Bila Tuhan gembira melihat kita semua orang pasti gembira melihat kita. Jika Tuhan melindungi kita tiada suatu apa akan memudaratkan kita. Itu adalah kebenaran dan kenyataan yang kita terima dan kita pegang. Bahawa kita mencari keredaan ALLAH dengan reda pada apa juga ujian yang kita lalui dan kita yakin bahawa kalau kita buat salah dan dosa, kita akan menanggung segala natijah dan akibat perbuatan kita.
Kita membaca berbagai kisah berkaitan pembunuhan kejam Syafia Humairah. Bagaimana latarbelakang ibu bapa dan teman lelaki ibu yang membunuhnya. Alangkah malangnya melihat kebejatan akhlak yang pada kita mula menyamai segala akhlak buruk kaum jahiliah arab sehingga ALLAH mengutuskan Rasulullah s.a.w. Perzinaan, pembunuhan kanak-kanak dan bayi, minum arak, pembunuhan antara puak adalah perkara yang merupakan lumrah masyarakat pada ketika itu. Dan alangkah sedihnya apabila kita tidak berusaha memperbaiki diri dan menjaga akhlak sehingga apabila terbongkar sesuatu perkara, ia disusuli dengan pembongkaran berbagai perkara termasuk kisah silam ibu, bapa dan teman lelaki ibu yang membunuh Syafia Humairah.
Kita semua adalah manusia biasa yang tidak akan lari daripada melakukan kesalahan dan dosa. Namun begitu naluri semulajadi manusia adalah untuk menjadi baik. Dan kebaikan itu adalah sebenarnya suatu perkara yang universal, dipandang daripada sudut yang sama oleh semua orang dimana sahaja mereka berada. Siapakah yang akan bersetuju dan menyokong perbuatan seorang lelaki membunuh seorang anak kecil dengan menyepak dan menendang, memijak dan melambungnya apabila umurnya hanya 3 tahun….apakah salah besar yang dia telah lakukan?
Tapi kita berbalik kepada diri kita semula sebagai orang dewasa yang tidak diuji dengan pembunuhan sebegini. Apakah akhlak kita telah cukup baik dan mulia? Mulia kah kita sekiranya kita tidak membunuh sesiapa tetapi:
1. Bersuami dan melayan lelaki lain hanya kerana kita kecewa dengan sikap suami kita?
2. Berpakaian menjolok mata, dedah sana dedah sini sebab kita kecewa di tinggalkan lelaki?
3. Mengata keburukan orang yang kita tak pasti kebenarannya hanya mendengar dari orang lain?
4. Mengutuk segala kesalahan orang dengan menggunakan perkataan yang kita marah kalau dengar anak kita ungkapkan?
5. Sembahyang dan puasa lebih banyak daripada orang lain dan merasa kitalah yang paling baik?
6. Menasihati orang lain untuk buat baik sedangkan kita pantang lepa sahaja akan buat perkara yang tak patut kita buat?
7. Menipu dan mengambil kesempatan untuk kesenangan diri, tak kiralah macamana janji kita tak susah?
8. Dan macam-macam lagi….
Buruknya akhlak orang-orang yang kita baca dalam kisah sedih anak kecil bernama Syafia Humairah tapi kita juga pernah baca kisah pembunuhan anak remaja oleh rakan-rakan remaja yang menjadi harapan ibu bapa mereka, belajar agama, menghafaz Al-Quran, tahu halal-haram hanya kerana sebuah cerek elektrik. Apa kesimpulannya? Bahawa ALLAH menguji manusia dengan berbagai cara untuk berbagai tujuan walaupun mungkin perbuatannya hampir sama. Membunuh….menyebabkan kematian orang lain. Mungkin dalam kes yang kedua, anak-anak remaja ini mendapat peluang kedua untuk memperbaiki diri, beroleh keinsafan kerana selama ini mereka merasa diri mereka hebat sebagai senior dan punya hak untuk marah pada orang baru, junior. Nafsu amarah yang tak terkawal akhirnya berakhir dengan kematian. Kita sedih bila memikirkan anak kita mati dibunuh, tapi kita lagi sedih memikirkan anak kita menjadi pembunuh.
Mungkin dalam kes pertama pula, keseronokan hidup di duia ini adalah satu-satunya matlamat hidup orang-orang yang terbabit. Kehidupan hanya berkisar kepada kepuasan hawa nafsu, kemahuan fizikal, keperluan berseronok mengatasi keperluan lain. Tiada matlamat jangka panjang dan matlamat kehidupan abadi. Bila ada sesuatu yang terhalang atau menghalang, itulah yang perlu di atasi terlebih dahulu. Seorang isteri dan ibu yang merasa tanggungjawab sebagai isteri lebih besar daripada tanggungjawab sebagai ibu tidak akan mampu hidup tanpa lelaki di sisinya…di perlukan teman, perlukan belaian, perlukan sentuhan…mengatasi keperluan memberikan didikan dan kaasih sayang kepada anak-anaknya. Jadi kalau tiada suami yang sah, mana-mana lelaki yang boleh berperanan macam suami pun jadi. Anak-anak hanyalah kesan dan akibat daripada perhubungan fizikal antara lelaki dan perempuan, bukan satu tanggungjawab dan amanah yang penting! Peranan isteri juga hanya sekadar ingin dibelai dan membelai seorang lelaki. Entahlah. Tiba-tiba kita rasa berat benar tanggungan mereka…kita pun tak mampu untuk luahkan!
Sebagai orang yang memerhati apa yang kita dapat? Pengajaran bahawa kita perlu jaga diri kita supaya tiada sesuatu yang buruk berlaku kepada kita akibat kejahilan diri sendiri dan keburukan akhlak yang kita amalkan. Benarlah kita wajib meninggalkan apa-apa perbuatan yang buruk kerana itu adalah kezaliman kepada diri sendiri yang akhirnya kita juga terpaksa menanggung akibatnya. Kita merana bukan kerana ALLAH zalim pada kita tapi kerana kita menzalimi diri sendiri!
Ya ALLAH ampunilah kami semua! Sesungguhnya kami telah menzalimi diri kami sendiri. Amin!
Friday, March 5, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment