Monday, August 30, 2010

Mencari merdeka

Esok hari kemerdekaan ke 53. Kita telah bebas daripada penjajahan untuk kali yang ke 53 tahun. Benarkah kita telah benar-benar bebas dan merdeka? Kita bayangkan sebuah Negara yang mempunyai banyak sumber dengan penduduk yang ramai namun tidak mampu mentadbir Negara sendiri. Ada kuasa lain yang datang dan menguasai segala hasil kekayaan dan memperolehi keuntungan tetapi rakyat asal Negara itu hidup dalam serba kesusahan dan ketakutan. Tiada kebebasan untuk menentukan dasar, membuat keputusan, mengagihkan kekayaan Negara kepada rakyatnya.

Apabila penjajah telah pergi dan rakyat dibenarkan menentukan dasar dan kaedah mentadbir Negara, adakah itu tandanya kita telah merdeka? Merdeka dari penjajahan kuasa asing secara keseluruhankah kita? Teringat pula keadaan keluarga kecil. Apabila seorang suami atau isteri merasa terkongkong dengan ikatan perkahwinan. Tidak bebas melakukan apa yang mereka ingin lakukan lalu mereka membebaskan diri. Isteri menuntut cerai atau suami menceraikan isteri. Merdekakah mereka? Apa pula dengan anak-anak? Rakyat dalam keluarga! Apa pilihan anak-anak?

Kita teringat orang yang kita kenal. Datang mengambil anak dari keluarga bekas isteri dengan alasan anak terabai kerana tidak dijaga sendiri oleh ibunya. Lalu katanya dia akan membebaskan anak dari segala kongkongan keluarga ibunya. Merdeka kan anak lelakinya. Kemudian anak itu dibiarkan tanpa didikan agama, tanpa memastikan cukup solat 5 waktunya, dibawa bersama ketika berpacaran dengan teman wanita. Bebas atau hidup bebas? Bila kehadiran anak terasa membebankan, hilang dan kurang kebebasan, katanya pada anak, pergilah tinggal dengan ibumu! Dia ingin merdeka. Lalu anak itu, apa yang dia dapat? Merdeka dari cara hidup bapa dan ibu pula harus memerdeka anak dari segala alfa, segala yang dia lupa? Kata anak, alamak duduk dengan ibu harus ke kelas agama, tak boleh pergi ke sini atau ke sana…. Hilangkah kebebasannya…hilang merdeka?

Di saat suku ketiga akhir Ramadhan, manusia mencari merdeka…bebas dari api neraka. Kita pun mengharap rahmat, maghfirah dan merdeka dari api neraka. Kadangkala tekanan dan bebanan hidup menjadikan kita orang yang mengeluh dalam reda… bilakah kita akan benar-benar merdeka? Kita selalu mengharap agar kita merdeka dari bebanan hutang-piutang –bebas dan merdeka dari segi kewangan.Bebas dari keluh-kesah dan tanda tanya. Bebas dari saat-saat alfa dan lupa bahawa hidup ini sementara, bebas dan merdeka dari keinginan duniawi…. Tapi susah! Susah sungguh!

Sebagai anak kita ingin menjadi anak yang merdeka dari melukakan hati kedua ibu bapa yang sudah tua, ingin melihat ibu bapa merdeka dari segala bentuk kesusahan dan dukacita. Sebagai ibu kita ingin melihat anak kita merdeka dari kejahilan dan menjadi orang yang berilmu, merdeka dari gangguan dan pengaruh buruk disekelilingnya, merdeka sebagai hamba Allah yang taat dan berwawasan dunia dan akhirat. Sebagai manusia kita ingin merdeka dari akhlak yang buruk, fitnah dunia dan akhirat, kita ingin merdeka!

Semoga kemerdekaan Negara yang tercinta ini di bulan paling mulia…memberikan kita kesedaran dan keinsafan akan erti sebenar kemerdekaan. Merdekakan diri kita dari sifat pentingkan diri, dari menganiayai dan menzalimi dan bebas merdeka dari memenuhi kehendak duniawi yang fana…tidak menjanjikan kemerdekaan sejati…bebas di akhirat sana. Doa kita untuk diri sendiri, untuk ibubapa, untuk anak kita, semua ahli keluarga, guru-guru/sesiapa saja yang mengajar kita, sesiapa yang kita ajari, muslimin dan muslimat dan semua. Semoga doa kita di terima. Amin!

Wednesday, August 25, 2010

Doa untuk diri

Beberapa hari ni kecoh isu Pak Imam baca doa untuk pemimpin bukan Islam di negeri yang di terajui oleh parti pembangkang. Hari ni kita dengar radio, bekas pemimpin kata mesti mendoakan pemimpin Islam kerana Negara kita ni Negara Islam. Kita teringat pulak situasi sekarang di bulan yang mulia penuh barakah. Ramadhan yang datangnya setahun sekali dan mungkin kita bertemu atau tidak lagi pada tahun depan. Dua tahun kebelakangan ini, Ramadhan bulan Islam yang mulia ini datang menjengah kita serentak dengan bulan kemerdekaan. Jadi kita pun buat juga persediaan untuk sambut merdeka.

Di Negara kita yang 'Islam' ni, menjadi satu kemestian sambut merdeka dengan kawat, pergerakan-pergerakan mengikut muzik dan irama…mengibarkan bendera dan pom-pom sebagai tanda "SYUKUR???!!!" kita telah merdeka selama 53 tahun. Jadi bagi anak-anak remaja kita yang terlibat…terpaksalah mereka melaksanakan penghayatan Ramadhan a'la merdeka….dengan goyang pom-pom dan bendera. Berkawat dan buat pergerakan yang dikehendaki untuk menjayakan perintah meraikan kedatangan hari merdeka yang mungkin lebih penting daripada mengejar janji maghfirah di bahagian kedua Ramadhan.

Dan pada sebelah malamnya pula, latihan yang sama juga lebih penting daripada menunaikan solat berjamaah dan juga solat sunat tarawikh. Kita pun tak dapat buat apa-apa sebab Negara 'Islam' kita di perintah oleh pemimpin Islam yang tahu kepentingan umat dan rakyat. Yang mengharapkan doa daripada rakyat jelata dalam khutbah dan solat jumaat. Bukan kita kata salah menyambut kemerdekaan tapi kita hanya merenungkan keutamaan dan kewajaran…

Apabila mengakui diri kita muslim, adakah hanya dengan nama kita dan keturunan kita telah lengkapkah keislaman kita itu? Adakah iman kita cukup dengan nama dan bangsa? Tidakkah terfikir barang sedikit masalah sosial yang melanda kita sekarang berpunca daripada budaya yang kita ikut dan tiru dari orang yang menjajah dan tidak seugama kita? Merdekakah kita bila kita biarkan anak-anak kita duduk dalam kelompok lelaki perempuan bercampur-gaul….melagukan dan menghayun tubuh badan mengikut irama sebagaimana budaya penjajah bangsa dan agama kita dahulu?

Kurangkah kemerdekaan kita jika kita menghayati dan mensyukuri mengikut acuan agama dengan upacara yang tidak dicemari dosa dan maksiat dan bayangkanlah puasa anak-anak kita dan semua yang terlibat dengan sambutan. Mereka pun terpaksa. Tak perlu duduk ditempat panas terik untuk merasa letih. Alangkah manisnya jika penghayatan itu dipenuhi dengan tazkirah dan ceramah tentang kepentingan menjadi bangsa dan Negara yang merdeka dari segala bentuk penjajahan….rohani dan jasmani. Bertadarus (Mega) membaca Al-Quran. Berjemaah besar-besaran tanda kesyukuran?

Apakah janji manis kita dapat menandingi janji ibadah 1000 bulan, keampunan dan pembebasan sebenar… merdeka dari duka nestapa dari azab siksa…..dari Neraka. Tidakkah kita melihat bayi-bayi yang dibuang sesuka hati sebagai ujian atas kebebasan yang keterlaluan…..alahai…malaslah kita nak menulis lagi. Hati kita rasa sayu… kita yang terpaksa….

Dan mendengar keluhan anak-anak yang merasai diri mereka dizalimi menyebabkan kita turut terkesan. Alangkah bahaya doa dari orang-orang yang dianiayai dan dizalimi kerana Allah mengangkatnya terus. Apatah lagi jika keluhan itu melibatkan hak untuk beribadat dan menghayati kesempatan mendapat pahala pada bulan mulia mengikut acuan dan ajaran Rasul S.A.W.

Fikirkanlah. Sebagai saudara seagama kita hanya menyuarakan untuk renungan. Semoga ALLAH beri kita rahmat dan hidayahNya. Semoga kita terlepas dari bala bencana. Semoga kita di ampunkan jua. Amin!


 

"Barangsiapa mencari keredaan Allah dengan marahnya manusia, maka Allah cukupkan baginya dari perbelanjaan manusia. Dan barangsiapa mencari keredaan manusia dengan marah Allah, maka Allah lepaskan dia kepada manusia."


 

Monday, August 9, 2010

Masih mencari sakinah!

Kita disapa oleh seorang kenalan. Seorang yang menuntut dalam bidang agama dan mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang hal-ehwal agama. Tapi kita agak terperanjat bila dia tiba-tiba kata…."cemburu tengok makcik sorang ni, senang betul dia. Tak payah nak pening-pening,balik rumah boleh rehat, tidor….!" Kita senyum aje dan tak menjawab…sebab kadang-kadang diam itu lebih baik daripada memberi jawapan kan. Sebenarnya kita tak tahu nak kata apa. Dalam hati kita jawab…."kalaulah kamu tahu apa yang aku lalui…".

Apapun kita menerima hakikat bahawa sehebat mana pengajian dan pengetahuan dia, dia macam kita juga, hanya manusia biasa yang tak lepas daripada keluh kesah dan kelemahan. Itupun baru sekali ini kita dengar dia berkata macam tu. Kalau nak dibandingkan kita merungut dan mengeluh bila keadaan kita kurang selesa memang tak terkira jumlahnya. Tiba-tiba timbul rasa kesian dalam hati kita kepadanya.

Sekarang kita mendengar "Keluarga Sakinah di radio ikim…Dato Dr Sidek Baba. Sangat menarik dan sangat benar segala nasihat yang diberikan. Tapi kita keseorangan. Dia berkeluarga. Kalaulah kita ada keluarga seperti dia,alangkah hebatnya jika kita boleh aplikasikan apa yang dianjurkan oleh seorang yang hebat dan memang tahu apa yang dia sampaikan. Lalu dalam hati kita terfikirlah bahawa mungkin ada bahagian dalam kehidupan keluarganya, dia tak merasa bahagia. Dan kalaulah dia tahu bahawa, walaupun kita tak bersedih atau kesusahan, kita juga ingin bahagia berkeluarga….ermmm….bukan nak promo….tidak sama sekali….kita akui kita sangat memilih….SANGAT!!! Dan kita percaya inilah ujian kita..dan ALLAH mempunyai perancangan untuk kita, jadi kita tidak merasa kecewa dengan keadaan sekarang. Ada ketikanya memang tepat dan benar cemburu dia pada kita…ada ketikanya.

Berbalik kepada dia yang mempunyai anak-anak yang telah besar dan semuanya ke pusat pengajian tinggi, hidup yang selesa, `kelihatan cukup dan bahagia……tapi apa yang kurang ye? Mungkin dia tidak mendapat perhatian dan bantuan daripada suaminya. Bantuan dari segala aspek kehidupan, itulah yang kita maksudkan. Sebab isteri itu amanah. Kita rasa dia isteri yang baik dan dia memang cantik. Kadang-kadang manusia ni, bila mula merasa pengorbanan tidak mendapat penghargaan yang sepatutnya lama-lama boleh datang rasa bosan dan jemu…. Datang rasa kecewa tidak dihargai, datang rasa malas nak buat apa yang biasa, yang selalunya dilakukan dengan reda…jadi remeh, jadi susah, jadi memenatkan…. Lalu kadang-kadang tanpa sedar terkeluar dari mulut merasa iri dengan orang yang sebenarnya tak patut jadi bahan iri hati pun….apalah kehidupan yang kita ada?

Kata Dato Dr Sidek Baba, isteri itu amanah. Suami perlu buang egonya dan cuba menghormati dan memahami beban tugas dan tanggungjawab isteri dalam mendidik anak-anak dan untuk mendidik isteri juga. Cuba bayangkan kalau isteri itu seorang yang terpelajar…dan kalau dia mempunyai pulak (dengan salahnya) ego tersendiri. Sampai suatu masa dia akan menyoal dan bertanya apa yang dia perolehi daripada suami hasil perkahwinan ini…(selain anak-anak, hartabenda, sentuhan fizikal dsbnya) pasti dia inginkan pengiktirafan berbentuk penghargaan walaupun kadang-kadang dalam bentuk perlakuan yang sangat sedikit dan mudah. Kerana kita pernah melihat seorang isteri yang dalam setianya semasa hayat suami masih ada….melahirkan rasa sedih dengan apa yang dilalui sepanjang perkahwinan…sehingga dia hanya berdiam sahaja setiap suami bersuara kerana dulu suaminya tak pernah meminta pandangannya langsung….di awal perkahwinan pernah juga bersuara tapi dianggap tak ada makna. Mujurnya dan syukurnya suami sangat mengambil berat tentang anak-anak lalu dipastikan anak-anak terjaga walau selepas dia tiada.

Kita mungkin boleh kata tak baik isteri menyuarakan rasa tak gembira tinggal di rumah yang dibeli arwah suami…macam tak bersyukur. Tapi bukankah dia pun manusia yang punyai kemahuan dan perasaan. Kekecewaan yang dia lalui bukan sehari dua, bukan remeh, bukan kecil, cuba letakkan diri kita di situ. Benar memang, kita nasihatkan dia supaya reda dan sabar, itulah ujian yang dia telah lalui dengan jaya sepanjang bersama suaminya dan maafkan arwah atas kelemahannya. Sekurang-kurangnya dia tak susah walaupun menjadi balu. Tapi pengajarannya bagi kita adalah bukan senang melayari bahtera rumahtangga kalau tidak cukup ilmu,pasti akan ada ahli keluarga yang merasa tidak puas hati,kecewa dan akhirnya tidak bahagia.

Jadi pengajarannya, bukan mudah nak jadi suami dan tak senang nak jadi isteri. Kita pernah melalui kegagalan tahu banyak kelemahan diri………..sebab itu kita ditinggalkan! Tapi apa pun ilmu juga la penyelamat, hidup penuh pancaroba….Entahlah, sedikitnya ilmu kita jadi kita kena cari ilmu dan orang yang benar-benar berilmu…..ermmmmm alahai. Sabarlah temanku, ujian kita berbeza sebab kita dijadikan berbeza, semoga bertemu bahagia di cari ….di dunia dan akhirat nanti. Wallahualam.

Monday, August 2, 2010

Ada ke cagaran?

Kita mengulangi buku-buku lama sebab rasa bosan walaupun ada buku belum habis baca dan ada yang kita pinjam dari perpustakaan belum habis baca. Kemudian kita terjumpa semula kisah tiga orang pemuda yang terperangkap di dalam gua. Bagaimana mereka berdoa kepada ALLAH supaya diselamatkan dan dapat keluar daripada gua tersebut. Setiap orang berdoa dan menyebut perbuatan baik yang mereka lakukan ikhlas kerana Allah. Lalu kita terfikirlah, kalau ditakdirkan kita berada dalam keadaan genting begitu, adakah kita mempunyai apa-apa amalan yang baik yang kita lakukan ikhlas kerana mengharapkan keredaan Allah semata-mata? Puas kita fikir dan renungkan….pening kepala sudahnya. Adakala kita rasa kita ikhlas, tapi disebabkan sesuatu perkara kita sebut pulak perbuatan tu…hilang keikhlasannya. Ada masa kita bagi sedekah, kemudian kita dapat tahu orang yang minta sedekah tu sebenarnya bukan susah sangat…..sakit hati kita.

Kita buat kerja mula-mulanya tak ada apa-apa harapan tapi bila tiba-tiba nama orang lain pulak yang naik kerana kerja kita….terasa bengang. Jadi mana keikhlasannya kita? Bila kita tak nak beli barang kawan jual, tak ada alasan kita bagitau dia yang kita baru je hantar duit ke kampong untuk mak kita. Ermmm…. Adoiyaiii…… bila kita fikirkan tak adalah harapan nak keluar dari kesulitan dengan cara begitu agaknya.

Apa pun kita percaya Allah itu Maha Penyayang. Zaman sekarang dengan teknologi yang canggih banyak pertolongan yang Allah kirimkan melalui makhluk berupa manusia lain yang bertugas menyelamatkan manusia. Zaman dulu kala, manusia keluar dalam tempoh yang lama dan kalau tak balik sehari dua mungkin orang tak kisah. Sekarang mana kita pergi ada talipon bimbit. Ada saja cara menghubungi orang lain, insyaallah, adalah pertolongannya.

Tetapi kita juga memikirkan bagaimanakah caranya untuk kita membuat kebaikan yang hebat sehingga kita boleh gunakan amalan itu sebagai "cagaran?" memohon pertolongan daripada Allah. Adakah kita telah buat sesuatu yang boleh kita dengan yakinnya gunakan ketika merayu dan berdoa…….kita kena usahakan……….

Cerita lain lak……

Hari ni kita rasa sedih mendengar tentang kegagalan rumahtangga seseorang yang kita kenal. Sebelum ni kita pun sedih dengar tentang seorang rakan lain yang mengambil keputusan duduk berasingan dengan pasangannya kerana perceraian adalah sesuatu yang sukar bagi diri dan keluarganya. Minggu lepas kita dengar motivasi pagi di radio ikim tentang hubungan pasangan yang bermula dengan sakinah, mawaddah dan akhirnya rahmah. Kita merasa berbagai macam emosi dalam diri…mungkin kerana kita pernah melalui pengalaman yang sama. Apapun pengalaman yang sama tidak menentukan pengajaran dan kesan-akibat yang sama. Ada yang kita kenal melaluinya dengan sangat sukar dan ada yang kita kenal melaluinya dengan begitu tenang sekali. Kita? Dalam tenang tapi amat susah sebenarnya! Apapun kita bersyukur dengan apa yang kita lalui kerana kita merasakan pengajaran yang kita perolehi mengubah seluruh kehidupan kita.

Bukan kita merasa tenang, tapi orang lain sering mengucapkan bahawa kita tak nampak langsung seperti orang yang sedang di timpa musibah. Tidak nampak langsung riak di wajah kita. tapi dalam hati Allah sahaja yang tahu, sebab itu kita kata tenang tapi sebenarnya tidak. Tetapi sekarang, Alhamdulillah, kita merasa tenang…sungguh!!! Dan bila kita mengimbas semula pengalaman itu, kita merasa insaf betapa lemahnya jiwa manusia yang bernama kita ini, kerana merana kehilangan sesuatu yang begitu kecil nilainya. Ikhlasnya, ianya sangat sukar dan sangat payah, apatah lagi untuk melupakan…susah sungguh!!! Tapi bila fikirkan kembali….itulah rahmat kasih sayang Allah…. Apakah kita menunjukkan penghargaan dan kesyukuran kita dengan cara yang sepatutnya???


 

Monday, July 12, 2010

Sekadar menulis

 "Biarlah berdiri menjaga maruah dan duduk menjaga tuah." (Itu sebaris tulisan yang kita petik dari Dr.Rubiah Hamzah). Sangat menarik bunyi dan sangat mendalam maknanya. Beliau menasihati seorang gadis,kalau tak silap, yang kecewa dengan cinta…….

Apapun, kita rasa semua orang harus membawa diri dengan betul dan baik….menjaga maruah dan harga diri dan pada masa yang sama memelihara dan menjaga apa saja anugerah yang Allah berikan kepada kita.

Kita dah lama tak menulis. Buka blog pun tidak. Alhamdulillah berpeluang pergi buat umrah dan selebihnya sangat sibuk dengan urusan duniawi yang tak berhabisan….semoga dapat imbuhan akhirat juga. Dalam masa sebulan setengah ni macam-macam perkara yang berlaku. Kita tengok macamana manusia buat macam-macam perkara untuk emndapat apa yang mereka ingini. Kadang-kadang kita tertanya-tanya apakah perasaan manusia yang sanggup lakukan apa saja untuk mendapat kemahuan mereka.

Teringat pulak pada orang-orang Indonesia yang berkitar sekeliling Kaabah sepanjang hari…tawaf kah mereka sebab setiap kali kita habis tawaf dan bergerak menuju ke Hajar Aswad untuk cuba nasib, mereka pasti ada disitu…..menawarkan…"ibu mahu dibantu?" Kita jadi keliru juga dan bila kita perhatikan mereka ini bukan hanya dua orang tapi ada lima tau enam orang sekumpulan, beberapa lelaki dan perempuan. Apabila ada yang menerima tawaran mereka akan mula mengepong dan kemudian bergasak menolak dan menyiku orang lain sehingga berjaya. Entahlah, kita pun tak tahu boleh atau tidak kita mendapatkan khidmat bantuan mereka. Tetapi seorng kawan yang ditolong kemudian diminta membayar wang kepada mereka. Tapi kita tak tanya berapa jumlah bayaran.

Mungkin kita bodoh kerana pada ketika dan saat sebegitu semua orang bertolak-tolak kita juga mesti bertolak-tolak untuk mendapat apa yang kita ingini. Tapi kita teringat juga tentang analogi akan di laut yang tidak masin dagingnya walaupun tinggal seumur hidup dalam air masin. Mengapa kita perlu ikut segala perbuatan yang kasar dan tidak beradap yang tidak pernah kita buat di tempat biasa, tetapi buat di tempat yang sangat mulia pula. Tapi kita terfikir juga bukankah kita seharusnya berlumba-lumba dan berebut untuk mendapat pahala???? Entahlah, sebenarnya kita jadi takut dan ngeri melihat orang berasak-asak sehingga ada wanita yang keluar dari kawasan hajar aswad terbuka rambut dan dadanya kerana perebutan itu….. kita mengalah…..lemahnya kita!!!

Kemudian kita melihat kepelbagaian manusia yang bersuku dan berbangsa lain dengan pengetahuan yang berbeza. Ada yang sembahyang berdiri sebahagian sembahyang dan duduk sebahagian lainnya. Ada yang datang duduk ditengah antara dua saf walaupun datang lambat, dimarahi orang lain, tapi buat tak tahu je….orang lain nak sujud dan rukuk pun susah dibuatnya…..menarik dan sangat menginsafkan…. Bahawa manusia ini matlamatnya sama tapi caranya berbeza. Tapi keprihatinan saudara seagama untuk berkongsi makanan kurma dan roti sangat menyentuh hati……

Kerja kita macam tak habis-habis je. Entah bila nak berhenti. Sekarang ni kita rasa penat, berhenti dan teringat kita ada blog yang tak buka-buka……tak istiqamah lansung! Bukan apa, kadang-kadang kita rasa tak ada apa yang baik untuk kita kongsi, jadi tak payahlah…. Ada masa kita rasa bosan dengan kehidupan kita….berdosa ke?

Teringat pulak sabtu lepas buat pemeriksaan kesihatan dan sedihnya berat badan dah naik dan kandungan lemak dalam badan…..emmmm alahai…..nak join biggest loser asia la…… pelik kan tubuh badan kita ni…. Walau kita kawal pemakanan, pergi beriadah, buat senaman…..kalau nak naik, naik juga…tiada lansung keupayaan dan kekuatan untuk mengawal. Kata pegawai kesihatan kita kena nyahtoksid dalam badan, cukup tidur dan makan pada waktu yang tetap setiap hari…..mungkin juga faktor usia. Metabolic rate dah terlalu perlahan, merangkak agaknya…..hu hu hu…. Kita kena usaha lagi!!!!

Jauh benar cerita kita dengan apa yang kita rancang nak cerita dari awal tadi….tentang tuah dan maruah.bagaimana kita harus bersyukur dengan segala yang kita ada. Kita sendiri sebenarnya bersyukur walau berat badan naik sedikit, kesihatan kita Alhamdulillah baik…tapi kita kena jaga juga berat badan tu. Dan bercakap tentang maruah, kita hanya nak katakan bahawa kita tak akan buang maruah hanya kerana kita inginkan sesuatu dalam kehidupan kita. Bukankah Allah punya perancangan yang baik dan kita menyakini bahawa apapun takdir pasti mengatasi tadbir…..kalau orang lain guna istilah jual maruah kita kata buang sahaja sebab kalau jual kita dapat sesuatu daripada pertukaran itu tapi dalam soal maruah kalau kehilangan….apa lagi yang kita ada??? Mungkin macam tergantung dan kurang jelas je….dah malas nak menerangkan…..

Biar jadi ikan di laut ….tak terpengaruh dek persekitaran, biar jadi masin macam air laut…..tak membusukkan….. (baca buku..Nota fikir untuk zikir…menarik untuk orang biasa macam kita!)


 


 

Sunday, June 6, 2010

Wednesday, May 26, 2010

Kita manusia biasa je

Hari ni kita rasa bosan dan tak produktif lansung dalam meeting ni. Mungkin kalau kita tak ada pun, banyak perkara yang selesai dan banyak kerja kita juga akan selesai. Apapun dalam kebosanan kita, kita teringat la tentang masalah mengawal emosi dalam apa pun situasi dan keadaan. Ada masa manusia gagal mengawal emosi mereka dalam keadaan tertentu. Sehinggakan suatu ketika, kita pernah ditengking dan diherdik dalam satu mesyuarat suatu ketika dahulu. Kita hanya berdiam diri kerana kita tahu benar bahawa kita tidak salah dan apa yang kita bentangkan memang relevan dengan perbincangan mesyuarat itu. Masalahnya, orang yang menengking dan menghentak meja mungkin banyak masalah lain dan tak dapat hisap rokok agaknya…….(bukan kita nak kata kita betul sokmo….) sebab lepas tu dia keluar dan hisap rokok.

Kita cuma rasa terkilan seketika dan sakit hati pada masa dan ketika itu. Namun begitu, akhirnya bantuan kita diperlukan juga untuk menyelesaikan kerja dia, tak berani nak panggil sendiri terpaksa minta tolong melalui ketua jabatan kita. tapi kita selalu berpegang pada prinsip bahawa kita bukan bekerja untuk manusia atau untuk mengambil hati sesiapa, Allah sahaja yang menilai….jadi kita buat juga….(walau dalam hati kita….manusia biasa ni….macam menyampah jer…..cessssss).

Lepas tu, ada lagi masalah dia yang kita juga yang boleh tolong…..errrkkk……..walau hati ku menyampah….tapi kita buat juga….sebab kita tak bekerja untuk mendapat pengiktirafan dia…..tapi tak taulah...sebab sendiri sedar…..ikhlasssss??????....kurrrrrreeeeeeenggggggggggggg………

Apapun kita rasa amatlah penting untuk seseorang itu mengawal emosinya….terutamanya….ketika sedang marah. Sebab apa kita perlu belajar mengawal perasaan dan emosi semasa marah? Sebab dalam keadaan marah, kadang-kadang kita mengeluarkan kata-kata yang kurang enak dan sebenarnya tidak kita maksudkan begitu. Tetapi kita terlepas dan bila dah terkeluar……………ermmmmm………terlajak kata….

Dulu pernah merasa sangat sedih apabila dimarahi dengan berbagai-bagai macam perkataan….bila orang yang marah minta maaf dan kata dia sebenarnya tak bermaksud nak kata macam tu, tapi….tengah marah…. Kita diam tapi dalam hati kita berkata, kamu marah dan itulah yang terlintas di hati kammu tentang diri ini, kalau kamu berdiam diri, ingatan itu kamu sahaja yang tahu, tapi kamu luahkan…..macam mana nak kata yeeee….kita maafkan tapi hati kita merasa sedih!

Sebab itu kita ambil itu sebagai pengajaran supaya diam dan cuba menjauh bila merasa marah dengan keadaan atau sesiapa. Tunggu masa bertenang, mungkin boleh lupakan terus atau berbincang tentang perkara itu. Alhamdulillah, kita rasa amalan itu baik dan banyak membantu dalam menjaga perhubungan kita dengan ahli keluarga dan rakan sekerja dan orang lain juga. Kadang-kadang bila kita dah tenang, kita pun menilai dengan lebih baik….sebenarnya marah kita tak bertempat…kita terlebih sensitive….kerana bukan setiap masa orang yang salah sehingga kita jadi marah…

Jadi sekarang kita bosan dan dah tutup buku perbincangan dan menaip entry ni….tengok muka orang yang tengking dan herdik kita dulu….dia pun manusia macam kita ….tapi dia lelaki….. Nasib kita pun kita tak tahu macamana diakhir nanti….mungkin dia banyak masalah….

Kita hanya manusia kan???? Siapalah yang sempurna…..tak baik la…kita menilai dia…..tapi pengajaran juga….jangan ikut perasaan marah kita sahaja…… kena bertenang dan fikir-fikirkan….. Kita mohon ampun!!!!