Thursday, September 3, 2009

Ego, ego, egoist….

Dulu zaman baru-baru keluar dari alam jahiliah kita (taklah macam jahiliah arab sebelum Rasulullah s.a.w)… ada tengok drama yang ada lagu tema ni. Yang lain kita tak ingat, ceritanya ke, lagunya ke, pelakonnya ke…. Tiga patah kata je yang kita ingat. Apa pun nak cakap fasal ego sebab pagi tadi masa nak keluar pergi kerja sebelum tutup tv terdengar ustaz tu sebut tentang ego manusia ni. So, kita ingat kita nak kongsilah sikit.

Selalunya sifat ego ni di kaitkan dengan orang lelaki terutamanya suami dan bapa kat rumah. Ada lelaki yang bergelar suami merasa dia adalah pemimpin yang tertinggi di dalam rumahnya jadi hanya cakap dan fikiran dia sahaja yang perlu diterima. Kadang-kadang fikiran dia tu macam budak yang tak sekolah tapi sebab dia ego, dia tetap pertahankan keegoannya itu. Nak mudah bodoh dan sombong!

Tapi bukan lelaki je ego sebenarnya, orang perempuan pun ramai yang ego dan ego yang tinggi tahapnya terutama jika dia berpelajaran tinggi, berjawatan besar dan mentadbir pekerja yang ramai. Di pejabat, nauzubillah, sombong yang bertahap tinggi juga; balik ke rumah pun ego dengan suami dan keluarga. Kadang-kadang suami kurang pulak dari segi pelajaran, jawatan dan gaji, lagilah sombong yang teramat sangat…. Jadi kadang-kadang dia layan suami macam budak pejabat dan budak dispatch sahaja. (Hairan jugak masa nak nikah dulu tak kisah aje.. dan ada juga lelaki yang sanggup dilayan sebegitu rupa janji hidup senang dengan hasil isteri…. Dayus jugak tu).

Ada pula orang yang lebih tua merasa mereka lebih banyak pengalaman sebab dah hidup lama… dah banyak makan garam (tu yang darah tinggi semacam aje tu), jadi tak payah dengar cakap orang muda yang masih mentah… hijau. Tapi kalau makan ulam nak yang muda-muda sebab lembut dan sedap, nak kahwin cari yang muda, bergetah…. Emmm entahlah… sombong juga tu.

Ada pula pemimpin yang ego kerana merasa diri baik dan hebat sebab tu jadi pemimpin. Ahli politik dengan egonya, pak imam pun ada yang ego rasa dia yang paling alim dan serba tahu…. Segala macam ego, segala macam orang, seribu satu macam kesombongan!

Dan ego yang paling masyhur dalam sejarah alam semesta adalah ego iblis yang degil tak mahu sujud kepada Nabi Adam sebagaimana yang Allah perintahkan sehingga terhumban keluar dari syurga dan confirmed masuk neraka... kesombongan tahap gaban..(gaban tu maknanya extremely high... yang biasa kita cakap... he he he). Walaupun Nabi Adam a.s pun akhirnya terkeluar dari syurga, baginda diampunkan sebab bukan dia ego dan sombong, dia dikalahkan oleh hawa nafsu dan godaan iblis yang sombong tu! (Jahat tau nafsu kita ni....)

Sebenarnya kita sama-samalah mengelakkan diri dari bersifat ego dan sombong ni. Apalah yang hebat pada kita dan apakah kehebatan kita? Kalau kita kuat boleh angkat beras 10kg sebanyak 60 kali, bolehkah kita angkat diri kita sendiri dengan tangan kita tanpa apa-apa bantuan peralatan lain? Kalau mata kita terang boleh cam kawan kita yang curi-curi makan kat kedai mamak bulan puasa di belakang tabir, boleh ke kita nampak salur darah kita yang dah nak tersumbat tanpa bantuan alat atau orang lain dengan mata yang sama? Kalau kita boleh dengar tapak kaki isteri kita masuk bilik (dah tentu nak mintak tolong la tu) cepat-cepat kita pura-pura tidor, boleh dengar ke apa kata hati isteri kita bila dia nampak kita tidor? Boleh ke kita kenyang kalau tak makan 10 hari lepas tu buat kerja tak berhenti dan tak tidor hanya 48 jam sahaja tanpa rasa letih dan lapar? Boleh ke? Boleh ke kita pesan kat mulut jangan menguap hari ni, pesan kat hidung jangan bersin, ingatkan mata kita jangan berkelip? Boleh ke?

Kalau pergerakan kita sendiri pun diluar kawalan kita, kat mana kita nak letak rasa sombong dan ego tu? Sebab kita pandai lebih daripada orang lain, kita dah ada Ph. D, ijazah sarjana, ijazah dasar.... so, kita boleh sombong? Sebab kita cerdik? Adakah kita letak dan pilih sendiri otak kita? Kita ke yang tentukan siapa ibu bapa kita? Kita ke yang rancang nak jadi anak nombor berapa? Kita ke? Sebab kita rajin belajar, jadi kita berjaya, orang lain malas, so kita bolehlah sombong! Bila masa kita belajar tu? Siang atau malam? Kita ke yang menukar siang kepada malam, malam kepada siang? Kita ke yang menentukan pusingan waktu? Kita ke yang arah mata jangan kabur, badan jangan letih, otak supaya ingat? Kita ke? Adakah kita buat perancangan kehidupan sebaik sahaja kita lahir dan segalanya kita kawal tanpa ada sedikit gangguan pun?

Hebatkah kita? Apakah kehebatan kita? Boleh ke kita sombong dan ego? Dan kalau kita ada sedikit sahaja kesombongan kepada siapakah sebenarnya kita sombong tu?

Banyak sangatlah soalan. Jawablah sendiri ye! Wallahualam!

No comments:

Post a Comment