Saturday, May 16, 2009

Guru oh guru!

Hari ini adalah hari mengenang jasa-jasa guru. Memang sesuatu yang baik kerana agama juga mengajarkan kita supaya sentiasa bersyukur dan menghargai segala kebaikan orang kepada kita. Segalanya dari Allah melalui lidah, hati dan akal guru yang mulia dan dimuliakan.

Wahai guru-guruku, semoga Allah memberkati anda semua atas segala ilmu yang telah kalian ajar secara formal atau tidak. Kerana insan biasa seperti kita tak mungkin akan tahu segala perkara. Apa saja yang kita pelajari, dari sesiapapun sebenarnya adalah ilmu dari seorang guru. (tak semestinya guru itu ada kertas yang mengiktirafnya sebagai guru).
Dan semoga segala pengetahuan itu mendapat berkat dari Allah Subhanahuwataala.

Apa juga kebaikan yang guru telah lakukan insyaallah dibalas dengan kebaikan juga. Kerana berapa banyak kita cuba bayar kebaikan dan segala ilmu, tak mungkin dapat kita nilaikan dengan wang ringgit. Samalah juga dengan apa yang emak dan ayah ajar kita di awal usia, guru kita yang asas dan pertama- itulah emak dan ayah.

Berbalik zaman persekolahan, kadang-kadang ada cikgu yang kita tak akan lupa sampai bila-bila pun, walaupun setelah berpuluh tahun meninggalkan alam persekolahan, rendah dan menengah namun ada juga cikgu yang kita tak ingat, entah kenapa. Apa pun benarlah kata Sasterawan Negara , Usman Awang dalam sajaknya Guru oh guru (1979) – tak perlu penjelasan apa-apa!

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Bagai bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia menjadi dewasa

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan keringat
Pemimpin ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat

Jika hari ini seorang perdana menteri berkuasa
Jika hari ini seorang raja menaiki tahta
Jika hari ini seorang presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulamak yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini sesiapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan dengan seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca

Dimana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di ibu kota
Di bangungan tua sekolah di Hulu Terengganu
Dia adalah guru yang mewakili seribu buku
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin beerti tugasnya kepada negara

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu guruku
Budi yang diapungkan didulang ilmu
Panggilan keramat ‘cikgu’ kekal terpahat
Menjadi kenangan keakhir hayat.

No comments:

Post a Comment