Wang ringgit dan harta dunia….macam-macam boleh buat kalau ada kan! Nak buat jahat senang nak buat baik pun tak susah. Kalau banyak duit boleh beli populariti, boleh beli kawan boleh beli segalanya, cinta dan kasih sayang palsu pun banyak boleh dibeli. Boleh buang orang-orang yang kita tak suka dengan kuasa wang ringgit dan harta benda, intan permata! Boleh buat apa saja kalau kita memiliki kebebasan dengan kuasa wang.
Tapi kita juga boleh buat berbagai kebaikan dengan wang ringgit dan harta benda yang banyak. Boleh tolong orang miskin, bayar hutang orang, hantar orang pergi mekah, beli tanah untuk yang tiada tanah, beli rumah untuk yang tiada rumah, belanja untuk pengajian dan pendidikan….macam-macam boleh buat! Tepuk dada tanya selera, ketuk hati tanya iman.
Masa kita tersentak dan terkedu melihat bilangan nombor yang kononnya ada dalam akaun kita, kita terfikir untuk menulis senarai tentang perkara yang tak sepatutnya dilakukan oleh orang-orang tertentu dan hantar surat berhenti kerja. Kita kata kat kawan-kawan nak bawa semua ahli keluarga kita dan mereka semua pergi Mekah tahun ni! Kalau ada duit boleh bayar semua boleh buat. Walau jauh di lubuk hati kita tahu…sunnatullah itu mengikut aturan nya. Kemungkinan kita nak kaya mengejut agak mustahil!
Kita juga terfikir untuk berjumpa orang yang kita ‘rasa’ telah berlaku zalim dan menganiaya kita dan tunjukkan bagaimana kita boleh senang juga walau apa pun. Kita berfikir macam-macam….kalaulah benar! Dan akhirnya kita sedar itulah sifat kita…belum pasti dah mula nak sombong, nak bongkak, nak riak, nak menunjukkan kelebihan kepada orang lain.
Kita sebenarnya tahu tak baik menyimpan perasaan buruk kepada orang lain dan kita tahu bila kita kata kita memaafkan kita mesti melupakan. Tapi kekayaan yang hanya ilusi sahaja boleh menimbulkan sifat buruk dalam diri seseorang… mengapa agaknya bila kita sedar tentang kemungkinan kaya itu, kita tidak terfikir untuk membantu bangunkan rumah anak yatim, menambah kemudahan di sekolah-sekolah pondok, membantu fakir miskin dan macam-macam perkara yang lebih bermanfaat daripada beli kereta mewah dan memandu depan orang yang suka menghina kita…….isyk, isyk, isyk! Kita baru sedar masih banyak sifat mazmumah dalam diri. Patutla tak kaya pun…baru kena acah sikit dah lupa mana daratan, mana lautan!
Adakah kita miliki apa-apa kekayaan dengan apa yang kita baru saja alami? Tak ada. Kita bukan saja miskin harta, kita juga mungkin miskin pahala. Ujian kecil kita gagal dengan teruk, kalau ujian besar dengan wang ringgit sebenar, mungkin kita gagal lagi teruk. Tapi itu bukan bermakna kita taknak kaya. Kita berdoa juga, kalau ALLAH takdirkan menguji kita dengan kekayaan, kita akan lebih berwaspada, kita akan bersedia untuk memanfaatkannya untuk bahagia dunia dan bahagia di akhirat sana.
Apapun kita besyukur dengan apa yang kita lalui hari ini, sebab kita ceria. Kita tahu semuanya kesilapan yang akan dapat diperbetulkan dan kita percaya ALLAH akan menolong kita. Dan kita tetap juga berdoa untuk tidak diuji dengan sesuatu yang yang amat berat dan tak mampu kita hadapi. Semoga kita semua kaya di sisi penduduk langit kalau tak kaya dalam kalangan penduduk dunia.
Monday, February 8, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment