Friday, July 24, 2009

KEHIDUPAN ILUSI-KEMATIAN REALITI!

Dalam kehidupan kita ni banyak sangat realiti kehidupan yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku. Tapi yang belum berlaku tu bukan lah lagi realiti hanya ilusi kan? Dan banyak juga ilusi sebagaimana realiti dan banyak kali dalam kehidupan kita dibayangi oleh ilusi…. Bukan kebenaran.

Lihatlah sekeliling kita… contohnya semua orang yang berakal menyedari bahawa apabila kita lahir kita akan membesar dan terus bertambah umur. Dan dalam proses itu kita akan melalui pelbagai perubahan sama ada jasmani, emosi, pemikiran dan sebagainya. Jadi bila umur banyak, secara semula jadi seorang yang normal akan tua dan berkedut, tapi ada orang yang hidup dalam ilusi, akan buat apa saja untuk tidak kelihatan seperti yang sepatutnya….itulah doktor-doktor plastik jadi kaya, tukang ubat botox jadi kaya, bomoh-bomoh susuk jadi kaya…. Kerana ilusi!

Lelaki-lelaki yang dilahirkan dengan segala kelengkapan lelaki pada realitinya, dibayangi ilusi bahawa menjadi perempuan lebih hebat.... so, mulalah menukar perwatakan, perawakan, perlakuan dan macam-macam per… untuk hidup dalam ilusi.

Kemudian kita lihat dalam kehidupan sejagat… kita melihat realiti manusia menzalimi manusia lain tapi ilusinya berbagai-bagai slogan keamanan, toleransi, perkongsian di war-warkan kepada semua…. Hanya ilusi. Yahudi hingga kini memang memenuhi segala sifat zalim yang tertulis dalam Al-Quran tetapi kita tak istiqamah dalam memperjuangkan hak-hak saudara seagama… kejap aje kita marah. Boikot coca-cola, md Donald blab la bla… kejap je. Jihad yang hanya ilusi. Sifat-sifat seorang Islam yang digambarkan dalam Al-Quran ada ke pada kita? Amanah, jujur, ikhlas, tawaduk, menyayangi, bertimbang rasa, ………. Ada ke pada ke? Tak ada semuanya pun… hanya ilusi. (Kata seorang Ustaz dalam ceramahnya… Umat Islam sekarang pada namanya sahaja…. Sifatnya Ilusi tapi Yahudi tu sekarang realiti…. Sebab tu kita gagal menentang mereka. Hanya realiti dapat mengatasi realiti)

Realiti kehidupan apa yang ke atas pasti akan jatuh atau turun ke bawah. Tapi ramai yang di perdaya oleh ilusi bahawa mereka akan berada di atas selama-lamanya... sebab tu mereka tidak pernah memikirkan orang lain. Ada juga yang tahu realiti bahawa mereka berada di atas bukan selamanya jadi, patut gunakan masa ada kuasa untuk mengumpul kekayaan dan kesenangan untuk kepentingan diri dan keluarga tapi mereka lupa satu lagi realiti.... MATI! Jadi menjadi senang dan kaya selamanya juga adalah ilusi yang mengaburi pertimbangan manusia.

Orang yang berilusi tinggi ada kalanya lupa realiti kemampuan diri. Kalau pendapatan kecil tapi selera besar, berbelanja dan hidup dalam ilusi... akhirnya terperangkap dengan along, ceti haram..... orang yang tua berilusi diri masih muda berpakaian macam orang muda juga yang belum kenal iman, realitinya tetap juga tua dan akan kelihatan janggal dalam baju remaja. Orang yang dah berkeluarga hidup dalam ilusi tiada tanggungjawab berfoya-foya... hilang harga diri dan kehormatan sebagai realiti. Suami yang lupa usia perkahwinan yang panjang menuntut pengorbanan dan perubahan mengharapkan layanan seperti pengantin baru setiap hari dari seorang isteri.... hanya berilusi! Hiduplah dalam realiti.... bentuklah kehidupan berdasarkan realiti yang ada dan tetapkan nilai bahagia dalam realiti kehidupan semasa. Gangster jalanan (dulu mat rempit) dan penagih dadah, penagih rokok semuanya hidup berilusi, lupa hakikat diri, tak kenal realiti!

Kenapa kita lebih banyak hidup dalam ilusi daripada realiti. Siapa yang kita lindungi? Memang ada orang mati kena bunuh tapi bukan semua pembunuh tertangkap. Balasan kepada sebilangan penjahat yang tak tertangkap hanya ilusi manusia sahaja. Penyakit-penyakit yang melanda memang realiti, tapi kita cuba untuk selindungkan, tukar nama untuk empati kepada siapa kalau dah memang itu kebenarannya? Masih nak hidup dalam ilusi. Isteri-isteri yang telah dimadukan suami tak dapat menerima hakikat diri dimadukan, merasa suami curang dan tidak adil, merasa diri tak wajar diduakan? Mengapa berilusi? Segala sesuatu bukan hak kita! Pandulah kereta besar, mahal, mewah, megah tapi kalau nak kena curi, nak kena kemalangan, itu adalah kuasa siapa? Hak siapa? Masih dalam ilusi! Untuk apa bersedih dan memikir apa yang telah berlaku, mengapa sukar menerima..... kerana terlalu banyak berilusi. Realiti kehidupan itu benar dan nyata. Kebenarannya dan realiti sebenarnya kita telah di lahirkan dari tiada kepada ada! Ramai kenalan kita, keluarga kita, orang-orang kita sayangi telah pergi meninggalkan kita hidup atau mati. Itu realiti!

Realiti kehidupan begitulah juga realiti kematian. Kematian bukan ilusi walau ia belum terjadi pada kita... memang realiti. Pernah tak kita fikir tentang realiti kematian yang akan kita alami? Telah bersediakah kita melaluinya? Jomlah kita sama-sama terima realiti kehidupan yang telah berlaku. Itulah hakikat sebenar kehidupan ini. Dan sentiasa juga terima hakikat dan realiti bahawa kita lahir tanpa membawa apa-apa hanya modal umur dan nyawa yang diperuntukkan untuk kita. Hargailah dan pergunakan sebaik-baiknya untuk kebaikan diri dan semua orang lain. Tak bermakna untuk meratapi apa yang telah pergi dan meninggalkan kita, apa yang mulanya kita miliki sepenuhnya terpaksa pula kita kongsi kini, yang dulu ada banyak sekarang hanya sedikit, kalau dulu cantik sekarang tak lagi, yang dulu sihat sekarang sakit.... redalah dengan realiti segalanya pinjaman belaka. Tiada apa pun milik kita secara mutlak, hanya pinjaman.

Dan kita harus bersedia untuk menghadapi realiti kematian yang pasti akan berlaku. Cukupkah persiapan kita untuk menghadapi itu sekiranya ia berlaku pada masa yang terhampir ini. Sebab kita memang tak tahu bila realiti ini akan berlaku. Hanya kematian sahaja realiti yang belum kita alami. Segala impian yang belum tercapai adalah ilusi belaka. Dan rasanya belum ada orang yang mengimpikan kematian sendiri.... melainkan mengharap dan mendoakan kematian dalam sebaik-baik kematian dengan reda dan rahmat Tuhan. Iya kan? Itu juga hanya ilusi jika kita tak berusaha untuk mendapatkannya... mati dalam bahagia abadi!


HARI INI HARI JUMAAT
HARI ESOK HARI SABTU
HARI INI TAK JADI MAYAT
HARI ESOK BELUM TENTU.

No comments:

Post a Comment