Wednesday, January 6, 2010

What you left behind, what is abandoned.....

Didn’t do much reading and was listening to Usrah Rasa Hati- Radio IKIM. As usual all said and discussed are meaningful- food for thy soul. But towards the end of the slot, Tabib Nor, one of the speakers said something that sank deep into the core of my mind!

In the pursue of worldly wealth and happiness we are actually abandoning and neglecting God, ALLAH and other people are trying to adopt HIM! Alamak, why didn’t I see it that way? It wasn’t other people who are at fault, they shouldn’t be blamed, they are just trying their luck and it seemed, they have succeeded!

So, who are to be blamed? Me, you….a dog named boo? I don’t know! Do you think of ALLAH all the time? Do you obey all HIS command? Is HE included in everything you do? Do you keep HIM in mind, alone or in crowd? Do you feel HIS presence in public or in isolation? Do you remember HE is watching you though others are not? Do you perform the compulsory 5-solat everyday? Do you refrain yourselves from HIS prohibition, what are forbidden, things to avoid……..?

If we forget, is it wrong for others to remember? Hu huh u….. I need time to reflect and I pray for Divine Intervention….suddenly I feel lost! Why didn’t we appreciate, why didn’t we take good care, why didn’t we this, why didn’t we that… why, why, why??? And you are questioning other people why???

But then, it isn't too late for us to fight and get what is rightfully ours and to take this as a lesson to never take things lightly and never take things for granted!!!

Kita tetap yakin!

Okay lah, hari ini kita rasa kena banyak bertenang dan beristighfar bukan mengikut emosi dan rasa hati. Mungkin juga sebahagian dari rasa marah dan geram kita bukan datang dari hati dan iman tapi dari hawa nafsu dan bisikan syaitan yang merosakkan. Kita kena duduk diam dan berfikir dengan akal dan waras dan iman yang benar, kembali kepada ajaran agama Islam yang suci dan mulia. So, hari ni kita duduk dan berfikir punca dan asal masalah yang datang ini. Membaca dan membuka laman web dan akhbar-akhbar lama, kita melihat isu yang kita asyik perkatakan ini telah banyak kali dibincangkan dan kita pun ingat tentang larangan yang pernah di keluarkan pada tahun 2008.

Orang Islam yang menentang macam kita ni tentang penggunaan nama ALLAH oleh agama lain di Malaysia ni bukan menentang kaum atau agama lain tapi menentang penggunaan kalimah dan nama suci yang kita kenal sejak kita lahir lagi sebagai nama Tuhan yang satu, tiada lain melainkan Dia, tiada yang seumpama Nya, tiada yang mengatasi Nya, tiada yang setara. So, kita cuba bayangkan kita nak guna kerana mudah menterjemahkan bahasa antara God dengan Tuhan atau God dengan Allah. Sama ke God dengan Allah atau God dengan Tuhan. Lepas tu kita mula merapu memikirkan tentang menterjemahkan bahasa Inggeris ke bahasa Melayu kalau megikut budaya pun makna berbeza. Contohnya: Malam Jumaat dengan Friday night – dalam konteks budaya Melayu dan bahasa Inggeris. Atau kita sebut tentang left bank of the river dengan tebing kiri sungai, dari pandangan mana...hulu ke hilir ke...bagi seorang Melayu dan seorang Inggeris ( kena baca sejarah dan budaya nak faham ni).

Lepas tu, sejak berabad-abad lamanya, Jesus itu di gunakan sebagai nama Tuhan mengapa pulak sekarang, beberapa tahun kebelakangan ni beria-ria nak pakai nama ALLAH pulak? Dah tak sedap ke nama tu atau tak yakin dah dengan Tuhan tu, sehingga terpaksa mengambil nama Tuhan yang memang sejak Islam di wahyukan lagi digunakan. Dah hilang keyakinan ke dengan Tuhan sendiri? Heran jugak! Kalau nak kaji dari sudut fungsi perkataan dalam bahasa... ini nama khas. ALLAH. Kalau perkataan lain mungkin boleh ubah fungsi ada masa noun, atau boleh jadi verb atau adjective atau adverb. Ye kita tak salah cakap...kita tahu sebab ini bidang kita. Tapi bab nama Yang Satu ni kita masih keliru.

Tapi kita penatlah sekarang. Kita nak sambung balik bacaan kita tadi. Nanti kita komen lagi. Tapi dalam Islam hanya ALLAH sahaja yang dapat mengampunkan dosa dan menerima taubat tau. Tapi bagi Kristian kita boleh buat pengakuan dan boleh diampunkan oleh manusia yang seumpama dengan kita juga. So, apa kerja ALLAH pada mereka ye? Kita pergi membaca la semula!

Benarkah kita beriman?

Sebagai seorang Islam yang benar-benar benar beriman kepada ALLAH yang Maha Esa dan segala apa yang di sampaikan oleh Rasulullah s.a.w. daripada wahyu, Al-Quran, dan hadis setiap Muslim pasti percaya akan kehebatan kekuasaan ALLAH Subhanawataala. Namun begitu adakah kita hanya berdiam diri dan hanya yakin bahawa ALLAH yang Maha Agung akan pastinya membalas perbuatan orang-orang yang menghina Nya? Apakah tanggungjawab kita sebagai hambanya?

Bayangkan jika kita bekerja dengan seseorang yang memberi kita segala kebaikan seperti tempat tinggal, makan, pakai, perlindungan, menemukan kita pasangan, mengahwinkan kita, menyara anak-anak kita dan menjaga segala kebajikan kita sekeluarga. Kemudian datang sekumpulan orang yang sama taraf dengan kita, pekerja bawahan sahaja…. Menghina tuan kita, mencampakkan dia ke tempat yang kotor dan hina, mencemarkan namanya dengan berbagai-bagai cara. Adakah kita akan hanya memandang sahaja kerana kita tahu dia seorang yang gagah, kaya, berharta, kuat, bla bla bla ….. Adil kah kita memandang sahaja orang yang telah berbuat kebaikan kepada kita diperlakukan sedemikian rupa. Itulah tanda kita orang yang tidak mengenang budi dan memang tak layak ditolong pun.

Apa yang nak kita katakan disini bukan nya mengajak semua orang angkat senjata pergi memerangi ”orang yang jahat” ni (melainkan tak ada cara lain) tapi kita boleh melawan dengan bilangan suara kita yang ramai, tindakan kita yang waras dan wajar dan desakan yang jika tidak di dengari, pastinya akan mencetuskan kebimbangan di hati musush ALLAH dan musuh Islam.

Lemahnya orang-orang Islam hari ini, termasuk kita lah tu, boleh diam dan tunggu pulak hari-hari tertentu untuk berbincang, bermesyuarat, berdiskusi sedangkan maruah kita di pijak. Kehormatan kita dirobek depan mata semua orang dan harga diri kita tidak ada nilai langsung di mata orang lain.

Apakah kita lupa bahawa kita pastinya di tanya apakah yang kita lakukan untuk menegakkan agama ini. Apakah yang kita buat untuk agama ini? Tak malukah kita nanti bila bertemu ALLAH? Lupakah kita akan peperangan yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat untuk mengembangkan dan menegakkan syiar Islam. Jika mereka hanya percaya akan kekuasaan ALLAH pasti mereka kan duduk diam sahaja di Mekah kerana ALLAH akan mengalahkan musush Islam. Tapi itulah pengorbanan cinta! Pengorbanan tanda kita mengagungkan ALLAH dengan sebenar-benarnya. Fikirkanlah tentang semua yang telah syahid dalam menegakkan kalimah ALLAH. Bayangkan bagaimana kalimah ALLAH ini berkembang keseluruh alam...bukan dengan hanya menanti ALLAH membalas. Memang ALLAH boleh membalas dalam sekelip mata sahaja tapi lupakah kita bahawa ini ujian kita juga. Bagaimana kita harus menghadapinya. Berserah dan bertawakkal sahaja? Lemahnya kita....aduhai!!!

Monday, January 4, 2010

Tahap Sabar

Kita memang tak sabar agaknya. Sebab kita rasa tak tenang. Mengapa pula kita semua disuruh sabar menunggu kerajaan mencari jalan menyelesaikan isu penggunaan ALLAH oleh agama lain selain Islam. Sedikit benar kah kuasa pemimpin kita yang beragama Islam , yang agama rasmi Islam, yang perlembagaannya ada tertulis tentang kedudukan agama Islam? Nak tunggu sehingga dah keluar majalah, jurnal dan buku-buku yang kandungannya bukan tentang ajaran Islam tapi dengan nama ALLAH di dalamnya? Nak tunggu pintu gerbang baru siap depan gereja katolik dengan tulisan nama ALLAH?

Tolonglah buat sesuatu demi ALLAH, demi Islam, demi Rasulullah s.a.w. dan demi menjaga akidah umat Islam seluruhnya. Adakah kita termasuk dalam kelompok umat yang diibaratkan sebagai buih-buih di lautan, banyak pada bilangan tetapi tiada kekuatan atau keupayaan. Bukankah kita boleh memilih untuk menjadi kapal yang menyelamat, membawa penumpang dengan selamat ke pelabuhan, gagah merentasi laut ujian dunia dengan nakhoda yang hebat. Bukan jadi buih-buih di lautan.

Kita sedia maklum tentang doa sebagai senjata tetapi dalam perkara seperti ini, doa sepatutnya menjadi senjata terakhir setelah kita berusaha menegakkan kebenaran, mempertahankan kedaulatan dan maruah agama kita? Lupa kah kita sebagai umat Islam kita percaya bahawa kita akan disoal dan dipertanggungjawabkan pada segala amanah kita pikul dalam kehidupan dunia ini? Mana pergi maruah kita? MUNGKIN KITA UMAT YANG TIADA MARUAH LAGI!!!

Apa yang kita nak jawab nanti di hadapan Allah? Baru lagi kita menyambut tahun baru Hijrah dan menginsafi perjuangan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat menegak dan menyebar agama ini, mendapat kebebasan mengamalkannya dengan bebas dan memuliakan agama ini sesuai dengan kedudukan dan kesuciannya…..apa yang kita perjuangkan sekarang? Kita tak tenang, kita tak sabar…. Tolonglah kita ya ALLAH!!!!

Sunday, January 3, 2010

Demi ALLAH!

ALLAH, Ar-Rahman, Ar-Rahim, Al-Malik, Al-Quddus, As-Salam, Al-Mukmin, Al-Muhaimin, Al-Aziz, Al-Jabbar, Al-Mutakabbir, Al-Khaliq, Al-Bari, Al-Musawwir, Al-Ghaffar, Al-Qohhar, Al-Wahhab, Ar-Razaq, Al-Fattah, Al-Alim, Al-Qobith, Al-Basit, Al-Khafid, Ar-Rafi, Al-Muiz, Al-Muzil, As-Sami, Al-Basar, Al-Hakam, Al-Adl, Al-Latif, Al-Khobir, Al-Halim, Al-Adzim, Al-Ghofur, As-Syakur, Al-Aliy, Al-Kabir, Al-Hafiz, Al-Muqit, Al-Hasib, Al-Jalil, Al-Karim, Al-Raqib, Al-Mujib, Al-Wasi, Al-Hakim, Al-Wadud, Al-Majid, Al-Baits, As-Syahid, Al-Haq, Al-Wakil, Al-Qawiy, Al-Matin, Al-Waliy, Al-Hamid, Al-Muhsi, Al-Mubdi, AL-Muid, Al-Muhyi, Al-Munmit, Al-Hayyu, Al-Qayyum, Al-Wajid, Al-Majid, Al-Wahid, As-Somad, Al-Qodir, Al-Muqoddim, Al-Muakhir, Al-Awwal, Al-Akhir, Az-Zahir, Al-Batin, Al-Wali, Al-Muataali, Al-Barr, At-Tawwab, Al-Muntakim, Al-Afuy, Ar-Rauf, Malik- Al-Mulk, Dzuljalaliwalikram, Al-Muksit, Al-Jamik, Al-Ghaniy, Al-Mughni, Al-Manik, Ad-Darr, An-Naf, An-Nur, Al-Hadi, Al-Badi, Al-Baqi, Al-Warits, Ar-Rasyid, As-Sabur.

Semuanya nama Yang Satu, ALLAH. Kita memikirkan isu ini sejak hari Khamis menunggu keputusan mahkamah…. Apa yang akan kita ulas? Dan bila kita tahu verdict hakim pada hari Jumaat , penghulu segala hari, runtuh perasaan kita yang jahil dan tak tahu ini. Kita mungkin tak melihat hikmah dan kebaikan daripada peristiwa ini kerana cetek ilmu agama kita dan kejahilan tapi kita jadi sedih. Mula-mula tak nak tulis sebab kita ramai kawan berbilang kaum dan agama dan mereka baca blog kita. Tapi kita rasa macam tiada nilai di sini kalau tidak menulis sesuatu.

Sebagai orang Islam, kita belajar nama-nama ALLAH dan mengamalkannya dalam doa kita, menyebutnya selalu tapi yakin percaya tuhan kita hanya satu itulah ALLAH. Kita pernah tanya seorang pelajar kita yang balik daripada Jordan tentang penggunaan perkataan ALLAH ini semasa membawa mereka menaiki bukit dalam aktiviti luar. Katanya ALLAH itu adalah nama Tuhan kita, bagi agama Islam dan agama wahyu yang sebenarnya. Segala agama tauhid yang ALLAH turunkan melalui para rasul dan nabi-nabi. Kalau nak merujuk tuhan dalam bahasa Arab gunalah perkataan “Ilah” bukan ALLAH. Dan sejak berkurun-kurun lamanya kita juga faham tentang istilah Jesus dalam agama Kristian merujuk kepada salah satu tuhan mereka yang terdiri daripada tiga. Bagaimana Islam mengajar bahawa Nabi Isa itu hanyalah manusia biasa yang dilahirkan oleh Mariam setelah ditiupkan roh ke dalam rahimnya oleh malaikat Jibril yang mulia. Bagaimanakah orang Kristian Katolik di Malaysia ni nak aplikasikan nama ALLAH yang suci kepada tuhan-tuhan mereka ini? Yang mana satu, Holy Spirit, Mother atau Son? Mengapa beria-ia benar nak guna nama ALLAH?

Kalau ikhlas, jom lah masuk Islam, kita sama-sama guna dan muliakan Tuhan kita dengan sebaik-baiknya. Gunalah, pakailah nama ALLAH dalam semua perkara sebagaimana yang dilakukan oleh muslim. Dalam apa saja kita mulakan dan tutup dengan ALLAH sebagaimana kita lahir di ajar syahadah La ila ha ill ALLAH sehingga ke hembusan nafas terakhir kita lafazkan yang sama. Apakah muslihatnya menuntut sesuatu bukan pada haknya? Masalah murtad yang berleluasa sekarang pun belum dapat kita selesaikan, kita permudahkan pula usaha dakwah mereka dengan memberi hak menggunakan nama Zat Suci yang mungkin akan murka dan marah dengan kita yang tidak ambil peduli akan kehormatan agama kita.

Walaupun kita yakin benar dengan agama Islam, kita tidak pernah menghina kawan-kawan kita yang berlainan agama tapi sekarang kita rasa diri kita terhina dan memang hina betul kerana tiada siapa, yang ada kuasa, mengambil tindakan menyelamatkan maruah agama ini, membuat sesuatu yang yang boleh mereka lakukan kerana mereka berkuasa. Tidak bimbangkah anak-anak kita terkeliru dan tertipu? Yakinkah kita dengan didikan yang kita beri sehingga anak-anak kita benar-benar mantap fahaman agamanya? Apa muslihat dan agenda mereka ni? Kita takut!

Kalau betul-betul nak guna nama ALLAH, sekali lagi kita pelawa, peluklak agama Islam. Gunalah sepuas-puasnya…tapi kalau agama lain nak guna juga tapi dengan aqidah yang sama, kita tak rela….bayangkan lepas ni, agama-agama lain pulak buat tuntutan untuk guna nama yang sama dengan alasan kalau Katolik Malaysia boleh mengapa mereka tak boleh apa kurang dan silap agama mereka…. Nak jawab apa ye? Bayangkan kalau nama Allah boleh ditulis pada palang salib dengan ukiran patung batu lepas tu kita nyalakan lilin dan menyanyi di hadapannya. Bila berhabuk kita lap dengan bulu ayam dan kain. Bayangkan nama ALLAH di tulis dan digantung depan gereja di sebelah nama mary dan jesus sebagaimana kita selalu lihat di masjid dengan nama Rasul kita s.a.w.

Dan bayangkan lepas ni, apabila agama lain pula meminta menggunakannya, kita kalungkan pula bunga malai warna-warna pada batang pokok dan rumah-rumah kecil di tepi jalanraya dengan tulisan alif lam lam ha tergantung padanya. Sanggup ke kita bayangkan yang sebegitu? Nauzubillah, kita mohon selamat dunia akhirat. Semoga ALLAH ampuni kita kerana keupayaan kita terbatas…tapi kita sedih dan pilu, hati kita sayu!!!

Dan kita terbayang juga 99 patung berbagai-bagai rupa dengan “Asma ul Husna” setiap satunya pada mereka…hati kita bergetar!!!! AstaghafirullALLAHalazim!

Friday, January 1, 2010

Pengalaman Nilai

Hari ni kita nak kongsi pengalaman kita. Isnin lepas, on the way nak hantar kakak kita dan anak-anak buah balik, kita singgah Nilai 3 sebab kakak kita requested. Dia kata tak pernah pergi, dengar orang cerita pasal Nilai 3, dah kebetulan lalu highway menghala ke Seremban, kita pun singgahlah. Alhamdulillah, hari Isnin dan agak awal, tak ada orang. Kita memang tak suka pergi tempat orang ramai, stress!!! So, kita drive dulu pusing-pusing tengok kawasan jualan kain, tilam, permaidani, kayu jati, barang-barang perkahwinan dan macam-macam lagi. Banyaknya barang.

Kita pun lepas tu park kereta dan jalan la, tengok-tengok. Apa yang menarik perhatian kita ialah kebanyakkan kedai di kendalikan oleh orang-orang pakistan. So, kami ni cari la kedai yang senang sikit nak berkomunikasi. Jumpa satu kedai kain, pekerjanya Melayu. Kita tanya adakah dia tuan punya kedai. Dia kata tak, hanya pekerja saja. Taukeh kedai dia pun pakistan jugak. Katanya lagi kawasan tu memang dikuasai oleh orang pakistan dan orang cina. So, kita pandang kakak kita, dia pandang kita. Lepas tu kata kakak kita beli dengan cina, mereka warganegara Malaysia, dengan pakistan mereka hantar duit balik kampung. So, kita tanya dia nak beli apa? Katanya, nak beli tilam. Tapi semua tilam dijual di kedai pakistan...(tak jalan seluruh kawasan pun, luas sangat!) beli je la.

Betul ke semua pakistan yang berniaga kat situ datang dengan halal? Bagaimana mereka dapat lesen berniaga ye? Entahlah kita pun confuse. Boleh ke kita berurus niaga dengan orang yang kita tak pasti sama ada mereka datang dengan jalan yang sah atau tidak. Memang mereka Islam, satu akidah dengan kita, tapi, entahlah..... Mungkin rezeki mereka ditakdirkan di sini, di tanah air kita. Dan orang Malaysia pula yang bekerja dengan mereka. Memang biasa syarikat-syarikat luar negara membuka perniagaan di sini dan memberi peluang pekerjaan kepada orang Malaysia, tapi tak banyak la kita tengok kat kedai kain atau permaidani kat situ. Mereka sama mereka saja kerja. Di kedai yang dimiliki oleh cina ramai pekerja Indonesia.

Kat mana silap kita ye? Hujan emas bagi orang lain di tanah air kita, kita sendiri masih ramai yang merempat tak ada tempat berteduh, tidak bekerja dan tiada punyai apa-apa. Tak mungkin hujan emas itu turun kepada orang luar menjadi hujan batu pulak pada kita. Sedang Allah turunkan hujan air yang sama sekata, tidak membahayakan walaupun menimpa kita dari tempat yang sangat tinggi kalau nak buat perbandingan secara saintifik. Tapi mengapa kita tak dapat kebaikan yang sama? Allah tidak pula zalim atau tidak adil. Mengapa kita tak dapat buat apa yang orang lain boleh buat.

Kita rasa nak jadi ahli perniagaan juga lah sebab memang 9 daripada 10 pintu rezeki ada dalam perniagaan. Tapi perniagaan apa? Nak dapat untung dunia dan untung akhirat. Tapi kita tak pandai nak jual apa tak tahu. Macamana orang lain pandai, berniaga tapi kita tak pandai. Tapi bila fikir balik, apa pun boleh kalau kita usaha keras, istiqamah dan berdoa. Dengan izin Allah, pasti boleh sebab dalam dalam peraturan hidup, orang yang rajin usaha selalunya akan lebih banyak hasil daripada orang yang malas. Mungkin itu juga sebab mengapa kawasan yang sepatutnya jadi lubuk emas bagi orang malaysia menjadi lubuk emas orang lain. Orang malaysia yang datang, terutama orang melayu hanya akan lemas dalam lubuk yang banyak barang macam tu!!! Memang yang datang pun rata-rata orang melayu juga termasuk kita dan keluarga kita!
Dan nama tempat itu, Nilai pastinya mempunyai value yang tinggi bagi pedagang pakistan yang mengusahakannya. Apa nilai kita dimata mereka, nilai mereka di mata kita. Di manakah nilai kita ye? Bernilaikah kita untuk agama, bangsa dan negara. Dan besarkah nilai kita di sisi Allah? Semoga kita tingkatkan nilai diri, tingkatkan peribadi, tingkatkan jati diri. Semoga kita di nilai mulia di sisi Allah dan RasulNya s.a.w. Amin!

Antara bulan dan bunga api!

Hari ni bermula tahun 2010. Dah masuk tahun ke sepuloh alaf baru. Malam tadi berlaku gerhana bulan yang kita terlupa, tak ada rezeki walau kita ingat siangnya dan malam tadi juga masyarakat dunia meraikan kedatangan tahun baru. Kita terjaga dari tidor apabila bunyi dentuman bunga api bermula menandakan tahun baru. Begitulah suasananya di Malaysia ni... hebat betul menyambut tahun baru. Dan kita terbayang suram warna cahaya gerhana dan gemerlap warna cahaya bunga api. Satu ciptaan Allah dan satu ciptaan manusia. Bunga api boleh bakar bila-bila masa dan gerhana bulan dan matahari berlaku mengikut putaran alam yang telah ditetapkan Nya.

Terbayang pula berapa ramai yang berkumpul di masjid surau untuk sembahyang sunat gerhana dan berapa ramai yang berkumpul untuk meraikan tahun baru. Pastilah meriahnya majlis dunia akan mengatasi majlis akhirat. Berapa ramai yang berusaha mengumpul kekayaan dunia berbanding dengan yang berusaha mengumpul keselesaan dan kekayaan hidup akhirat? Sebab kalau kita tengok pun senario hari ini, manusia boleh buat persiapan berbulan-bulan lamanya untuk memastikan sesuatu majlis berjalan lancar, meriah seronok, bertungkus lumus bekerja siang malam...tapi berapa ramai yang menyiapkan diri untuk solat selama 3 minit 5 kali sehari. Kalau yang sembahyang pun, cepat sangat... jarang yang pergi gosok gigi dulu, bersihkan diri baik-baik dan berpakaian cantik dan bersih untuk sembahyang. Tapi kalau nak pergi majlis-majlis dunia, gosok gigi sekurang-kurangnya 3 minit, berkumur baik-baik, cuci muka bersih-bersih, pakai wangi-wangian dan baju cantik. Sembahyang pakai kopiah bertahi lalat, kain pelekat lusuh dan baju melayu lama.

Yang perempuan pun lebih kurang jugak. Kalau baju kerja dan baju berjalan semuanya mahal dan cantik belaka...telekung dan sejadah, nauzubillah, kalau nak pinjam pun segan...barang lain semua branded belaka... itulah kita. Lebih seronok mengejar kilauan bunga api yang hilang lesap sebaik saja muncul, berbanding menginsafi gerhana bulan yang berlaku kerana keagungan dan kekuasaan Allah. Bulan yang muncul saban malam dari bulan sabit ke bulan penuh dan sebaliknya sehingga hilang beberapa hari dan muncul kembali. Berapa lamakah bulan telah berbuat begitu....dan sampai bilakah ia akan buat macam tu. Dengan putaran bulan itu juga masa beredar dan berubah.

Kita melihat anak-anak hari ni, terkejar-kejar bersiap sedia menyambut perayaan tahun baru. Sedih hati kita. Anak-anak inikah yang akan mendoakan ibu bapanya kelak? Doa anak-anak ini makbulkah nanti? Sebab bukan doa anak sahaja tapi doa anak yang soleh dan solehah! Walaupun perangainya lemah-lembut dengan ibubapa dan ahli keluarga, pergaulannya bebas, auratnya terdedah, sembahyangnya tak jaga.... kat mana kita nak cari ciri-ciri soleh dan solehah itu? Kita jadi sedih. Anak kita pulak asyik main game aje. Tak keluar rumah tapi tak berenggang dengan tv dan game. Sembahyang kena suruh, tidur kena kejut....entahlah! Bila di tegur, diam tak menjawab tapi buat tak tahu aje. Mati akal kita!

Kita pun jadi keliru. Kita berdoa juga agar dia jadi anak yang soleh dan tak akan meninggalkan solat walaupun tak ada depan mata kita. Kita harap jugak tahun baru hijrah dan masehi ini menjadikan kita semua lebih baik. Semoga apapun akhirat lah juga yang akan diutamakan kerana pastinya dunia akan mengekori dari belakang. Tapi kalau kita mengutamakan dunia, akhirat akan tinggalkan kita jauh-jauh! Semoga kita semua memahami hakikat kehidupan dan hakikat kejadian kita semua sebagaimana bulan ada terang, gelap dan gerhana...bukan seperti bunga api yang terang indah hanya seketika dan hilang begitu saja!