Monday, April 6, 2009

Letaklah diri kita disitu!

Kadang-kadang kita lupa apabila kita menceritakan tentang orang lain terutama orang yang kita tak suka. Kita ungkit dan sebut segala kesalahan orang dan nak sedap kita tambah pulak cerita tu. Nak lagi ummph kita korek dan siasat segala kisah lama orang dan kita sebarkan. Tak cukup itu kita tanya orang lain yang pernah tahu serba sedikit, kita kutip, kita compile......... dan dengan serba bangga kita paparkan.

Pernah tak terfikir seandainya kita berada di tempat itu. Segala aib kita di buka dan didedahkan. Alangkah malunya. Kita boleh kata orang tu memang tak tau malu sebab tu dia buat apa yang di buat. Ingatlah bahawa, kita dan dia hanya manusia yang tak lari dari melakukan dosa dan kesalahan. Dan janganlah kita lupa juga bahawa ahli keluarga, anak-anak dan saudara-mara yang terlibat juga merasa tamparannya.

Cukuplah jika kita terlibat menyebarkan fitnah dan cerita yang bukan-bukan. Doakanlah dia untuk berubah jika kita tak mampu buat cara lain. Atau tegurlah dia dengan cara berhemah atau mintalah orang yang boleh menegur untuk menegur. Cukuplah orang membuat salah kerana dia lalai, lupa dan leka. Janganlah kita pula lalai dan leka sehingga kita juga terhumban dalam dosa yang lebih besar kerana mengaibkan orang lain.

Adakah kita pasti bahawa jalan kita adalah jalan yang benar dan jalan yang sebaik-baiknya. Bukan kita yang yang menentukannya. Janganlah kita mengikut budaya orang-orang yang jahil dan tidak ingat pada hari bertemu dengan Tuhan yang akan menimbang dan menyukat segala amalan kita.

Kembalilah pada cara yang di ajar oleh Junjungan Besar kita Rasulullah s.a.w dan ingatlah Allah menguji manusia dengan berbagai cara dan mungkin kita perlu sama-sama memikirkan bagaimana untuk menyelamatkan akidah, agama dan bangsa kita berdasarkan ajaran agama bukan menyerang peribadi walaupun kita memang tahu pentingnya peribadi, sahsiah dan akhlak mulia adalah kriteria utama untuk memperolehi penghormatan dan kepercayaan.

Barangsiapa menutup aib orang lain, akan ditutup aibnya di Akhirat kelak.

Semoga bukan dunia sahaja menjadi matlamat kita.

No comments:

Post a Comment