Ramadhan mula meninggalkan kita. Sayu pulak rasa hati ni. Mungkin bertemu lagi tahun depan? Wallahualam. Tertanya-tanya pada diri sendiri apakah kesempatan anugerah Ramadhan ini telah kita gunakan dengan sebaik-baiknya? Dapatkah kita segala macam ganjaran dan kebaikan yang Allah janjikan untuk semua hambaNya yang berusaha? Masalahnya kita tak tahu cukup atau tidak usaha kita. Fitrah kita sebagai manusia dan nafsu selalu sangat menyebabkan kita lalai dan leka, kita takut sangat kerugian.
Dalam melalui Ramadhan kita melihat berbagai-bagai cara umat Muhammad saw ini berusaha untuk memperbaiki diri. Semua orang puasa! Yang tak pernah kita lihat sembahyang pun berpuasa dengan baik aje, tak cakap hal orang, tak kacau orang, tak makan....Cuma tak sembahyang juga. Manalah tahu mungkin puasa yang baik itu akan membentuk juga hati untuk sembahyang... itu kita doakan.
Dalam mengejar pahala amalan sepanjang Ramadhan, kita juga melihat sesuatu yang kita rasa mungkin tidak disedari oleh mereka yang mengejar nilai pahala berganda ini. Janganlah kita lupa tentang penilaian Allah bukan sahaja setakat banyaknya amalan itu tetapi baiknya amalan itu. Kita melihat timbul pula suatu perangai memandang rendah terhadap orang yang buat terawih 8 dan berbangganya orang yang buat terawih 20. Ada pula yang marah sebab tak dapat buat sunat yang biasa buat sebelum Ramadhan kerana tok imam tak sempat-sempat nak buat terawih.
Kita jadi hairan pulak. Memang sunat terawih hanya ada pada bulan Ramadhan sahaja. Orang yang marah pun buat terawih dan bulan tak Ramadhan pun memang orang-orang ni kita lihat sebagai orang yang banyak amalan sunatnya selain tak pernah tinggal yang wajib. Malah ada yang keluar menyeru manusia ke jalan agama... tegakkan amal lakruf nahi mungkar. Tetapi bila kita dengar dan baca macam ada rasa riyak sedikit nadanya. Seolah-olah yang betul hanya apa yang dia buat sahaja, yang lain semua ada kekurangannya.
Mana pergi tawaduk kita? Mengapa merasa tak patut imam tinggalkan sunat ni untuk sunat itu, mengapa buat 8 tak buat 20, orang yang buat sunat kat rumah tak bagus, sebab terawih berjemaah lebih baik. Apakah skala yang kita gunakan untuk menilai bahawa orang-orang ni semuanya tak sempurna amalannya? Mengapa kita suka highlight benda-benda yang kurang dan sebut seolah-olah kita punya amalan yang paling betul?
Ada banyak benda yang baik kita boleh puji tapi kita pilih untuk mengeji perkara yang sedikit? Mana tawaduk kita? Yakinkah kita bahawa segala amalan kita itu diterima oleh Allah? Apakah kita tidak merasa perbuatan kita itu menunjukkan kesombongan yang kita tahu mungkin menjadi sebab kita tak masuk syurga. Bukankah Rasulullah saw pernah katakan bahawa tak akan masuk syurga orang yang ada sifat sombong dan takabbur dalam hatinya walaupun sedikit?
Mudahnya kita mengutuk, walau tak menamakan, walau tak ucapkan, walau tak tulis dengan pen tapi menaip dan menyebar pun sama jugalah. Cuba kita selami lubuk hati kita sendiri dan melihat dalam-dalam...apakah ini lambang tawaduk atau kita sudah merasa sedikit hebat dengan banyaknya amalan dan perbuatan baik yang kita lakukan? Untuk siapakah amalan kita itu? Jika untuk Allah mengapa pula kita yang menilainya? Ya lah kalau kita mula melihat orang semua tak kena dan semua tak betul, bukan kah kita menilai amalan kita sebagai yang paling betul?
Mungkin kita tak sedar dan tak perasan. Wahai saudara-saudara seagamaku atau sesiapa juga diluar sana, yang pasti adalah mati. Dan sebagai muslim kematian itu singkat sekali. Sekadar waktu nyawa dibawa pergi sehinggalah kita ditimbus pasir dan tanah. Selepas itu kita kan melalui dunia dan alam baru, alam barzah yang telah dialami saudara-saudara kita yang mendahului. Ada yang telah berada di sana beribu tahun lamanya. Alam dunia ini pendek sekali walaupun kita hidup 80 tahun. Dan alam barzah yang panjang itu belum tentu kita akan berehat dan tidur sebelum dibangkitkan ke alam akhirat, dihisab, melalui titian sirat, belum tahu syurga atau neraka. Yang ada dan pasti hanya dunia ini, sekarang! Mengapa kita terlalu sibuk melihat segala salah silap orang dalam amalannya? Bukankah kita semua mempunyai matlamat yang sama? Jika kita boleh tegur, tegurlah. Ada keupayaan memperbaiki, perbaikilah, ada kekuatan berdakwah, berdakwah. Ada ilmu untuk menyampaikan, sampaikanlah.
Tapi cubalah elakkan dari membandingkan mereka dengan kita sebagai contoh terbaik. Baik ke kita? Apakah kita yakin pasti bahawa segala amalan kita itu diterima? Yakinkah kita bahawa amalan orang itu kurang dari amalan kita? Marilah kita sama-sama mengejar kejayaan dengan saling ingat-mengingatkan bukan kutuk-mengutuk. Dan dihujung Ramadhan yang mulia ini mari kita doakan untuk semua umat seagama agar kita sama-sama berjaya.... semoga Allah angkat amal kita sebagai amal yang sempurna dan ikhlas keranaNya dan semoga kita sama-sama beroleh jaya di Akhirat sana. Amin!
Wednesday, September 16, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment