Friday, April 23, 2010

Bermulalah Dengan Diri Sendiri

Kita selalu menasihati orang lain. Adakah nasihat itu kita gunakan untuk diri kita juga. Sebabnya orang yang menasihati orang lain seharusnya menasihati diri sendiri juga. Kadang-kadang kita mendengar dan menerima nasihat dari orang lain, kadang-kadang kita memberi nasihat kepada orang lain, kadang-kadang kita minta nasihat daripada orang lain atau orang meminta nasihat daripada kita. Semua itu memang baik dan orang yang beragama memang perlu saling nasihat-menasihati…(banyaknya perkataan nasihat). Kebanyakan masa memang nasihat baiklah yang akan kita terima. Ada juga nasihat yang tidak menolong atau membina sebaliknya menghancurkan sahaja.

Kenapa kita nak cakap tentang isu nasihat ni? Sebab kita melihat orang yang mempunyai kedudukan tinggi dalam sebuah organisasi memberi nasihat dan perangsang kepada warganya tapi peribadinya sebaik beredar dari pentas berucap lansung tidak menggambarkan orang yang mengamalkan apa yang dinasihatinya. Memang ada pepatah yang mengatakan "dengar apa yang disampaikan, bukan siapa yang menyampaikan" tapi apakah nilai nasihat yang tidak diamalkan sendiri oleh orang yang memberi nasihat?

Sebagai contoh apabila kita dinasihatkan supaya bersabar di tempat kerja dengan kerenah rakan-rakan sepejabat, dengan kemudahan yang kurang lengkap dan tidak selesa…..penasihat meleteri pembantunya yang lambat menuangkan air sebaik saja dia habis berucap! (Hai..tuan penasihat….berapa persen?) isy..isk..isk…baru je tadi suruh orang sabar, kenapa depan kelompok yang sama marah orang tuang air lambat?

Itulah 'cakap tak serupa bikin'! Kalau sebelumnya orang merenung dan memikirkan hikmah dari ucapannya, tapi selepas itu orang memandang dia sebagai hipokrit yang cakap saja lawa, diri sendiri jelek walau mungkin rupa paras tiada yang kurang. Apabila orang-orang bawahan mengadu tentang kerosakan kemudahan yang ada ditempat kerja, mereka disuruh bersabar tapi kalau kemudahan yang melibatkan keselesaannya terjejas, dengan pantas tindakan diambil. Untung jadi orang berpangkat dan berkuasa, boleh pastikan keselesaan diri sendiri terjaga, beri kata-kata janji menyedapkan hati orang bawahan lepas tu peduli lah apa nak jadi pada mereka.

Itulah keadaan hidup hari ini. Kita selalu menyuruh orang lain tapi tak suruh diri sendiri. Kita sentiasa salahkan orang lain tak pernah salahkan diri sendiri. Kita melihat segala kelemahan dan keburukan orang lain bukan menilai kekurangan dan kelemahan diri sendiri. Berapa orangkah yang gagal dalam hidupnya akan duduk dan menilai keadaan bermula dengan diri sendiri berbanding menilai orang lain dan faktor-faktor lain yang dirasa menyebabkan kegagalan itu? Kita tak tahu jawapannya. Tapi kita kerapkali berjumpa orang yang menyalahkan orang lain bukan diri sendiri dan orang yang tak rasa dirinya bersalah lansung dalam apa-apa keadaan pun.

Sebagai contohnya, seorang pemandu lori yang tak memberi isyarat masuk simpang kecil, menyalahkan lampu isyarat lori yang rosak apabila kemalangan berlaku….seorang pemandu mati kerana melanggarnya dari belakang…tapi dia tengok ke cermin belakang sebelum masuk simpang tu? Tak boleh ke dia guna isyarat tangan dan berhenti sekejap sebelum tiba-tiba masuk sedangkan kereta belakang sedang cuba memotongnya kerana tak sangka lansung dia nak belok ke kanan. Simpang ladang tepi jalan bukan ada tanda amaran pun. Orang yang biasa jalan tu, mungkin tahu ada simpang, kalau orang yang baru lalu? Bila tanya, sekali pun tak dengar dia kata, "salah saya tak tengok belakang, tak bagi isyarat dan tak berhenti sekejap"….yang ada…"lampu signal rosak, mana saya tahu kereta tu nak potong, saya biasa keluar masuk ladang ni, dah bertahun tak pernah ada kemalangan macam ni. Dah ajal dia macam tu!"

Tiada pun melihat pada kelalaian diri sendiri sebagai penyumbang kepada kemalangan itu. Tak mahu mengakui kesilapan dan memberi berbagai sebab lain yang menjadi punca…itulah sifat manusia yang kadang-kadang nak melepaskan diri dengan mudah. Tiada kesalahan diri sendiri! Begitulah dalam organisasi. Kalau kepimpinannya tidak mampu menasihati diri sendiri,mengenal pasti dan mengakui kelemahan diri, mana mungkin dia membetulkan orang lain. Akhirnya, organisasinya akan pincang, akan banyak masalah timbul.

Kalau kita tidak dapat menerima kelemahan kita sebagai manusia yang tidak sempurna, maka kita hanya akan melihat kelemahan orang lain sahaja dan merasa diri kitalah yang paling sempurna. Semoga kita semua menjadi penasihat yang terbaik untuk orang lain dan diri sendiri. Untuk melihat perubahan, kita mesti berubah…perbaiki diri kita…insafi kekurangan kita… dan hargailah orang lain!


 

Thursday, April 22, 2010

Antara Kenangan dan harapan

Masa itu adalah suatu anugerah yang diberi hanya sekali seumur hidup ini. Kebanyakan masa, manusia tidak sedar bahawa tiada peluang langsung untuk mendapatkan masa yang telah terlepas walaupun hanya sedetik. Bila terfikir macam tu ada banyak sesalan yang akan dirasai namun begitu sesalan ini bukan beerti kesal dengan kesilapan yang berlaku tetapi kesal kerana tidak mengambil peluang kesempatan masa yang ada untuk buat apa yang sepatutnya dibuat (dalam kepala dan mengikut fikiran sendiri…..tentang keuntungan yang diperolehi jika kesempatan itu digunakan dengan sebaik-baiknya.) Sebab itu ada bijak pandai pernah mengatakan

– Opportunity knocks only once-

sebab peluang yang datang selepas itu adalah peluang yang berbeza. Tapi ada orang yang bernasib baik diberi peluang yang sama berkali-kali dalam hidupnya. Bukan bermakna waktu terhenti tapi peluang itu muncul pada masa dan ketika yang berbeza. Masa terus bergerak. Memang hidup kita telah ditakdirkan tapi kadangkala kita terfikir kalau aku rajin belajar sewaktu usia masih muda mungkin sekarang dah dapat PhD, atau kalau aku tak kawin awal sangat dulu mungkin aku dapat menjelajah banyak negara, blab..blab…blab…..

Ada orang menyesal kerana dia pernah ada peluang untuk buat sesuatu perkara tetapi dia tak buat. Contohnya seorang pemandu kereta terserempak dengan lori gula yang terbalik sehingga gula bertaburan diatas jalanraya…dia tak terfikir nak ambik gula tu sebab merasa tak patut "menangguk di air yang keruh". Bila sampai rumah dia dapat tahu, gula tu memang akan dibuang sahaja walaupun terdapat bungkusan yang masih elok kerana pihak yang membersihkan jalan tak akan tolong kutip!!! Jadi dia rasa menyesal tak ambil gula tu…( ini contoh yang pernah kita lihat) tapi bukan kita ye!

Ada pulak yang menyesal sebab ada peluang buat jahat tapi tak buat, contohnya pernah jumpa seutas rantai emas dan talipon bimbit tercicir, dia pergi serah pada polis yang kebetulan lalu dan polis tu tak tanya apa-apa terus masuk poket dan jalan. Dia kata kalau dia tahu macam tu baik dia saja yang ambil. Ada juga orang yang menyesal kahwin cepat atau lambat, menyesal sebab kahwin pun ada! Ada yang menyesal berkahwin dengan pasangan sedia ada. Dan ada juga orang yang pernah menyesal buat kebaikan! Sedihnya! Menyesal tolong orang tapi lepas tu, budinya tidak dibalas, bahkan di aniayai atau diambil kesempatan pula. Ada yang menyesal memberi sedekah atau hadiah kerana tidak dihargai, atau lepas tu terasa kerugian setelah memberi. Tak ikhlas rupanya…

Segala apa yang berlaku berlaku seiring masa. Yang telah berlaku dalam kehidupan menjadi kenangan…manis ke, pahit ke, payau ke, gembira ke, sedih ke…hanya boleh kita ingat dan kenang. Yang baik kita hargai dan yang tak baik kita cuba lupakan….baik buruk semuanya ada pengajaran yang berharga. Apa yang kita ada sekarang hanya sekarang.

Kita kena pandai memilih untuk menggunakan masa yang kita ada untuk buat apa yang baik untuk kita. Sebenarnya kita mempunyai pilihan dalam hidup ini…itu sunnatullah. Kalau apa yang berlaku bertentangan dengan segala usaha kita…itulah takdir! Apa yang memang telah tertulis dan ALLAH memilih kita untuk diuji dengan ketentuan itu….istimewanya kita!! Dalam kehidupan seharian kita selain urusan kehidupan dengan kerja, kita juga boleh memilih emosi apa yang kita nak guna. BENAR! Kita boleh memilih untuk marah atau tidak, untuk sedih atau gembira, seronok atau bosan…blab,blab,blab….

Kalau sesuatu perkara yang berlaku, kita rasa tak patut dan boleh menaikkan darah kita, kita boleh latih diri kita untuk tidak marah. Tak percaya cubalah!!! Dan untuk hari esok apa yang boleh kita lakukan adalah berdoa…mengharap. Sebab itu doa itu adalah perbuatan yang sangat baik kerana bersamanya datang harapan. Jangan doakan yang buruk untuk orang lain…….doalah yang baik untuk semua selamanya! Dan semoga kita tak sia-siakan masa kita.

Monday, April 19, 2010

Hari terakhir, di manakah kita?

Hari ni kita kita baca kisah seorang lelaki yang mati dan mayatnya ditemui dalam kotak tv. Semasa hidup pekerjaannya adalah mengutip kotak dan menjualnya... begitulah diakhir hayat pun dengan kotak…mati dalam kotak! Dulu kita sering baca kisah kematian yang berkaitan dengan cara hidup seseorang. Seorang penjinak harimau terkemuka, mati di baham harimau peliharaannya, pelumba kereta mati dalam kemalangan jalanraya, penyanyi yang mati ketika menyanyi… dan kita merasa segalanya adalah petunjuk yang amat terang lagi jelas.

Kita membaca Malam Pertama di Alam Kubur (Dr. Aidh Al Qarni) bahawa kematian itu "selalunya" akan datang menjemput kita ketika kita sedang melakukan apa yang biasa kita lakukan…amalan kehidupan seharian kita. Ya, selalunya, bukan setiap masa. Kita pernah kenal orang yang soleh yang kuat amal ibadatnya. Waktu lapangnya setelah bersara ialah menjaga kebun buah-buahannya setiap hari selepas sunat dhuha dan selepas waktu asar; sehingga suatu hari sebelum balik ke rumah dalam pulul 12 tengahari, beliau jatuh di kebunnya lalu meninggal dunia. Tapi kita rasa beruntunglah dia, sebab dia seorag yang warak dan baik, semoga ditempatkan bersama orang yang soleh.

Kita memikirkan apakah yang seharusnya kita lakukan dengan masa sedikit yang kita ada. Nak buat perkara kebaikan atau kejahatan. Kalau ditakdirkan telah sampai masa kita, kita nak mati dalam keadaan macamana agaknya? Tak tahulah kita….semoga kita mati dalam keadaan yang baik…Husnul Khatimah! Kadang-kadang kita teringat manusia yang adakalanya lalai dan lupa bahawa kematian itu pasti…tiada siapa yang dapat menolaknya. Kita pernahjuga tulis entry tentang ini (/2009/07/kehidupan-ilusi-kematian-realiti.html ). Apabila tiba detik dan waktu terakhir kehidupan di alam fana ini, adakah kita akan mati dipembaringan biasa kita atau dalam dakapan kekasih haram, dalam keadaan sedar atau mabuk, dalam keadaan bersih suci atau berhadas? Teringat kita dalam buku yang kita baca itu bagaimana seorang lelaki yang baru berkahwin melayari malam pertama bersama pasangannya kemudian keesokan harinya, dia melalui malam pertama dalam 'dakapan' tanah. Sebab kematian itu tak pernah memaklumkan kehadirannya.

Sebab itu kadang-kadang kita merasa beruntung orang yang ditimpa penyakit sehingga doctor memberitahu kepadanya bahawa masanya tinggal sedikit. Peluangnya untuk hidup tidak berapa lama, itulah perkhabaran yang menyedihkan tetapi hikmahnya orang yang boleh mengagak masa kematiannya seharusnya menggunakan kesempatan yang ada untuk menginsafi kewujudannya di alam yang fana ini jika dia seorang yang bijak. Orang yang bijak walau tidak sakit akan selalu mengingati saat datang ajal…bila maut menjemput. Tapi malang juga bila kita melihat orang yang Allah uji dengan penyakit tetapi tidak melihatnya sebagai peringatan selalin ujian yang mungkin merupakan kafarah dosa, atau meningkatkan keimanannya, atau sebagai anugerah yang akan menjadi pasportnya ke syurga. Tidak akan disentuh api neraka orang yang diuji dengan penyakit yang berat semasa hidupnya (kita pernah baca ni dulu) jika dia sabar dan tabah melaluinya…tapi dengan sifat-sifat dan perangai serta akhlak bersyukur dengan ketentuan Allah. Bukankah kita sering mendengar kisah Nabi ayub a.s. yang diuji dengan kesukaran hidup dan penyakit sehingga tiada apa yang lekat di jasadnya melainkan hati dan lidahnya yang tak lekang dari berzikir dan menyebut nama ALLAH. Setelah bertahun-tahun, beliau akhirnya berdoa kerana bimbang ulat yang ada dibadannya akan memakan hanya dua anggota yang tinggal itu sehingga dia tidak mampu mengingati dan menyebut Allah, lalu ALLAH sembuhkan.

Entahlah, kita hanya mampu berdoa dan berusaha untuk mendapat redha ALLah….semoga kita semua beroleh hidayah petunjuk, hidup dalam keberkatan dan mati dalam husnul khatimah. Amin!

Saturday, April 17, 2010

Lukisan dari hati

Dalam masa sebulan ini kita bertemu hobi seni baru. Memang kita suka melukis tapi sekarang kita syok buat naïve art. Apa yang best cubaan ketiga kita hantar untuk pameran kat galeri Shah Alam. Semalam kawan kita cakap gambar tu keluar dalam suratkabar….fuyoo syok giler acik rasa!!! Kita yang tak baca surat kabar kertas ni (biasanya online je) dengan jayanya membeli suratkabar jam 12 tengahari semalam….hatiku merasa sangat seronok melihat lukisanku disitu….

Tapi sekejap je la…Alhamdulillah walaupun sebenarnya kita tak yakin masa nak hantar (Cuma ada 4 hari je nak siapkan..org lain start awal lebih dari sebulan) maklumlah baru je belajar dua hari terus nak buat satu untuk pameran. Terima kasih pada cikgu yang mengajar dari Kompleks kraftangan dan juga pensyarah di jabatan seni….syukran, syukran, syukran! Seronok buat naïve art sebab tak payah fikir tentang perspektif, ruang, logic ke apa ke….letak aje. Dan kita suka konsep warna yang tak perlu tona-tona…sekata. Tapi yang penting bila orang tengok mereka tahu apa objek yang kita lukis, apa cerita yang kita nak sampaikan….

Teringat cerita dalam lukisan, rasanya lebih mudah memahami lukisan daripada memahami manusia. Ada kalanya kita jadi tak faham lansung apa yang berada dalam kepala seseorang dan apa yang menyebabkan perangai mereka jadi begitu. Rasanya dah kenal lama tapi ada waktu dan ketika manusia boleh berubah seluruhnya menjadi asing, lansung tak kita kenali. Dan orang yang pernah jadi kawan boleh jadi lawan, sahabat jadi musuh, pelindung menjadi pengancam, selamat jadi bahaya dan sebaliknya. Betullah kata pepatah " kalau kita ada seorang kawan yang jahat perangai dan akhlaknya, tak perlu kita mempunyai musuh"! Sebabnya,kawan yang jahat boleh mendatangkan kerosakan yang lebih dahsyat berbanding dengan musuh. Seorang kawan yang berdampingan dengan kita bertahun-tahun lamanya dan tahu banyak perkara tentang kita akan menggunakan segala maklumat itu untuk menjahanamkan hidup kita. Teringat pulak kisah Hitler yang mati bunuh diri…tapi sebenarnya dia telah dikhianati oleh kekasihnya sendiri yang membocorkan rahsia kelemahannya. (dulu kita pernah tulis sajak tentang hitler- memuji tindakannya menanam yahudi beramai-ramai..sebab yahudi lagi jahat daripada hitler!)

So, kita nak jadi kawan macamana agaknya? Kawan yang didoakan para malaikat kerana mengasihi sahabat-sahabatnya dengan ikhlas kerana Allah atau kawan yang masa senang datang, masa susah hilang. Bukan melindungi tapi merosakkan…kadang-kadang dalam tidak sedar. Macamana agaknya orang yang berkawan tetapi selau bercerita keburukan kawannya pada kawan lain….dia sama buruk atau lagi buruk sebab tu dia boleh berkawan dengan orang yang dikutuknya.

Entahlah…tadi nak cerita pasal lukisan dah lain pulak! Apa pun kita janganlah melampau batas dalam melakukan keburukan…Ingatlah bila tiba hari mulut hanya membisu tak mampu bicara…anggota lain menjadi saksi, bagaimana kita nak menafikan segala yang kita dah buat. Semoga Allah mengampuni dosa kita semua dan segala kelemahan kita dan memberi kita hidayah dan petunjuk untuk kita meningkatkan iman dan takwa kepadaNYA. Amin!


 

Tuesday, April 13, 2010

Eee panasnya!

Cuaca di Kuala Lumpur kebelakangan ni sangat panas. Sesekali hujan dengan angin dan rebut petir. Kita memang suka hujan dari dulu lagi. Masa kita kecil, mandi hujan adalah hobi setiap kali hujan lebat. Tapi itu dulu masa duduk di pekan kecil jauh daripada pencemaran. Sekarang kita dah tua, tak akan buat kerja macam tu lagi…rasanya! Keadaan suhu yang panas ini adalah ujian sebenarnya apabila alat pendingin hawa rosak sudah hampir dua minggu…belum dibaiki…tiada peruntukan agaknya…wallahualam.

Kawan-kawan yang dulu kita selalu dengar merungut kalau hujan sebelah petang masa nak balik kerja, sekarang pun mengharap agar hujan turun supaya cuaca menjadi lebih sejuk. Kita bawak dua kipas, satu atas meja, satu bawah meja. Sebab kita malas nak mengharap kipas dalam jabatan yang suka berjalan dari satu tempat ke tempt yang lain.

Melihat suasana kosong jabatan sebab keadaan yang panas hati kita tertanya bagaimana agaknya melalui hari bila matahari berada hanya sejengkal di atas kepala. Sekarang boleh lagi pindah tumpang perpustakaan, pergi bilik rehat, tumpang jabatan lain, bawak kipas sendiri… nanti kat sana nak bawak apa ye? Boleh ke bawak payung, topi, kipas, pendingin hawa….macamana ye…bila ada yang peluhnya membanjiri sehingga ke telinga, ada yang kat lutut, ada kat buku lali…

Kita jadi tak berani nak merungut sangat tentang kepanasan ini. Kita pun tak tahu bagaimana kita akan melalui semua tu nanti…hanya mengharap kasih sayang ALLAH agar kita dapat melalui dengan mudah dan doa kita untuk semua.

Monday, April 12, 2010

Benarkah salah kita semua tu?

Kita pernah tulis sesuatu yang similar dengan entry ni.( 2009/07/how-i-wish.html ). Tapi hari ni kita nak menambah sedikit tentang kebiasaan yang menimbulkan kebosanan. Mengapa kita jadi bosan dengan sesuatu atau seseorang apabila kita sudah terlalu biasa dengannya. Dan bagaimana pula kalau kita minat dengan sesuatu, kita boleh terus meminatinya walaupun ia adalah benda yang sama sahaja walau berapa lama pun jangkamasanya. Sebagai contoh, ada orang minat tengok filem-filem tertentu boleh menonton filem yang sama berulang-ulang kali…tak bosan pun! Tengok siri televisyen, hero dan heroin sama saja, boleh agak jalan cerita tapi tak bosan pun. Kenapa kita boleh buat semua tu dengan penuh minat tapi kita tak boleh perbaharui minat kepada pasangan kita sehingga tiada waktu membosankan ketika bersama? Sama juga kalau makanan yang kita gemari, kita boleh ulang makan berkali-kali tanpa jemu walau kita tahu macamana rupanya, bagaimana rasanya, kat mana nak dapat dan sebagainya.

Ada orang kata bosan dengan perangai yang sama, tak berubah, mudah dijangka, tiada kejutan…semuanya hambar. Sampaikan dalam hubungan intim pun dah tak ada seronok lagi sebab dah boleh agak dan jangka setiap geraklaku. Apa masalah yang dihadapi sebenarnya? Ada yang kata dia malas nak fikir, tahan sajalah perasaan sebab tak akan ada apa pun yang akan berubah dan keadaan hidup pun selesa saja, tak kuasa. Tapi mengapa merungut? Mengapa menyuarakan rasa tak puas hati ini pada orang lain? Katanya dah puas bincang, dah penat cakap, dah letih! Dan yang lebih menyedihkan ialah, ada yang menjalinkan hubungan dengan orang lain kerana tak kuasa nak atasi masalah rumahtangga, tak mahu berpisah kerana nanti banyak masalah dan masih ada rasa sayang!

Kita yang memerhati merasa sedih. Mungkin kerana pengalaman pahit kita dan kerana kita melihat kekurangan, kelemahan dan keangkuhan manusia untuk melihat kedalam diri, begitu juga dengan tiada kesungguhan pun menceriakan kembali hubungan yang hambar yang berlansung hanya kerana nak jaga hati anak-anak dan mengelakkan kesulitan lain. Mengapa mudah benar kita berpaling dari janji setia, sumpah dan ikrar perkahwinan yang dilafazkan dahulu. Tiada nilaikah kenangan yang dikumpul bersama, tiadakah harga bagi segala kebaikan walau sekadar membancuh secawan kopi sebelum kita keluar bekerja? Lenyapkah segala perlakuan yang dulu kita hargai, pertolongan sedikit walau hanya berupa tenaga menyidai kain kerana kita tak sempat, buatkan sandwich untuk makan tengahari kita di pejabat, cuci tandas dan bilik mandi bila kita terlupa?

Hanya kerana kita merasa bosan dan ada pula orang lain beri kita perhatian dan ucapkan cinta, kita biarkan hubungan suci suami isteri itu tiada nilai dan harganya? Kita abaikan orang yang telah menemani kita bertahun-tahun lamanya kerana kita berjumpa kawan istimewa yang beri kita perhatian? Itulah salahnya kalau kita memandang enteng, mengambil mudah, taking things for granted! Takut nanti yang dikendong keciciran yang dikejar tak dapat!

Bercakap tentang kehilangan apa yang kita miliki dan terlepas apa yang kita kejar, kita teringat pertemuan kita dengan seorang kawan masa belajar tahun 80 an dulu dalam facebook. Dia tanya kita tentang hubungan kita yang terlerai, bagaimana dia bertemu dengan bekas suami kita…(yang beria-ia nak jumpa dia)…tapi lepas tu memburukkan kita dengan macam-macam fitnah. Kita pun terasa pelik sungguh. Mengapa tak habis-habis dia nak fitnah kita. Dulu dia yang ceraikan kita…lepas tu dia gila talak sampai kita jadi takut dan seram nak keluar rumah sebab kita tak mahu kembali, sebab istikharah kita semuanya gambaran yang buruk belaka…. Tapi selepas edah kita berkawan dengan dia. Kita maafkan segala yang berlaku sebab kita merasa kekurangan kita sehingga dia mencari makan diluar tapi dia tak habis-habis burukkan nama kita, rosakkan maruah kita.

Apa lagi yang dia nak dari kita, dah bertahun-tahun lamanya berpisah. Dia pun dah kawin lain, kita tak kacau dia pun. Dulu dia merayu untuk kembali membina hidup bersama semula selepas bercerai, mengakui dia bersalah tapi dengan semua orang dia burukkan kita. Bila kita dah bercerai, dia pun tak dapat kawin dengan kekasihnya sebab dia masih isteri orang. Sekarang kita tahu segala jalan kehidupannya tapi kita tak mahu ganggu dan kita diam sahaja walaupun kita boleh juga bercerita. Mengapa dia buat kita macam tu lagi. 16 tahun kita hidup dengan dia. Beribu hutang dia kita bayar….entahlah! Bahagiakah dia agaknya? Kita sebenarnya malas nak tulis cerita peribadi begini tapi kita rasa sedih dengar cerita yang dah lama berlaku tapi masih terus diperkatakan dan yang lebih buruk….fitnah terhadap kita….pernahkah agaknya dia sayang kita dulu….

Balik kepada kebiasaan yang menyebabkan kebosanan. Mungkin pengalaman kita tak ada kena mengena dengan kita bosan,mungkin dia bosan dengan kita…. tapi sayangilah rumahtangga dengan berusaha untuk menjadikannya menarik walaupun dah lama bersama jangan nanti menyesal lepas tu tak dapat pujuk orang kembali, fitnah dan burukkan bekas pasangan dengan macam-macam cerita.


 


 


 

Friday, April 9, 2010

Hanyalah DIA tempat mengadu!

Dua tiga hari ni kita merasa sedikit tertekan tetapi insyaallah dah berakhir perasaan itu. Ujian nya hanyalah dengan kehadiran seekor monyet kecil warna kelabu di kawasan rumah kita. Dia pernah masuk dalam rumah sekali tapi tak ambil apa-apa. Cuma langgar beberapa barang sahaja…terbalik. Dua hari lepas,bila kita balik dari senaman pagi kita, untuk bersiap nak pergi pejabat, kita masuk rumah tengok botol-botol makanan semuanya atas lantai, buah mangga kita yang masak atas sinki hilang sebiji….kita rasa suspen jugak. Tapi tak apalah. Kita pun memanjat tutup satu lubang tingkap pecah kat tepi balkoni. Tapi petang bila kita balik rumah sekali lagi lebihkurang jam 6.15, rumah kita lagi teruk keadaannya dan monyet tu berak dalam rumah! Aduhai, kita rasa takut dan bimbang! Kita memanjat lagi cari mana lubang masuk monyet tu. Mungkin saiznya yang kecil memudahkan dia masuk walau ada sedikit bukaan kecil.

Kita kemas beg kecil pergi tidur kat rumah adik. Hati terasa sedih dan merasa benar keseorangan dan ketidakupayaan kita menghadapi situasi macam tu. Dan sedih sebab kita dah buat aduan semasa pertama kali dia masuk. Tiada tindakan. Dalam keadaan ini kita merasa kecewa sebab kita berharap dengan manusia untuk selesaikan masalah monyet tapi tiada penyelesaian. Memang orang lain dengar hanya gelak dan buat lawak tentang monyet tu suka kat kita la, datang melawat kita la…blah, blah, blah.. Tapi kita takut dengan monyet tu. Memang itu hanya monyet kecil tapi kita pernah halau dia dari balkoni, dia tunjuk giginya pada kita. kita merasa begitu lemah dan sedih, hanya kerana seekor monyet kecil…ujian!~

Jadi semalam kita pergi kedai hardware, beli jaring dan dawai. Kita akan panjat dan usahakan sendiri. Allah sahaja pelindung dan penjaga yang tak akan mengecewakan. DIA dah bagi kita akal dan kudrat, lebih baik bergantung dan mengharap pertolonganNYA daripada pertolongan sesama manusia. Lepas tu kita buat apa yang termampu untuk tutup segala ruang yang mungkin boleh dimasuki oleh monyet kelabu kecil tu. Lepas tu kita basuh kain-kain dan baju yang kita rasa telah dicemari monyet. Kita mop lantai, cuci dan lap perabot, cuci pinggan-mangkuk kat dapur dan buat apa yang patut. Penatnya!

Pengajarannya adalah lebih baik kita berusaha dengan apa yang Allah anugerahkan kepada kita…brain and brawn! Lepas itu kita bertawakkal. Sebabnya sehingga hari ini tak ada pun perangkap yang dikatakan akan dipasang. Begitulah bila meletakkan harapan kepada sesama manusia…seringkali kecewa. Kita dah lama hidup sendiri dan hampir setiap waktu kita berdikari, Alhamdulillah! Tapi kita hanya manusia biasa yang ada kalanya'merasa' tak mampu nak buat semua benda sendiri…walaupun sebenarnya kalau kita usahakan, insyaallah boleh! Mungkin hasilnya tak sebaik atau secantik hasil tangan seorang lelaki yang secara semulajadi harus lebih gagah dan lebih mantap dari segi keupayaan dalam kerja-kerja begini.

Allah tak akan membiarkan kita dalam keadaan begini tanpa membekal dan mempersiapkan kita dengan keperluan hidup. Itulah yang kita pelajari, tapi nafsu manusia, kita terasa sedih juga sebab hanya seekor monyet kecil, fikiran kita terganggu, penumpuan kita hilang, keberanian kita tercabar dan keyakinan kita tercalar. Lemahnya kita. Apapun kita berdoa semoga monyet tu tak datang lagi. Semoga Allah beri kita semua kekuatan untuk melalui kehidupan ini walau apapun keadaannya. Semoga kita semua selamat dunia dan akhirat. Amin.