Pernah tak terfikir andai kita boleh mencipta ribut, taufan badai dan gelombang? Mungkin dalam satu hari beratus-ratus tsunami akan berlaku dan lebih banyak yang mati dari yang hidup. Kalau kita boleh menurunkan hujan atau menahan hujan, mungkin ramai yang akan mati dipanah petir setiap hari kerana ada yang nak hujan dan ada yang taknak hujan, lalu awan antara nak hujan tak hujan, sentiasa padat dan penuh tepu, membentuk banyak sekali cas dan sedikit sentuhan (friction?) akan menyebab aliran elektrik yang kuat dan berkuasa tinggi. Kalau tak pun ada masa sepanjang tahun banjir atau sepanjang tahun kemarau, tengoklah siapa yang kuat. Pernahkah terfikir kalau kita boleh menukar musim dan struktur tanah-tanih? Bunga nak kembang tak jadi, buah nak keluar tak tentu, binatang-binatang dalam kebingungan tak tahu ke mana tak tuju. Sebab manusia ni kepalanya tak sama dan keinginan juga berbagai-bagai. Susah nak hidup.
Kalau kita fikir begitu, lebih baik kita tak punyai kuasa-kuasa hebat begitu tapi Tuhan dah memang tahu dah! Sebab tu Tuhan yang hanya satu itu, menjadikan kita lemah dari segi kehebatan kuasa tapi hebat dari segi akal dan pemikiran. Walaupun kita tiada kuasa mencipta gelombang, ribut dan segala tetapi kita boleh berusaha untuk melindungi diri kita dari bala bencana akibat bencana-bencana seumpama ini.
Namun begitu kerap berlaku kehidupan kita sengsara, punah ranah dan di timpa kemusnahan bukan kerana bencana alam dan malapetaka semula jadi tapi berlaku kerana kita tanpa sedar menyebabkan kemusnahan dan kerosakan dalam kehidupan kita. Memang benar bencana alam sekali ia berlaku boleh menyebabkan kemusnahan besar dan kehilangan nyawa yang banyak dalam sekelip mata tapi kalau kita lihat sekeliling kita, kemusnahan berlaku setiap hari walau bencana alam berlaku sekali-sekala. (Memang lebih kerap sekarang, ketika dunia di hujung usianya)
Ramai orang yang mendapat pengajaran hanya setelah menderita ditimpa badai rasa kerana kegagalan dalam kehidupan. Malangnya bukan semua pengajaran yang diterima itu pengajaran yang positif. Ada yang mengambil peluang untuk membalas dendam atau berubah untuk menunjukkan bahawa dia boleh melalui segala badai gelombang kekecewaan ini- berubah dari mulia menjadi hina. Lelaki yang sakit hati boleh mengambil tindakan memperdaya ramai perempuan lain kerana kecewa dengan hanya seorang wanita sahaja. Perempuan dari elok-elok menutup aurat bertukar gaya dedah-mendedah hanya kerana merasa diri tiada kekurangan. Orang yang kehilangan wang dan harta benda menipu dan merampas pula harta benda orang lain. Orang yang pergi masjid hilang selipar balik pakai kasut orang lain. Aduhai, mana kita nak dapat hentikan gelombang kerosakan sedia ada bila kita pulak ikut serta lebih teruk dari apa yang kita alami.
Sebenarnya hidup ini kita yang memilih jalan yang hendak kita tempuh. Nak dapat baik buat baik, nak bahagia jangan menyusahkan orang. Jangan mudah meletakkan apa-apa yang berlaku pada takdir. Memang benar ada takdir kehidupan tetapi sesuatu yang belum berlaku bukan takdir. Kalau kita memilih untuk membina kehidupan untuk hanya sehari dua tanpa ada perancangan jangkapanjang mungkin bahagia kita pun bukan bahagia yang panjang jangka hayatnya. Keindahan yang dilihat dengan nafsu bukan dengan matahati akan rosak jika nafsu manusia yang tak pernah puas mula merasa kekurangan dan tak seronok lagi. Mengapa kita selalu menggunakan rasional kita yang tak rasional. Pernah tak kita duduk dan membuat kira-kira ( tak semestinya matematik je) ambil kertas tulis kebaikan dan keburukan tindakan kita untuk hari ini, esok, tahun depan, sepuluh tahun lagi jika panjang umur. Pernahkah kita buat perancangan stratejik (bukan untuk syarikat atau organisasi sahaja) untuk kehidupan kita? Jika sesuatu berlaku apa yang boleh kita buat. Apa persediaan kita untuk menghadapi sekiranya berlaku gelombang pusingan kedua?
Janganlah kita cepat sangat meletakkan segala pada takdir sebab pasti kita akan ditanya apa yang kita buat dalam hidup ini. Logiknya kalau semua boleh diletak pada takdir, maka tak adil lah pula kita di hakimi pada perkara yang diluar kuasa kita kan? Tuhan telah beri kita akal, mata, telinga, hidung, segala kemudahan dalam dunia ni sebagai amanah dan kita yang menguruskannya. Melainkan kita telah berusaha besungguh-sunguh untuk mengelak atau untuk mendapatkan sesuatu hingga ke titisan peluh dan darah terakhir tetapi hasil yang kita dapat adalah sebaliknya, maka itulah takdir. Kalau kita masak nasi goreng dengan harapan untuk menghilangkan kempunan kita nak makan daging steak, mana mungkin nasi itu bertukar jadi daging. Tapi kalau kita dah dapat daging, dah siap segala bahan, tiba-tiba kucing curi steak kita, ada lak orang datang bagi nasi goreng, itulah takdir.
Mana mungkin kita kahwin kerana terpaksa kerana dah kena cekup khalwat kalau kita tak pergi ke tempat sunyi, duduk berdua dengan bukan mahram. Lepas tu kahwin tak bahagia kita kata takdir sebab dah kena cekup. Tapi kalau kita sesat pergi satu tempat tiba-tiba ada orang lain jugak sesat, lepas tu kita cuba nak keluar, datang orang cekup, lepas tu ada pulak saksi durjana kata memang iye, kita sengaja duduk dalam tu. Ayah kita paksa kita kawin dengan lelaki tu dan lelaki tu pulak rela, itu takdir. Sebab memang Allah Maha Tahu tapi Allah tidak bersifat zalim pada makhluknya. Bagi setiap keadaan sentiasa ada beberapa pilihan. Pilihan kita itu akan menentukan kesudahannya. Bukan kita tak percaya pada takdir tapi manusia perlu berusaha. Orang yang meletakkan segala pada takdir adalah orang yang mencari jalan penyelesaian mudah bagi menjawab persoalan dan melepaskan diri dari keadaan.
Pepatah kata kita hanya merancang tapi Allah yang menentukan, memang tepat. Tapi sehebat manakah perancangan kita, apa yang telah berlaku memang tak dapat diubah. Tapi masih ada jalan dan usaha bagi sesuatu yang belum terlaksana. Fikirlah sedalam-dalam dan semasak-masaknya kerana apa jua tindakan kita, natijahnya kita jugalah yang akan hadapi.
Friday, June 5, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment