Wednesday, May 13, 2009

CCTV

Hari ni teringat cerita seorang rakan sekerja yang telah bertukar, tentang memasang cctv di rumahnya untuk mengawasi segala perbuatan pembantu rumahnya semasa dia pergi kerja. Ketika dia bercerita dia sedang mengandung anak kedua dan anak pertama berumur setahun setengah ditinggalkan di rumah dengan pembantu warga asing ini.
Katanya, dia akan selalu ingatkan pembantunya untuk pergi sembahyang kerana pembantu itu muslim (dia bukan!). Dan banyak sangatlah cerita tentang kelemahan dan ketidakpuasan hati kepada pembantunya itu. Selalunya, kami yang mendengar hanya diam sahaja sebab pernah ada yang menasihati supaya lebih banyak bertolak ansur dan melayan pembantu itu dengan baik tapi banyaklah jawapannya juga. Dan pernah sekali anaknya jatuh dari kerusi, dia check cctv, dan banyaklah ceritanya.

Apa pun, berbalik kepada kita. Andaikata kita tau ada cctv yang merakam segala tingkahlaku, perbuatan dan perangai kita rasanya sudah pasti kita akan jaga betul-betul agar tiada apa rakaman yang akan menyebabkan kita ditimpa masalah dan kesusahan. Tapi kita jarang nampak pulak pejabat-pejabat yang memasang cctv untuk merakamkan segala kegiatan pekerjanya. Kalau ada pun selalunya adalah untuk tujuan keselamatan tak kiralah apa bentuk keselamatan pun. Di pintu-pintu masuk atau keluar, kawasan parking kereta yang agak terpencil, bank, kedai-kedai emas, banyak lagi tempat selalunya memang untuk tujuan keselamatan.

Itulah kita. Sifat manusia yang sentiasa takut dengan bahaya-bahaya yang berbagai-bagai bentuknya di dunia ini. Berjaga-jaga betul kita. Tapi kita selalu lupa bahawa sebenarnya kita memang dirakamkan setiap detik, waktu dan ketika di mana sahaja. Dan kita lupa akan bahaya yang menanti kita jauh lebih besar dan menggerunkan. Kita selalu lupa bahawa selain pengikut setia di kanan dan kiri kita yang merakam dan mencatat segala, ada Zat Maha Agung yang Maha Mengawasi dan Maha Mengetahui apa segala hatta apa yang terlintas di hati sekali pun. Diri kita ni seperti makhluk yang dibuat dari kaca jernih yang dilihat keseluruhannya luar dan dalam- tiada yang tersembunyi. Dan kita juga lupa bahawa bila kita kata kita beriman seharusnya kita memiliki akhlak. Dan Rasullullah s.a.w pernah berkata ‘tidak sempurna akhlak tanpa rasa malu’.

Mengapa kita merasa kita ni pemalu hanya kerana kita segan nak jumpa orang, nak bercakap, nak tambah nasi dalam jamuan buffet, bila saat dan ketika bersendiri kita buat segala macam perkara. Kita tak pernah rasa malu bahawa Allah melihat kita, Malaikat di kanan dan kiri merakamkan segala perbuatan kita. Kita selalu jaga penampilan di luar, jangan sampai orang kata kita tak tau sesuaikan diri dalam majlis, cara makan, macam mana nak pegang sudu garpu, bila dah makan letak macam mana, warna baju dan fesyen sesuai ke tak dengan keadaan, sebab nanti orang akan mengata kita akan malu. Bila dalam lingkungan sendiri atau sendirian kita buat macam-macam hanya kerana tiada orang lain yang melihat. Alangkah tak malunya kita!

Jika saja kita ingat bahawa kalau saja nanti layar besar di rentang dan dipasangkan kemudian segala lakonan hidup kita di pentas dunia ini akan dipasangkan dan dipertontonkan kepada segala umat manusia bukan dari zaman kita sahaja malahan segala zaman yang ada, umat dari semua rasul dan nabi-nabi mana kita nak letak muka kita agaknya? Tapi Allah yang Maha Pemurah dan Maha Mengasihani akan tutup aib kita selagi keaiban itu hanya apa yang “dibenarkan dalam lingkungan yang tertentu sahaja”! Bagaimana dengan segala apa yang kita tahu salah tapi kita buat juga, apa yang kita nak kata? Kat mana suis yang boleh kita tekan untuk padamkan atau rosakkan segala rakaman yang telah direkodkan itu?

Ya Allah, tutupilah segala aib kami, lindungi kami dari fitnah dan kejahatan dunia dan akhirat, fitnah dan kejahatan makhluk, fitnah dan kejahatan hawa nafsu dan bisikan syaitan yang sentiasa merosakkan! Amin ya rabbal alamin!

1 comment:

  1. salam kak...rasanya macam kenal kawan kita ni...yg bertukar ke skolah tu kan...hehehehhhee....alangkah gembiranya dia mendapat apa yg dicitanya kan...alhamdulillah...

    ReplyDelete