Dah sampai panggilan haji. Ramai kawan-kawan yang telah mendapat surat pengesahan dan tarikh penerbangan tapi masa kita belum tiba agaknya sebab itulah kita belum pergi. Kita memang nak sangat pergi. Allah saja yang tahu. Tapi kita sendirian, tak ada mahram yang boleh bawak kita. Adik-beradik pun belum ada rezeki, kawan-kawan pun tak dapat menolong. Itu kita reda, sebab kita tahu Allah ada perancangan yang baik untuk kita. Segala-galanya rezeki belaka. Hidup kita dah banyak senangnya berbanding dulu, jauh bezanya. Dan sesungguhnya kita amat bersyukur. Segala apa adalah rezeki dan nikmat yang Allah beri.
Bercakap tentang rezeki, kita kehilangan telefon bimbit kita hari Khamis minggu lepas. Dalam kelompok yang hanya 16 orang termasuk kita dalam sekelip mata telefon tu hilang. Sedih hati kita sebab telefon tu baru je sebulan kita beli setelah yang lama pecah kena gelek kereta. (Salah sendiri!). Tapi kalau dah rezeki dan berkat doa, (ramai yang tolong doakan!!!) alhamdulillah, telefon itu dikembalikan semula.
Tak terucapkan syukur yang kita rasakan kerana banyak sungguh maklumat dan nombor yang penting dalam tu. Sebab tu, kita memang tak patut merungut langsung dengan apa saja yang kita lalui. Kelmarin, kita perasan kereta kita dicalarkan (dengan sengaja sebab kat atas bonet). Kita rasa mungkin budak-budak yang bermain petang-petang kat sini. Kalau bukan, siapalah agaknya? Tapi bila kita fikir balik, memanglah bengang jugak, tapi itu semua ujian kecil ibarat sezarah wap air dilautan.
Kita melihat sekitar kita dan merasa betapa kurangnya kita bersyukur bagi banyak perkara yang telah kita nikmati hatta ujian yang membentuk dan mendidik jiwa sebenarnya adalah nikmat yang sewajarnya disyukuri. Hai entahlah. Akhir-akhir ni kita rasa malas nak menulis sebab kita merasa diri ini kerdil dan terlalu jahil dalam banyak perkara dan rasa takut akan tanggungjawab yang perlu kita pikul bagi apa segala yang kita katakan.
Semoga Allah anugerahkan kita semua kekuatan untuk melalui kehidupan ini dengan hanya berharap dan mencari redaNYa sahaja.
Wednesday, October 14, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment