Showing posts with label reflection. Show all posts
Showing posts with label reflection. Show all posts

Friday, April 24, 2009

Antara Islam dan Iman

Dengar lagu Rabbani mendayu-dayu awal pagi tersentuh hati. “Mana milik kita, apa milik kita semua yang ada Allah yang punya”. Terasa pulak, mengapa kita nak bersedih bagi segala yang berlaku kalau kita tahu bahawa segala yang ada di mukabumi ini adalah hak Allah. Segalanya hanya pinjaman.

Mungkin itulah yang membezakan antara orang yang Islam dan orang yang beriman. Ramainya umat Islam dalam dunia ni, mengatasi jumlah umat lain tapi berapa orang Islam yang benar-benar beriman dan mengamalkan apa yang Islam ajar.

Yang mana satu milik kita yang mana satu milik orang lain. (memang semua Allah punya) Allah telah agihkan dengan adil mengikut ketentuannya kepada semua hambanya tapi mengapa ada orang yang suka juga mengambil hak orang lain walaupun telah memiliki banyak harta dan kekayaan melimpah-ruah. Jawatan dan pangkat juga adalah ketentuan yang Allah yang beri untuk menguji bagaimana ia di laksanakan.

Tapi selalu dengan pangkat dan jawatan tinggi, manusia lupa bahawa setiap manusia akan dipertanggungjawab bagi setiap sen dan ringgit, setiap inci tanah yang kita miliki setiap apa yang kita simpan dan belanjakan. Bila kita mengaku islam adakah itu tandanya kita beriman? Kadang-kadang kita lihat bagaimana penyalahgunaan kuasa berlaku di peringkat tinggi maupun rendah. Apa saja tanggungjawab yang diberi selalu dipandang mudah sehingga adakala kita lupa, yang mana hak kita yang mana hak orang lain dan segalanya ada hak mereka sendiri. Kalau guna kereta syarikat untuk bawa ahli keluarga ke hospital walaupun jalan itu jauh melencong dari jalan kerja, dengan minyak syarikat boleh ke? Jika guna masa kerja untuk buat kerja sendiri boleh ke? Entahlah! Allah saja yang dapat menentukan kerana keupayaan kita terbatas. Wallahualam!

Semoga kita termasuk dalam kelompok Islam yang benar-benar beriman!


10 hak yang perlu di jaga (Baca kat diari Islam)

  1. Hak kepada diri – kurangkan tidur, kurangkan makan, kurangkan cakap dan berpada dengan rezeki yang ada.
  2. Hak kepada malaikat maut – mengkadhakan kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan berasa cinta kepada Allah.
  3. Hak kepada kubur – buang tabiat suka menabur fitnah, buang tabiat kencing merata-rata, banyakkan solat tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.
  4. Hak kepada munkar dan nakir – tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat-menasihati.
  5. Hak kepada mizan (neraca timbangan amal pada hari kiamat) – menahan marah, banyak berzikir, ikhlaskan amalan dan sanggup menahan kesusahan.
  6. Hak kepada sirat (titian yang merentangi neraka pada hari akhirat) – buang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.
  7. Hak kepada malik (penjaga neraka) - menangis lantaran takutkan Allah, berbuat baik kepada ibubapa, bersedekah secara terang maupun tersembunyi, dan memperelok akhlak.
  8. Hak kepada Ridhwan (penjaga syurga) – berasa reda dengan qadha Allah, bersabar menerima bala, bersyukur atas nikmat Allah dan bertaubat daripada melakukan maksiat.
  9. Hak kepada Nabi S.A.W – berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-sunnah (Hadis), menyayangi para sahabat, dan bersaing dalam mencari keredaan Allah.
  10. Hak kepada ALLAH S.W.T – mengajak manusia kearah kebaikan, mencegah manusia daripada kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.





Links to this post:



Thursday, April 16, 2009

SEKILAS KEMBARA

Selepas sebulan setengah rehat, minggu ni tak dapat mengelak terpaksa juga buat kerja luar ni, panjat bukit dan kembara. Hati meragui kemampuan badan sendiri. Mampu ke tidak bawak peserta yang ramai ni panjat bukit dan kembara melalui lorong-lorong dan denai. Selepas sakit hari tu, kawan-kawan yang baik hati telah kecualikan nama dari buat kerja ni, walaupun memang terlibat secara langsung sebagai jurulatih, sebahagian dari kerja. Emmm, alahai, terasa badan dah tua dan letih. Kurang bermotivasi. Pagi sebelum pergi dah jumpa boss minta pengecualian, nak keluar dari kumpulan biarlah ini kali yang terakhir.

Tapi boss tak kasi, biasalah pujian-pujian yang tak bermakna pun. Malas nak cerita. Semalam masa aktiviti air pun pandang dari pantai aje, tak teringin nak masuk laut, biarlah mereka uruskan, kita awasi dari gigi air saja. Susah juga bila sesuatu yang terlalu rutin mendatangkan kebosanan di tambah badan yang kurang sihat.

So, pagi-pagi ni keluar, mengetuai kembara. Dalam hati meragui kemampuan diri, sampai ke aku kali ni ke rumah api, berzikir dalam hati sepanjang perjalanan, memohon pertolongan Yang Esa. Laluan yang sama tapi semak belukar semakin tinggi. Selepas kawasan makam susah nak tunjukkan bangunan tinggalan sejarah yang semakin hilang di celah pokok-pokok belukar. Dan pendakian yang biasa hari ini terasa memenatkan, walaupun Alhamdulillah, sampai mendahului juga peserta-peserta yang muda remaja ini. Syukur!

Apa yang menjadi persoalan dalam kepala ini adalah setiap kali tiba ke destinasi, saya akan bercakap buat refleksi tentang kembara, bagaimana laluan boleh di ibaratkan kehidupan ada masa laluan sempit, ada kala mudah. Ada masa terpaksa melalui pendakian, bahaya-bahaya di jalanan dan juga ada kala kita melihat tinggalan-tinggalan sejarah lama, kuburan tanda wujud kehidupan lama dahulu tapi tiada yang kekal. Untuk mendapat sesuatu pasti perlu berusaha dan ada masanya kita terpaksa tinggalkan perkara-perkara dalam kehidupan yang mungkin menyedihkan, atau terlalu sukar untuk dibawa bersama, atau memang kita tak dapat nak bawa walau bagaimana kita inginkan maka jadilah ia tinggalan sejarah. Dan dalam perjalanan kita kadang-kadang kita berhenti menikmati keindahan tetapi kita harus hati-hati jangan sampai kita dilalaikan dan terleka dengan godaan yang membantutkan atau merosak perjalanan kita. Dan bila tiba ke puncak saya selalu tanya tentang kedudukan tempat kita dalam peta nampak tak? Kalau bumi ini kita lihat umpama bola ping-pong yang terapung di angkasa besar manakah kita? Ada tak agaknya sebesar tanda noktah pun kita ni. Tak ada!!!

Dan kerap kali kalau peserta yang ikut tu kumpulan yang dah dewasa, 25 tahun ke atas, selalu kita nampak perubahan sikap dan kesedaran walau hanya seketika ketika di puncak bukit di kaki rumah api. Tapi kali ni remaja berusia 19-20 tahun sahaja. Macam tak ada makna. Bila cakap tentang apa agaknya tujuan kita diciptakan, macam-macam jawapan, ada yang mencuit hati walaupun hakikatnya menunjukkan dangkal dan ceteknya ilmu. Timbul kebimbangan, apa akan jadi dengan anak-anak kita nanti?

Entahlah. Apa pun terfikir juga, adakah diri sendiri pun benar-benar memahami hakikat aku di sini! Wallahualam....

Ya Allah, didiklah jiwa ini untuk sabar dalam mendidik walau apa caranya dan kuatlah hati ini dalam melalui ujian dan liku hidup. Amin.

Wednesday, April 15, 2009

Kalau kita hanya ada cengkerang...

Hari ni dengar tentang disiplin orang Jepun semasa ucapan perasmian oleh Pengarah. Dia relate tentang pengalamannya berada lapan hari di Jepun. Antaranya adalah tentang ketepatan masa orang Jepun. Kalau janji pukul lapan tak ada la mereka sampai lapan lima minit ke, sepuluh minit lewat ke... tak ada. Ada pengalaman bila ada masalah terlewat mereka akan talipon sebelum sampai dan meminta maaf walaupun cuma empat minit sahaja lewatnya. Bullet train kat jepun dengan kelajuan 300km sejam hanya berhenti seminit sahaja di setiap stesen. Kalau miss 60 saat tu beli la tiket lain.walaupun aqidah berbeza, alangkah hebatnya mereka menghargai masa.

Kerana itulah Jepun maju, dan kerana itulah mungkin mantan PM sebelum mantan yang baru ni, adakan dasar pandang ke timor dulu. Iyalah kalau kita kaji sejarah Jepun memang hebat. Sebelum perang dunia ke 2, Jepun mengeluar barang-barang yang orang kampung saya kata barang-barang kodi. Tapi lihat sekarang Jepun mengeluarkan worldclass products. Apabila Hiroshima di bom (Bukti kezaliman Amerika) dengan bom atom – sehingga orang atau apa-apa saja yang dalam radius 3km persegi cair dan meninggalkan kesan pada seluruh pulau- Jepun bangkit dengan cekal dan tabah membangunkan negara mereka dan terbukti displin, kesungguhan dan percaya pada potensi manusia menjadi Jepun sebagai negara yang sangat maju.

Tetapi dalam kemajuan pesat itu kita melihat dan membaca bagaimana rakyat Jepun terutama remajanya mencari-cari identiti diri. Kerana mereka bangsa yang mengamalkan satu agama atau kepercayaan yang dikenali sebagai ’Shinto” yang tidak dapat memenuhi kekosongan jiwa mereka. Macam-macam masalah budaya yang kita lihat walaupun integriti dan etika kerja sangat mereka jaga- macam itulah pula pegangan agama.

Ada kes seperti remaja membunuh ibunya hanya kerana terlalu taksub dengan bacaan animasi dan novel grafik (yang watak-wataknya hanya hayalan belaka) menunjukkan betapa pentingnya aqidah dan kepercayaan kepada Hari Pembalasan untuk menunjukkan jalan dan mengawal tingkahlaku. Tapi orang yahudi kata semua yahudi masuk syurga jadi buatlah apa saja – pun sesuatu yang tak ada logiknya.

Tanpa pegangan agama yang benar dan kukuh, sukar menerima kebaikan seseorang walaupun dia seorang yang beretika dan berintegriti kerana kepercayaan bahawa kita akan dipertanggungjawabkan atas segala perlakuan dan amalan kita merupakan pagar atau tembok yang menghalang seseorang dari membuat kejahatan.

Tak akan boleh kita kata bahawa asalkan dia buat kerjanya dengan baik tak kisahlah apa yang dia buat dengan kehidupan peribadinya atau diluar waktu pejabat. Mungkin ini adalah pendapat peribadi tapi saya tak melihat akan adanya kemungkinan seseorang itu akan benar-benar baik melainkan dia ada aqidah bahawa dia sentiasa di awasi dan tiada apa yang rahsia dalam hidupnya dari Tuhan yang mencipta. Wallahualam.

Just pondering!

Monday, April 6, 2009

Letaklah diri kita disitu!

Kadang-kadang kita lupa apabila kita menceritakan tentang orang lain terutama orang yang kita tak suka. Kita ungkit dan sebut segala kesalahan orang dan nak sedap kita tambah pulak cerita tu. Nak lagi ummph kita korek dan siasat segala kisah lama orang dan kita sebarkan. Tak cukup itu kita tanya orang lain yang pernah tahu serba sedikit, kita kutip, kita compile......... dan dengan serba bangga kita paparkan.

Pernah tak terfikir seandainya kita berada di tempat itu. Segala aib kita di buka dan didedahkan. Alangkah malunya. Kita boleh kata orang tu memang tak tau malu sebab tu dia buat apa yang di buat. Ingatlah bahawa, kita dan dia hanya manusia yang tak lari dari melakukan dosa dan kesalahan. Dan janganlah kita lupa juga bahawa ahli keluarga, anak-anak dan saudara-mara yang terlibat juga merasa tamparannya.

Cukuplah jika kita terlibat menyebarkan fitnah dan cerita yang bukan-bukan. Doakanlah dia untuk berubah jika kita tak mampu buat cara lain. Atau tegurlah dia dengan cara berhemah atau mintalah orang yang boleh menegur untuk menegur. Cukuplah orang membuat salah kerana dia lalai, lupa dan leka. Janganlah kita pula lalai dan leka sehingga kita juga terhumban dalam dosa yang lebih besar kerana mengaibkan orang lain.

Adakah kita pasti bahawa jalan kita adalah jalan yang benar dan jalan yang sebaik-baiknya. Bukan kita yang yang menentukannya. Janganlah kita mengikut budaya orang-orang yang jahil dan tidak ingat pada hari bertemu dengan Tuhan yang akan menimbang dan menyukat segala amalan kita.

Kembalilah pada cara yang di ajar oleh Junjungan Besar kita Rasulullah s.a.w dan ingatlah Allah menguji manusia dengan berbagai cara dan mungkin kita perlu sama-sama memikirkan bagaimana untuk menyelamatkan akidah, agama dan bangsa kita berdasarkan ajaran agama bukan menyerang peribadi walaupun kita memang tahu pentingnya peribadi, sahsiah dan akhlak mulia adalah kriteria utama untuk memperolehi penghormatan dan kepercayaan.

Barangsiapa menutup aib orang lain, akan ditutup aibnya di Akhirat kelak.

Semoga bukan dunia sahaja menjadi matlamat kita.

Saturday, April 4, 2009

Menyusuri Jalan Berduri

Perubahan dan peralihan adalah dua perkara yang nak tak nak kita kena hadapi. Perubahan cuaca dari panas tiba-tiba hujan di luar kawalan kita. Peralihan hari malam dan siang pun bukan dalam kawalan kita. Dalam konteks Malaysia hari ni, perubahan pemimpin dan peralihan kuasa, walaupun kita kata melalui pilihanraya, dikaji secara mendalam sebenarnya bukan juga kuasa kita. Apa yang kita lakukan semasa hari mengundi adalah ikhtiar dan merupakan harapan dan doa, tetapi akhirnya kita percaya juga bahawa Tuhan juga yang meletakkan kuasa kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Dalam kehidupan kita pun, dari baby kita jadi kanak-kanak lepas tu remaja, dewasa dan tua. Suka tak suka umur kita bertambah. Alhamdulillah kalau panjang umur. Ada kawan kita lebih panjang umur di alam barzah daripada di alam dunia ni. Mungkin dia lebih tenang di situ, mungkinkah kita tenang di sini? Kenapa tenang itu satu perkara yang sangat mahal nilainya? Sebab kerap kali kita tak rela menerima perubahan dan peralihan yang terpaksa kita lalui.

Selalu kita melihat peralihan umur dari sudut kurangnya tenaga, lemah ingatan, kabur pandangan, kendur kulit jadi isu yang membimbangkan. Segala garisan yang muncul di wajah jadi igauan sampai tak dapat lelap mata. Why cant we grow old gracefully? Perubahan hormon mengganggu bukan sahaja fizikal tetapi emosi dan fikiran. Kenapa jadi begitu? Sebab kita tak reda menerima perubahan. Kalau kita buat face lift, suntik botox, plastic surgery adakah usia kita pun kembali muda. Siapa yang kita nak tipu?

Kadang-kadang kita lupa bahawa tiada ubat untuk hidup selamanya. Buatlah apa saja, makanlah vitamin apa pun, bila tiba waktu, saat dan ketikanya kita pasti kembali kepada Pencipta kita. Terimalah perubahan dan peralihan yang di luar kawalan kita ini dengan seribu kesyukuran pada nikmat muda, remaja dan masa yang telah kita lalui.
Dan alangkah indahnya jika kita melihat bahawa jalan yang kita selusuri sepanjang usia ini walaupun penuh ranjau dan durinya, telah mengajar kita menjadi insan yang teliti dan berhati-hati pada setiap langkah. Kalau sekali kita terlalai sehingga jatuh ke lubang yang gelap, sekurang-kurangnya apabila kita diselamatkan dan keluar dari lubang itu, kita jauhi segala simpang dan perhentian yang kita tak pasti keselamatannya. Dan jalan yang berduri sebenarnya lebih baik dari lebuh raya besar yang banyak kemalangan kerana selesanya melalaikan.

Aku telah memilih jalan yang terbuka untuk ku. Semoga aku tidak akan sesat ataupun menyesatkan sesiapa jua.