Saturday, April 4, 2009

Menyusuri Jalan Berduri

Perubahan dan peralihan adalah dua perkara yang nak tak nak kita kena hadapi. Perubahan cuaca dari panas tiba-tiba hujan di luar kawalan kita. Peralihan hari malam dan siang pun bukan dalam kawalan kita. Dalam konteks Malaysia hari ni, perubahan pemimpin dan peralihan kuasa, walaupun kita kata melalui pilihanraya, dikaji secara mendalam sebenarnya bukan juga kuasa kita. Apa yang kita lakukan semasa hari mengundi adalah ikhtiar dan merupakan harapan dan doa, tetapi akhirnya kita percaya juga bahawa Tuhan juga yang meletakkan kuasa kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Dalam kehidupan kita pun, dari baby kita jadi kanak-kanak lepas tu remaja, dewasa dan tua. Suka tak suka umur kita bertambah. Alhamdulillah kalau panjang umur. Ada kawan kita lebih panjang umur di alam barzah daripada di alam dunia ni. Mungkin dia lebih tenang di situ, mungkinkah kita tenang di sini? Kenapa tenang itu satu perkara yang sangat mahal nilainya? Sebab kerap kali kita tak rela menerima perubahan dan peralihan yang terpaksa kita lalui.

Selalu kita melihat peralihan umur dari sudut kurangnya tenaga, lemah ingatan, kabur pandangan, kendur kulit jadi isu yang membimbangkan. Segala garisan yang muncul di wajah jadi igauan sampai tak dapat lelap mata. Why cant we grow old gracefully? Perubahan hormon mengganggu bukan sahaja fizikal tetapi emosi dan fikiran. Kenapa jadi begitu? Sebab kita tak reda menerima perubahan. Kalau kita buat face lift, suntik botox, plastic surgery adakah usia kita pun kembali muda. Siapa yang kita nak tipu?

Kadang-kadang kita lupa bahawa tiada ubat untuk hidup selamanya. Buatlah apa saja, makanlah vitamin apa pun, bila tiba waktu, saat dan ketikanya kita pasti kembali kepada Pencipta kita. Terimalah perubahan dan peralihan yang di luar kawalan kita ini dengan seribu kesyukuran pada nikmat muda, remaja dan masa yang telah kita lalui.
Dan alangkah indahnya jika kita melihat bahawa jalan yang kita selusuri sepanjang usia ini walaupun penuh ranjau dan durinya, telah mengajar kita menjadi insan yang teliti dan berhati-hati pada setiap langkah. Kalau sekali kita terlalai sehingga jatuh ke lubang yang gelap, sekurang-kurangnya apabila kita diselamatkan dan keluar dari lubang itu, kita jauhi segala simpang dan perhentian yang kita tak pasti keselamatannya. Dan jalan yang berduri sebenarnya lebih baik dari lebuh raya besar yang banyak kemalangan kerana selesanya melalaikan.

Aku telah memilih jalan yang terbuka untuk ku. Semoga aku tidak akan sesat ataupun menyesatkan sesiapa jua.

No comments:

Post a Comment