Thursday, May 28, 2009

Lebih baik dalam kekurangan tapi kaya dari kaya tapi serba kekurangan.

Hari ni belajar menentukan arah kiblat dengan praktikalnya sekali. Alhamdulillah, dah tahu teori, tahu serba sikit, hari ni belajar betul-betul dengan orang yang memang pakar dalam bidang ini. Banyak pengisian jiwa,banyak pengetahuan, semoga juga bertambah banyak iman.

Melihat cakerawala memang sentiasa mengagumi kehebatan Allah. Hari ni mendengar lagi, memang terasa banyak sungguh keajaiban yang memang tak terjangkau oleh fikiran manusia yang lemah seperti kita. Betul lah kalau dikata, kita tidak dapat melihat Allah bukan kerana Dia tiada, tapi kerana hebatnya Allah itu mengatasi segala ada dalam seluruh jagat alam cakerawala ini, membuat mata kita yang walau terang tak mampu melihat. Ingat cerita nabi Musa a.s yang ingin melihat Allah, jatuh pengsan hanya kerana Allah zahirkan sedikit sahaja, sehingga gunung cair.

Alam angkasa yang luas pun kita tak dapat melihat dengan jelas, kalau dapat melihat sedikit melalui teknologi canggih pun hanya sebahagian yang amat kecil, apalah kemampuan untuk melihat Zat yang telah mencipta segalanya itu. Begitulah kehebatan, keajaiban, kekuasaan Maha Suci Allah.

Bila fikir alangkah bahaya juga kalau kita cuba nak memikir terlalu jauh, lebih baik berhenti pada takat yang mampu akal dan iman kita menerima kerana memikir tanpa bimbingan guru yang benar-benar faham ilmu Allah bakal membawa bencana jika tak kena gayanya. Semoga kita dilindungi Allah dengan rahmat kasih-sayangnya, dari jatuh tersungkur menyangka diri beriman tapi sudah jauh tersasar. Semoga kita hidup dalam iman yang sebenar dan mati juga dalam iman yang sebnar-benarnya kepada Allah sahaja sebagai satu-satunya Penguasa, Pencipta, dialah Allah yang mengetahui segala.

Aneh kadang-kadang kita melihat manusia yang datang melaburkan masa dan tenaga untuk belajar kemudian setiap habis sesi ada sesuatu yang dia rasa tidak benar dan cuba mempengaruhi orang lain tentang fikirannya itu. Tak salah kalau kita merasa kurang pasti, belajar dan tanyalah lagi. Tak cukup satu guru, carilah guru lain. Belajarlah dengan lapang dada dan fikiran terbuka. Kalau kita kurang setuju, mengapa tidak simpan sahaja dulu perasaan tu, atau tanya guru itu. Balik dan carilah jawapannya, penyelesaiannya dan bertanyalah kepada orang lain yang mahir dalam bidang tersebut.

Janganlah mudah mengeluarkan pendapat atau pandangan sendiri kerana dalam ilmu-ilmu yang berkaitan agama ni, banyak akibat dan bahayanya. Dan alangkah malangnya bila kita dapat meyakinkan orang lain pula tentang fikiran mereka itu. Memanglah mungkin ada kebenaran pada apa yang mereka kata, tapi, kalau benar berilmu carilah platform lain untuk sampaikan ceramah kita pula, bukan waktu rehat antara sesi untuk mengkritik apa yang baru kita pelajari.

Ingatlah bahawa antara ilmu dan kebijaksanaan itu ada bezanya. Bersetuju dan menerima juga berbeza maknanya. Tahu dan faham juga berbeza. Janganlah kerana kita ada kelayakan dan diiktiraf dengan sehelai kertas, dua atau tiga, kita rasa kita berbeza dan lebih tinggi ilmu dan lebih tahu. Nilai kita bukan pada pengiktirafan manusia kerana kelayakan kertas sahaja (– memang susah nak dapat kelayakan kertas tu; masa yang lama, kajian yang panjang, buku yang beribu, segala macam tahu, tapi ingatlah juga jika segala yang kita ada hanya bernilai sebutir embun dihujung daun- ) tapi pada hati budi, pada pekerti, pada adab sopan dan pada amalan. Dan di akhirnya, apa juga perang kita di dunia dengan siapa, atas dasar apa, mengapa, kenapa.......... hujungnya perhitungan kita hanyalah dengan Allah sahaja!

Lalu mengapalah kita selalu benar melihat sekeliling sahaja tetapi tidak pada diri dan ke dalam diri? Wallahualam!

No comments:

Post a Comment