawan-kawan yang baik hati telah kecualikan nama dari buat kerja ni, walaupun memang terlibat secara langsung sebagai jurulatih, sebahagian dari kerja. Emmm, alahai, terasa badan dah tua dan letih. Kurang bermotivasi. Pagi sebelum pergi dah jumpa boss minta pengecualian, nak keluar dari kumpulan biarlah ini kali yang terakhir.

Tapi boss tak kasi, biasalah pujian-pujian yang tak bermakna pun. Malas nak cerita. Semalam masa aktiviti air pun pandang dari pantai aje, tak teringin nak masuk laut, biarlah mereka uruskan, kita awasi dari gigi air saja. Susah juga bila sesuatu yang terlalu rutin mendatangkan kebosanan di tambah badan yang kurang sihat.

So, pagi-pagi ni keluar, mengetuai kembara. Dalam hati meragui kemampuan diri, sampai ke aku kali ni ke rumah api, berzikir dalam hati sepanjang perjalanan, memohon pertolongan Yang Esa. Laluan yang sama tapi semak belukar semakin tinggi. Selepas kawasan makam susah nak tunjukkan bangunan tinggalan sejarah yang semakin hilang di celah pokok-pokok belukar. Dan pendakian yang biasa hari ini terasa memenatkan, walaupun Alhamdulillah, sampai mendahului juga peserta-peserta yang muda remaja ini. Syukur!

Apa yang menjadi persoalan dalam kepala ini adalah setiap kali tiba ke destinasi, saya akan bercakap buat refleksi tentang kembara, bagaimana laluan boleh di ibaratkan kehidupan ada masa laluan sempit, ada kala mudah. Ada masa terpaksa melalui pendakian, bahaya-bahaya di jalanan dan juga ada kala kita melihat tinggalan-tinggalan sejarah lama, kuburan tanda wujud kehidupan lama dahulu tapi tiada yang kekal. Untuk mendapat sesuatu pasti perlu berusaha dan ada masanya kita terpaksa tinggalkan perkara-perkara dalam kehidupan yang mungkin menyedihkan, atau terlalu sukar untuk dibawa bersama, atau memang kita tak dapat nak bawa walau bagaimana kita inginkan maka jadilah ia tinggalan sejarah. Dan dalam perjalanan kita kadang-kadang kita berhenti menikmati keindahan tetapi kita harus hati-hati jangan sampai kita dilalaikan dan terleka dengan godaan yang membantutkan atau merosak perjalanan kita. Dan bila tiba ke puncak saya selalu tanya tentang kedudukan tempat kita dalam peta nampak tak? Kalau bumi ini kita lihat umpama bola ping-pong yang terapung di angkasa besar manakah kita? Ada tak agaknya sebesar tanda noktah pun kita ni. Tak ada!!!

Dan kerap kali kalau peserta yang ikut tu kumpulan yang dah dewasa, 25 tahun ke atas, selalu kita nampak perubahan sikap dan kesedaran walau hanya seketika ketika di puncak bukit di kaki rumah api. Tapi kali ni remaja berusia 19-20 tahun sahaja. Macam tak ada makna. Bila cakap tentang apa agaknya tujuan kita diciptakan, macam-macam jawapan, ada yang mencuit hati walaupun hakikatnya menunjukkan dangkal dan ceteknya ilmu. Timbul kebimbangan, apa akan jadi dengan anak-anak kita nanti?

Entahlah. Apa pun terfikir juga, adakah diri sendiri pun benar-benar memahami hakikat aku di sini! Wallahualam....

Ya Allah, didiklah jiwa ini untuk sabar dalam mendidik walau apa caranya dan kuatlah hati ini dalam melalui ujian dan liku hidup. Amin.

No comments:

Post a Comment