Friday, May 29, 2009

Bukan kuasa kita!

Siapa yang nak disalahkan kalau apa yang kita harapkan tidak berlaku? Kalau kita berusaha sedaya upaya kita untuk mendapatkan sesuatu dengan jalan yang baik, tiada menindas atau memotong jalan orang lain, tak mengabaikan segala hak yang perlu ditunaikan, tidak melanggar undang-undang, tidak mencuaikan ibadat-ibadat wajib, tidak menipu- membohong, tidak menganiaya sesiapa. Kita telah usahakan segala-galanya. Ibarat kalau orang yang nak makan buah durian – dimulakan dengan mencari tanah yang sesuai untuk menanamnya. Di beli dengan duit yang halal dan kemudian diusahakan tanah itu. Di tebang-tebas segala semak samun, disemai benih yang sebaik-baiknya, dibajai, disirami, dijaga dari segala perosak, sehingga tiba musim sepatutnya ia berbuah, buahnya di curi orang, tanah di rampas atau bala bencana menimpa, rosak segala tanaman. Alangkah hampa hati orang yang berusaha menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkan hasilnya tetapi tidak menjadi.

Tetapi bagi orang yang memiliki sifat-sifat yang disebut di atas, segala yang berlaku pasti diterima berlapang dada, dengan hati reda menerima segala sebagai ujian yang banyak hikmah dan kebaikannya. Kerana dari awal usaha segala-galanya bermula dengan keimanan yang tebal kukuh dalam hati. Lalu apa sahaja usaha yang dijalankan seiring dengan amalan dan doa meyakini bahawa benar kita hanya merancang Allah juga yang menentukan. Sebaliknya bagi orang yang menanamkan cita-cita untuk mendapatkan sesuatu yang sama kepentingannya, namun berusaha dengan cara apa saja walaupun terpaksa meninggalkan ibadat yang wajib dan utama, mengarah dan menindas keringat orang lain, membuat berbagai-bagai-bagai pembohongan dan cerita, penghujungnya apabila hasilnya hampa, mulalah mencari salah siapa di sebalik semuanya.

Ada saja silap bagi setiap kegagalan dan silap itu biasanya tak pernah terlihat pada diri sendiri. Kalau ada mungkin hanya merasa bahawa diri tak cukup berusaha dengan lebih keras lagi untuk berjaya. Yang lain mesti salah orang lain. Sehingga kadangkala kita lukakan hati orang kerana kita gagal dapat apa yang kita ingini. Itu termasuk kepada ‘obsession’- taksub dengan keinginan sehingga buta mata, buta hati. Itulah orang yang melihat tapi buta, mendengar tapi pekak. Terapung di daratan angan-angan, tergantung di langit impian, lapar dalam kenyang, mulut tertutup memekakkan, lebih tapi kurang, tidur dalam berjaga , gelap dalam cahaya, berjalan tapi lumpuh, dijadikan tongkat menjatuhkan, dijadikan payung- basah, di pakai-mendedahkan, di hampar- mengotorkan, ada tapi tiada. Malangnya kalau kita jadi begitu. Kehadiran hanya menyebabkan resah gelisah orang lain, mengganggu ketenteraman dan tidak menyenangkan. Kalau rendang tak berbuah pun sekurang-kurangnya meneduhkan tak apalah juga tapi dahlah tak memberi redup, menjadi sebab penyakit pula.

Orang yang tidak merasa cukup dan puas dengan apa yang ada. Mengingini apa saja yang dimiliki oleh orang lain malahan nak lebih lagi. Mengapalah tak pernah rasa puas dengan apa yang kita ada? Mengapalah nak rasa kita masih kurang? Mengapalah nak fikir kenapa, mengapa harta orang lebih, rumah orang besar, isteri orang cantik, anak orang pandai, kerja orang hebat, hidup orang bahagia? Susahlah nak jawab soalan ni. Sebab itu tak payah nak tanya, kenapa aku pun belajar tapi tak dapat macam tu. Aku pun rajin tak senang macam tu, aku pun baik tak dapat isteri sebaik itu. Tak payahlah nak mencari salah orang. Tak payah cari kekurangan diri, tak payah rasa rendah diri, tak payah mengeluh. Bersyukurlah! Apa saja kejayaan kita kerana usaha, syukurlah. Apa saja kesusahan kita walaupun berusaha, bersyukurlah. Apa saja sedikit yang kita miliki bersyukurlah. Mengapa nak banding diri kita dengan orang lain. Mengapa nak bersaing-saing dalam kehidupan kebendaan. Untuk apa? Dan yang hairannya mengapa bila buat perbandingan, mesti dengan yang lebih kaya, lebih baik, yang lebih banyak harta, yang lebih besar rumahnya, lebih besar dan banyak keretanya, yang sihat, yang kacak, yang cantik. Kenapa tak tengok yang tidur tepi jalan tak ada rumah, yang berjalan kaki-basikal pun tak ada, yang anak-anak semuanya jadi penghuni penjara, yang cacat, yang sakit, yang miskin, yang sebatang-kara, yang tak miliki apa-apapun.

Tak nak pulak bersaing dengan orang yang setiap waktu berjemaah di masjid, yang mengejar-mengejar waktu nak hadir majlis ilmu, yang memberi sentiasa walau sedikit, yang bangun setiap malam tahajjud, yang mengaji setiap hari, yang pakaiannya biasa-biasa sahaja tapi nampak indah dan menyenangkan dimata kita, yang makannya mudah saja tak menyusahkan sesiapa, yang senyumnya murah tapi tak ternilai harganya. Dihormati tanpa mencari penghormatan, dihargai tanpa memberi ganjaran, di rindui walau tiada ikatan – hanya kerana peribadinya yang hebat. Bukan hartanya, bukan keretanya, bukan keluarganya, bukan jawatan atau namanya.

Entahlah. Apapun bukanlah bermakna kita harus berhenti berusaha, berhenti bekerja hanya kerana kita merasa redha. Janganlah sempitkan fikiran kita bila kita kalah dalam perdebatan untuk menegakkan kebenaran kita yang tak benar dan meletakkan kesalahan pada yang tak salah – lalu kita kata, ”Lantaklah korang, aku malas dan taknak campur lagi!” Tenanglah dan percayalah bahawa itulah kehidupan. Ada benda yang kita tolak- dia datang, kita tarik- dia pergi, lagi ditutup-terbuka, kita tahu tapi tak faham, kita cari tak jumpa dan kita tak minta tapi dapat!

No comments:

Post a Comment