Kita mengulangi membaca buku 30 wasiat Imam Syafie oleh Khairul Ghazali. (Dah agak lama tak keluar ke kedai buku!) Pada kulitnya tertulis “harga diri individu itu berdasarkan apa yang dilakukan bagi memperbaiki dirinya.” Kita cuba memahaminya dengan membaca berulang-ulang kali tapi kita tak pasti juga. Bila memikirkan harga diri, kita memikirkan berapakah nilai diri kita ini. Apakah matawang yang boleh kita guna untuk meletakkan nilai pada diri kita. Tadi kawan kita bercerita tentang seorang gadis yang melelong ‘daranya” untuk membiayai pengajian (boleh tengok kisah natalie dylan). Bukan perempuan muslim tapi dapat membiayai pelajarannya kerana lelongannya disambut dan ramai yang membida. Sudah tentu pembida yang paling tinggi dapat membeli ‘barang’ lelongan. Dan tak hairan ada pulak yang sanggup membayar sampai USD3.7 juta. Kalau si gadis menganggap dara sebagai suatu alat untuk memperoleh kekayaan.....dia menganggap bayaran mahar yang dibayar dalam perkahwinan juga sebenarnya adalah bayaran untuk kesucian gadis mengikut adat dahulu kala. Dia juga sebenarnya cuba memperbaiki taraf kehidupannya, memang salah dari segi agama, tapi dalam konteks masyarakat hari ini, kita terdengar nada-nada berbentuk kekaguman dengan tindakan ini. Adakah dia mempunyai harga diri?
Apakah tanda yang kita punya harga diri? Adakah dengan penghargaan orang kepada kita? Atau penghormatan orang atau apa yang kita rasa...bahawa diri kita berharga? Apakah harga diri seorang hamba kepada tuannya, seorang anak kepada ibubapanya, seorang isteri kepada suami atau suami kepada isteri, seorang teman kepada teman-temannya? Kita kah yang meletakkan harga diri sendiri? Dan kerapkali dalam perhubungan sesama manusia kita rasa kita tidak punya harga diri. Terpaksa merayu, beralah, menangis untuk mendapatkan sesuatu yang memang sepatutnya kita dapat,hak, tetapi tidak diberikan. Kita selalu merasa diri tidak beharga kerana kita tidak berdaya untuk menjaga anak sendiri, kita merasa tiada harga bila terpaksa merayu untuk berjumpa anak sendiri, sedang ketika dia dalam jagaan kita, kita tak pernah menghalang dia untuk berjumpa sesiapapun yang berhak dia temui.
Apa sebenarnya harga diri ini? Di manakah harga diri seorang wanita yang ditinggalkan suami tanpa sebarang alasan dan khabar berita. Adakah dengan menuntut fasakh dan mendapatkannya, dia mendapat harga dirinya kembali? Di mana harga diri seorang guru agama yang berdakwah pagi petang dan memberi didikan agama kepada ahli keluarga bila salah seorang anaknya sendiri menukar agama? Kita meraba-raba, mencari harga diri.
Tapi apabila kita fikirkan dan merenung kembali, harga diri itulah yang membezakan kita dengan orang lain yang tersungkur apabila dilanda ujian dan musibah. Orang yang punyai harga diri tak akan beralah sebelum berjuang. Orang yang punya harga diri akan berusaha mencari redha dalam redha...iaitu redha dengan segala ketentuan kerana mengharap redha Rabbnya. Harga diri itu pada kekuatan diri melawan segala kemahuan membalas perbuatan jahat orang, menjaga maruah walau kesempitan, sabar melalui segala kesedihan dan kesakitan, mengadu hanya pada Yang Berkuasa menyelesaikan segala masalah dan merungkai kekusutan. Harga diri itu pada meningkatnya keimanan dan ketakwaan setiap kali ditimpa musibah bukan sebaliknya. Harga diri itu terletak pada hati yang tenang dan jiwa yang tenang jua...percaya segala kesusahan akan berakhir, tiada kesedihan yang kekal, tiada luka yang tak akan sembuh dan percaya pasti ada pembelaan bagi setiap kezaliman yang dialami. Hanya dengan harga diri kita mampu melalui gelombang hidup, tak akan lemas dalam banjir duka, tak akan patah dihimpit sengsara. Dan harga diri memberi kekuatan untuk terus memperbaiki diri dan menerima hakikat kita tidak sempurna, banyak kekurangan lalu kita dapat memaafkan dan melupakan.
Itulah harga diri pada kita. Sesuatu yang tak mungkin kita tebus dengan matawang atau emas permata. Kita petik dari buku 30 wasiat Imam Syafie ini... “Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman bahawa mereka akan ditinggikan darjat dan diberi kemuliaan selagi mereka menunaikan perintah ALLAH...”
Semoga kita semua punya harga diri yang kalau kita sendiri tak tahu nilai...kita mengharap agar ALLAH menilainya tinggi dan berharga... semoga harganya meningkat setiap masa............
Friday, February 5, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment