Cepatnya masa berlalu. Sedar tak sedar hari ini dah 23 ramadhan. Dah hampir tiba kepenghujung. Sedih juga rasa hati ini. Bertemukah kita Ramadhan lagi pada tahun depan? Dan kita perempuan yang mencari maghfirah berhadapan dengan fitrah. Reda jugalah kerana Tuhan yang tahu akan hikmah segala. Sekarang kita berusaha mendapatkan keampunan dan bebas dari neraka…macam orang lain juga. Terbayang kita rahmat kasih sayang Allah yang tak terhitung dan usia yang semakin tua. Kalau dulu boleh membaca dengan hanya 2 mata anugerah Tuhan sekarang kita perlu bantuan cermin mata. Kalau dulu boleh bekerja lama dan tak letih, sekarang kita penat. Tak larat, banyak yang dah tak mampu nak buat seperti dulu. Uban pun dah mula mengintai dicelahan rambut, lebih berani dari dulu kerana jelas kelihatannya.
Dan yang pasti kematian itu semakin menghampiri. Dan hidup ini selagi bernyawa akan terus melalui ujian; kecil, besar, sederhana. Ada ujian yang baru muncul. Ada yang telah pergi dan ada yang bersambung tak berhenti dari sumber yang sama, bentuknya sahaja berbeza. Kadang-kadang kita rasa dah selesai, muncul pulak lagi….bila nak berhenti, entah!
Kita kadang-kadang gagal menasihati diri sendiri bila ada ujian melanda. Hati jadi keluh-kesah, kepala sakit, risau dan sedih. Ada kalanya keluar macam-macam rungutan dari mulut kita, membebel dan marah pada orang yang kita rasa menyusahkan hidup kita. Selalu benar kita lupa bahawa segala kesulitan dan kesusahan yang kita hadapi adalah ujian daripada Allah untuk hambaNya. Mungkin dosa-dosa masa lalu kita yang bertimbun akan diampunkan jika kita sabar dan reda menerima ketentuan dan ujian yang Allah berikan.
Mana ada orang yang hidupnya hanya melalui malam sahaja sepanjang hayat. Selepas malam pasti datang siang. Teringat pula bagaimana Nabi Adam a.s. menunaikan solat subuh dua rakaat pertama kalinya kerana bersyukur kedatangan fajar yang menghilangkan kegelapan malam, berganti siang. Hilang segala rasa takut dan bimbang dengan kehadiran siang yang cerah dengan sinaran mentari. Mana ada hujan yang tidak berhenti. Setelah hujan pasti mentari akan bersinar semula.
Bila kita ingat semula apa yang telah kita lalui, kita rasa berdosa. Kita tahu bahawa tiada apapun yang kita miliki adalah hak mutlak kita. segalanya pinjaman belaka. Dan apa yang tidak kita miliki memang bukan ditakdirkan untuk kita kerana Tuhan tahu apa yang baik untuk kita. Masalahnya, tidak setiap masa kita ingat semua tu. Pada masa sesuatu yang kita tidak ingini berlaku, secara spontan mulut kita akan mengucapkan kata-kata yang sering kita kesali. Susahnya mendidik diri dengan akhlak terpuji, tak kira masa, tempat dan ketika.
Dan kerapkali kita telupa bahawa Tuhan yang Maha Pemurah, tak pernah biarkan kita begitu sahaja dengan segala ujian yang menimpa. Ada berbagai bentuk pertolongan dan 1001 macam kekuatan yang bila kita renung semula, entah dari mana datangnya. Tapi ia ada tatkala kita memerlukan biar apa pun bentuk dan kaedah. Kadang-kadang saat kita runsing, lagu nasyid pun boleh memberi keinsafan. Berdosanya kita kalau tak bersyukur.
Cakap pasal syukur, teringat perbualan yang kita dengar tentang wang 500 yang kerajaan bagi untuk kakitangan. Tadi kita terdengar perbualan beberapa orang yang membandingkan jumlah yang diterima dengan apa yang kakitangan sesetengah syarikat swasta terima sebagai bonus tahunan mereka. Kita diam saja. Memang tak banyak, bagi orang yang gaji banyak. Kita memang perlukan duit dengan banyak. Tapi kalau itulah rezeki kita, Alhamdulillah, dari tiada baik juga ada. Dan 500 sangat bernilai bagi kita. mungkin bagi mereka yang biasa beli sepasang baju dengan harga 350, jumlah yang diterima itu kecil.
Entahlah! Tapi Allah jualah yang memberi rezeki, melapangkan atau menyempitkan rezeki. Dia jua yang member hidayah dan petunjuk kepada siapa yang Dia inginkan.
No comments:
Post a Comment