Wednesday, August 25, 2010

Doa untuk diri

Beberapa hari ni kecoh isu Pak Imam baca doa untuk pemimpin bukan Islam di negeri yang di terajui oleh parti pembangkang. Hari ni kita dengar radio, bekas pemimpin kata mesti mendoakan pemimpin Islam kerana Negara kita ni Negara Islam. Kita teringat pulak situasi sekarang di bulan yang mulia penuh barakah. Ramadhan yang datangnya setahun sekali dan mungkin kita bertemu atau tidak lagi pada tahun depan. Dua tahun kebelakangan ini, Ramadhan bulan Islam yang mulia ini datang menjengah kita serentak dengan bulan kemerdekaan. Jadi kita pun buat juga persediaan untuk sambut merdeka.

Di Negara kita yang 'Islam' ni, menjadi satu kemestian sambut merdeka dengan kawat, pergerakan-pergerakan mengikut muzik dan irama…mengibarkan bendera dan pom-pom sebagai tanda "SYUKUR???!!!" kita telah merdeka selama 53 tahun. Jadi bagi anak-anak remaja kita yang terlibat…terpaksalah mereka melaksanakan penghayatan Ramadhan a'la merdeka….dengan goyang pom-pom dan bendera. Berkawat dan buat pergerakan yang dikehendaki untuk menjayakan perintah meraikan kedatangan hari merdeka yang mungkin lebih penting daripada mengejar janji maghfirah di bahagian kedua Ramadhan.

Dan pada sebelah malamnya pula, latihan yang sama juga lebih penting daripada menunaikan solat berjamaah dan juga solat sunat tarawikh. Kita pun tak dapat buat apa-apa sebab Negara 'Islam' kita di perintah oleh pemimpin Islam yang tahu kepentingan umat dan rakyat. Yang mengharapkan doa daripada rakyat jelata dalam khutbah dan solat jumaat. Bukan kita kata salah menyambut kemerdekaan tapi kita hanya merenungkan keutamaan dan kewajaran…

Apabila mengakui diri kita muslim, adakah hanya dengan nama kita dan keturunan kita telah lengkapkah keislaman kita itu? Adakah iman kita cukup dengan nama dan bangsa? Tidakkah terfikir barang sedikit masalah sosial yang melanda kita sekarang berpunca daripada budaya yang kita ikut dan tiru dari orang yang menjajah dan tidak seugama kita? Merdekakah kita bila kita biarkan anak-anak kita duduk dalam kelompok lelaki perempuan bercampur-gaul….melagukan dan menghayun tubuh badan mengikut irama sebagaimana budaya penjajah bangsa dan agama kita dahulu?

Kurangkah kemerdekaan kita jika kita menghayati dan mensyukuri mengikut acuan agama dengan upacara yang tidak dicemari dosa dan maksiat dan bayangkanlah puasa anak-anak kita dan semua yang terlibat dengan sambutan. Mereka pun terpaksa. Tak perlu duduk ditempat panas terik untuk merasa letih. Alangkah manisnya jika penghayatan itu dipenuhi dengan tazkirah dan ceramah tentang kepentingan menjadi bangsa dan Negara yang merdeka dari segala bentuk penjajahan….rohani dan jasmani. Bertadarus (Mega) membaca Al-Quran. Berjemaah besar-besaran tanda kesyukuran?

Apakah janji manis kita dapat menandingi janji ibadah 1000 bulan, keampunan dan pembebasan sebenar… merdeka dari duka nestapa dari azab siksa…..dari Neraka. Tidakkah kita melihat bayi-bayi yang dibuang sesuka hati sebagai ujian atas kebebasan yang keterlaluan…..alahai…malaslah kita nak menulis lagi. Hati kita rasa sayu… kita yang terpaksa….

Dan mendengar keluhan anak-anak yang merasai diri mereka dizalimi menyebabkan kita turut terkesan. Alangkah bahaya doa dari orang-orang yang dianiayai dan dizalimi kerana Allah mengangkatnya terus. Apatah lagi jika keluhan itu melibatkan hak untuk beribadat dan menghayati kesempatan mendapat pahala pada bulan mulia mengikut acuan dan ajaran Rasul S.A.W.

Fikirkanlah. Sebagai saudara seagama kita hanya menyuarakan untuk renungan. Semoga ALLAH beri kita rahmat dan hidayahNya. Semoga kita terlepas dari bala bencana. Semoga kita di ampunkan jua. Amin!


 

"Barangsiapa mencari keredaan Allah dengan marahnya manusia, maka Allah cukupkan baginya dari perbelanjaan manusia. Dan barangsiapa mencari keredaan manusia dengan marah Allah, maka Allah lepaskan dia kepada manusia."


 

No comments:

Post a Comment