Monday, August 30, 2010

Mencari merdeka

Esok hari kemerdekaan ke 53. Kita telah bebas daripada penjajahan untuk kali yang ke 53 tahun. Benarkah kita telah benar-benar bebas dan merdeka? Kita bayangkan sebuah Negara yang mempunyai banyak sumber dengan penduduk yang ramai namun tidak mampu mentadbir Negara sendiri. Ada kuasa lain yang datang dan menguasai segala hasil kekayaan dan memperolehi keuntungan tetapi rakyat asal Negara itu hidup dalam serba kesusahan dan ketakutan. Tiada kebebasan untuk menentukan dasar, membuat keputusan, mengagihkan kekayaan Negara kepada rakyatnya.

Apabila penjajah telah pergi dan rakyat dibenarkan menentukan dasar dan kaedah mentadbir Negara, adakah itu tandanya kita telah merdeka? Merdeka dari penjajahan kuasa asing secara keseluruhankah kita? Teringat pula keadaan keluarga kecil. Apabila seorang suami atau isteri merasa terkongkong dengan ikatan perkahwinan. Tidak bebas melakukan apa yang mereka ingin lakukan lalu mereka membebaskan diri. Isteri menuntut cerai atau suami menceraikan isteri. Merdekakah mereka? Apa pula dengan anak-anak? Rakyat dalam keluarga! Apa pilihan anak-anak?

Kita teringat orang yang kita kenal. Datang mengambil anak dari keluarga bekas isteri dengan alasan anak terabai kerana tidak dijaga sendiri oleh ibunya. Lalu katanya dia akan membebaskan anak dari segala kongkongan keluarga ibunya. Merdeka kan anak lelakinya. Kemudian anak itu dibiarkan tanpa didikan agama, tanpa memastikan cukup solat 5 waktunya, dibawa bersama ketika berpacaran dengan teman wanita. Bebas atau hidup bebas? Bila kehadiran anak terasa membebankan, hilang dan kurang kebebasan, katanya pada anak, pergilah tinggal dengan ibumu! Dia ingin merdeka. Lalu anak itu, apa yang dia dapat? Merdeka dari cara hidup bapa dan ibu pula harus memerdeka anak dari segala alfa, segala yang dia lupa? Kata anak, alamak duduk dengan ibu harus ke kelas agama, tak boleh pergi ke sini atau ke sana…. Hilangkah kebebasannya…hilang merdeka?

Di saat suku ketiga akhir Ramadhan, manusia mencari merdeka…bebas dari api neraka. Kita pun mengharap rahmat, maghfirah dan merdeka dari api neraka. Kadangkala tekanan dan bebanan hidup menjadikan kita orang yang mengeluh dalam reda… bilakah kita akan benar-benar merdeka? Kita selalu mengharap agar kita merdeka dari bebanan hutang-piutang –bebas dan merdeka dari segi kewangan.Bebas dari keluh-kesah dan tanda tanya. Bebas dari saat-saat alfa dan lupa bahawa hidup ini sementara, bebas dan merdeka dari keinginan duniawi…. Tapi susah! Susah sungguh!

Sebagai anak kita ingin menjadi anak yang merdeka dari melukakan hati kedua ibu bapa yang sudah tua, ingin melihat ibu bapa merdeka dari segala bentuk kesusahan dan dukacita. Sebagai ibu kita ingin melihat anak kita merdeka dari kejahilan dan menjadi orang yang berilmu, merdeka dari gangguan dan pengaruh buruk disekelilingnya, merdeka sebagai hamba Allah yang taat dan berwawasan dunia dan akhirat. Sebagai manusia kita ingin merdeka dari akhlak yang buruk, fitnah dunia dan akhirat, kita ingin merdeka!

Semoga kemerdekaan Negara yang tercinta ini di bulan paling mulia…memberikan kita kesedaran dan keinsafan akan erti sebenar kemerdekaan. Merdekakan diri kita dari sifat pentingkan diri, dari menganiayai dan menzalimi dan bebas merdeka dari memenuhi kehendak duniawi yang fana…tidak menjanjikan kemerdekaan sejati…bebas di akhirat sana. Doa kita untuk diri sendiri, untuk ibubapa, untuk anak kita, semua ahli keluarga, guru-guru/sesiapa saja yang mengajar kita, sesiapa yang kita ajari, muslimin dan muslimat dan semua. Semoga doa kita di terima. Amin!

No comments:

Post a Comment