Kita menerima e-mel daripada seorang sahabat tentang ayam-ayam sembelih tak sembelih betul, sah tak sah, mati sembelih ke mati terendam ke, mati belum sembelih ke… satu jenama ayam goreng terkemuka di Malaysia dan di seluruh dunia. Kita pun bimbang jugak kalau benar. Dan dalam e-mel tu dinyatakan tentang seorang tokoh ustaz terkemuka yang mendakwa ayam goreng tu haram hasil daripada siasatan beliau di kawasan penyembelihan pada waktu subuh. Tentang tukang sembelih semua tak sembahyang, ayam yang dah mati pun kena sembelih, ayam tak mati secara semula jadi selepas di sembelih dan juga testimoni daripada seorang yang pernah bekerja sebagai penyembelih hanya bertahan beberapa hari. Kerana lajunya pusingan ayam sehingga tak sempat pun nak habis baca basmalah.
Kita pun terkejut juga kalau benarlah perkara macam ni berlaku. Kita dah banyak dengar cerita tapi kali ni ada yang menamakan seorang ustaz terkenal menyatakan bahawa hukumnya haram… tak boleh makan. Kalau benar, alangkah malangnya sebab syarikat ini sekarang dimiliki oleh perbadanan yang dimiliki oleh orang Islam. Dan baru semalam kita dengar wawancara dengan salah seorang orang besarnya tentang perniagaan sebagai jihad agama ini. Dan bagaimana cara kita nak sampaikan perkara ini jika benarlah ia berlaku supaya ada tindakan yang boleh dibuat agar tiada sesiapa yang teraniaya terutamanya umat Islam yang percaya dan tak sedar akan perkara ini.
Teringat pulak tentang satu syarikat pengeluar aiskrim antarabangsa yang mengeluarkan senarai aiskrim dengan terperinci dengan kandungan bahannya untuk makluman kepada orang Islam… mereka lebih berintegriti dari orang Islam sendiri. Teringat juga tentang cerita Ustaz Zahazan dalam satu siri tafsir Al-Quran di radio Ikim tentang seorang peniaga yang menjual dan mengedar minyak zaitun. Suatu hari seorang pembantunya mengadu tentang satu tong yang telah dimasuki oleh tikus. Maka peniaga tersebut menyuruh tandakan tong tu untuk di buang. Tapi seorang pekerja lain telah menutup semua tong kerana dia tidak tahu. Lalu apa kata peniaga tersebut apabila dia mendapat tahu bahawa tong yang tercemar telah ditutup, disuruhnya buang kesemua tong yang ada walaupun rugi beribu-ribu dirham…(nilai duit tak ingat daaa…). Dan kita sayang nak buang ayam dah mati dalam lori, sembelih juga bagi orang makan. Berapakah nilai seekor ayam daging dibanding dengan dosa yang kita tanggung beri orang makan makanan yang tak halal dan tidak suci??? Nauzubillah, serammm! Teringat juga kisah Sayidina Umar r.a. yang mendengar perbualan anak dan ibu yang menyuruh si anak mencampuri air ke dalam susu. Lalu si anak membantah kerana yakin Allah tak pernah terlepas pandang akan segala kejahatan dan kesalahan hamba-hambaNya. Langsung jadi menatu Khalifah anak perempuan itu. Dan lahir dari rahimnya seorang lagi Umar yang menjadi Khalifah yang terkemuka.
Macam mana kita nak lihat keturunan dan generasi yang cemerlang kalau makanan yang kita beri kepada mereka adalah yang tidak halal dan tidak menepati hukum syarak. Perkara ini bukan remeh atau perkara kecil. Sesuatu harus dilakukan oleh pihak yang mempunyai kuasa untuk mengubah keadaan. Dan orang-orang yang kat atas tu, turunlah ke bawah, jenguklah anak buah yang buat kerja, utamakan mencari reda Allah dalam perniagaan bukan keuntungan semata-mata. Alangkah malangnya bila Big Boss bercerita tentang jihad melalui perniagaan, soal halal haram dalam perniagaan, membantu umat Islam melalui perniagaan dan segala macam tetapi hakikat sebenarnya, perniagaan dicemari oleh perlakuan yang terang jelas, salah dari sudut agama.
Kita hanya mengulas dan memberi pandangan sendiri, tapi ia membuat kita was-was dan ragu untuk makan apa yang kita dah hilang keyakinan padanya. Jika semua orang yang membaca juga hilang keyakinan bayangkan betapa banyaknya kerugian yang akan mereka alami. Jadi kita sangat berharap hal ini disiasat dan di sahkan benar atau tidak. Manalah tahu ada saingan perniagaan yang kurang senang lalu menggunakan nama orang lain untuk merosakkan perniagaan saingan. Tetapi apa pun bagi diri kita, selagi tiada pengesahan bahawa semua itu tidak berlaku, kita tak akan makan la lagi, kita pun memang kurang berminat pun sejak dari dulu lagi.
Semoga kita selalu ingat bahawa apa yang kita makan itu menjadi darah daging…Wallahualam.
Wednesday, November 25, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment