Thursday, April 9, 2009

Antara jalan berliku, jalan pantas dan hajat tak kesampaian!

Sedih benar semalam. Dari Kuala Lumpur melalui negeri dan daerah, sepantas yang mampu dan terdaya untuk menatap wajah Maktok buat kali terakhir, tapi tak kesampaian. Di hujung perjalanan, hanya timbunan pasir yang masih basah sahaja menjadi tanda bahawa Maktok telah tiada di alam yang sama. Air mata tumpah tak dapat dibendong. Ralat dan kecewa tak dapat melihat wajah Maktok yang dikasihi. Kerana memang Maktok jarang bercakap sangat semasa hayatnya. Tak pernah dengar Maktok bercerita tentang keburukan orang lain, merungut tentang sesiapa, mengadu kesusahan. Tak pernah!

Semasa Arwah Aki masih hidup, Maktok adalah isteri yang sangat setia dan patuh. Kadang-kadang Maktok tidor sambil duduk sahaja memicit betis Aki yang sakit. Pagi-pagi bangun buat nasi lemak untuk Aki hantar ke kedai. Semasa saya kecil, Maktok selalu cuba sedaya upaya memenuhi permintaan cucu-cucunya nak makan apa saja. Maktok, aku masih ingat ”Halwa Kundur”! Besarnya kehilangan.

Dan perjalanan kami untuk pertemuan terakhir begitu lama dan panjang tapi perjalanan Maktok ke alam seterusnya begitu cepat dan pantas. Maktok menghembuskan nafas terakhir dan disahkan meninggal pada pukul 4.45 pagi rabu di hospital. Pukul 6.00 pagi jenazah Maktok sudah berada dirumah dari hospital yang jauhnya pada hari-hari biasa adalah satu jam perjalanan. Jam 9.00 pagi jenazah dimandikan dan pukul 10.30 pagi Maktok dibawa ke tanah perkuburan untuk disemadikan. Begitu pantasnya. Walau jalan kehidupanmu berliku dan penuh ranjau duri di usia muda, semoga bahagia mu di hari tua dan bahagiamu berganda di alam seterusnya.

Kata Emak, Kak T, Kak Tun dan yang lain, Maktok nampak muda, cantik dan tenang sangat, macam orang yang sedang tidor nyenyak. Dan segala urusan begitu mudah, begitu ringan tak perlu tenaga ramai hanya seorang dua wanita sahaja mengangkat untuk dimandikan dan dikafankan. Dan Maktok pun hanya sakit 2-3 hari sahaja tak menyusahkan sesiapa pun. Alhamdulillah, syukur mendengar semoga tenang dan senang menunggu hari kita dibangkitkan untuk diadili. Maktok, anda sangat kami kasihi.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohmu.

No comments:

Post a Comment