Monday, December 28, 2009

Mudahnya berjanji.

Kalau nak kira hari, dah 12 hari tandas dan bilik mandi rumah dipecahkan untuk ubahsuai. Pengalaman kita yang paling lama untuk memperbaiki tandas yang kecil sahaja tetapi mengambil masa yang sangat panjang. Sampai hari ini belum siap-siap lagi. Masalahnya ialah, rumah kita hanya ada satu saja tandas, so ia menjadi masalah besar kerana ia adalah keperluan asas yang sangat-sangat diperlukan. Mengapa lama sangat kita pun tak tahu. Bukan nak pasang jubin mahal ke, mangkuk tandas emas perak, hanya nak buang bathtub lama dan ganti tiles saja. Janji hanya 3 hari dah melarat-larat!

Itulah janji palsu belaka. Masa nak dapat kontrak semuanya mudah boleh tumpu perhatian dan siap segera. Tapi kerja yang sedikit jadi banyak sebab semua kerja diterima. Mana mungkin pecah lantai rumah kita hari ni, pergi buat rumah orang lain pulak esoknya sedangkan yang lagi satu belum siap? Tak fikirkah bahawa ia menyusahkan orang? Dan akhirnya bukan kita aje yang susah, orang lain pun susah. Salur tandas pecah sebab tak cekap? Tak hati-hati? Tak apa lagi, menyusahkan pulak jiran kat bawah, air menitik dalam tandas mereka.

Mana janji awal nak mula kerja? Bila tanya bila nak siap ni, susahnya terpaksa menumpang tandas orang….? Jawabnya esok sampai dah sepuluh kali! Akhirnya, kita keluar dan kunci rumah! Geram! Tapi masalah juga sebab tandas tak siap dan akhirnya kita kena juga balik! Soalnya, apakah nilai janji pada orang-orang begini? Dan mana timbang rasa mereka pada kita? Mentang-mentang kita perempuan, duduk sorang mereka fikir kita tak akan buat apa-apa. Kita tahu mereka mesti siapkan sebelum tahun baru masehi sebab perjanjiannya kalau tak siap, tak dapat duit. Mungkin minggu lepas mereka rasa banyak masa lagi sebab tu buat sikit-sikit nak untung lebih kot, tapi sekarang kita tak ada kat rumah, kalau hari khamis baru kita balik boleh ke siap?

Semalam mereka talipon, kita kata kita balik kampung sebab tak sihat dan susah tak ada tandas dalam rumah. Mereka tanya bila nak balik macamana dengan tandas? Kita kata kalau kita ada pun belum tentu siap lagi...so tunggu la kita balik sebelum tahun baru! Eee...geram betul la! Rasa macam dizalimi pulak! Mengapalah mereka ni tak fikir bahawa manusia ini dipegang pada janjinya. Kita pun faham kalau lewat sehari dua tapi ni dah melampau betul! Tak takut ke buat janji? Macam sifat orang munafik la pulak, berjanji dan mungkir, berani betul! Susah kita dibuatnya, rumah berhabuk dan kotor tak dapat nak dibersihkan selagi kerja belum siap dan tandas tu memang sangat mustahak!!! Dan semalam kita jumpa jiran bawah, dia kata air menitik kat rumah dia... mana lagi yang bocor tak tahulah sebab dah sepuluh hari kita tak guna bilik air tu!

Tak fikirkah mereka alangkah teruknya perangai menyusahkan orang ni? Kita pulak rasa bersalah sebab dah 2 hari tak balik, mereka tak boleh kerja dan jiran kita tak selesa.... nak cakap lebih-lebih mereka ni se agama dengan kita....emmm alahai!!!Kenalah balik juga hari ni!

Wednesday, December 16, 2009

Masa yang pantas dan keupayaan yang terbatas!

Pejam celik, pejam celik…. Dah habis tahun 1430 hijrah dan tahun 2009 tinggal beberapa hari saja lagi. Cepat benar masa berlalu. Teringat Ustaz Zawawi dalam salah satu rancangan nur pagi di radio Ikim tentang tanda-tanda kiamat… masa yang sangat singkat!
Macam-macam yang telah berlaku sepanjang tahun ni.. dan masih banyak pula impian dan keinginan kita yang tak tercapai! Nak pergi haji, belum mendapat undangan istimewa, nak buat umrah pun tangguh, nak buat charity work, belum sempat-sempat (entah apa yang sibok pun tak pasti tapi sentiasa tak ada masa yang sesuai!), nak jadi wanita solehah yang sebenar-benarnya... masih terasa jauh.... jauh...jauh! Emm alahai!!!
Dan alhamdulillah, banyak juga yang kita dapat buat... tapi taklah membanggakan sangat! Banyak sekali pengalaman yang berharga yang kita lalui.... kemalangan beberapa kali, pindah rumah, pengsan, anak pindah sekolah dan macam-macam...

Kita tak tahu apa yang menanti kita di tahun baru. Malam ni malam terakhir bagi tahun hijrah ini. Petang esok kita dah boleh baca doa akhir tahun dan selepas maghrib boleh baca doa tahun baru. Penuh harapan kan bagi setiap manusia untuk mendapat kebaikan untuk hari-hari mendatang. Kita merasa keupayaan fizikal semakin berkurangan semakin meningkat usia walaupun semangat tetap macam dulu...memang kita pasti tentang itu. Kalau tahun ni, kita masih boleh mendaki bukit, berkayak dan memandu tanpa berhenti untuk 4 hingga 5 jam, mungkin esok lusa kita tak sekuat itu lagi. Sebabnya, kita selalu merasa penat sekarang. Cuti sekolah ni, anak-anak buah yang ramai dan masalah anak-anak saudara kecil yang belum mendapat ganti pembantu rumah, menyedarkan kita bahawa kita tak sekuat dulu. Letih!

Apa ujian yang akan kita lalui pun Tuhan saja yang tahu. Yang pasti, kita mesti berusaha untuk lulus setiap ujian kan?! Cepat benar masa berlalu... anak yang kecil dah besar, rumah yang rasa macam baru dah nampak buruk, kawan-kawan yang tak lama kenal dah jadi kawan mesra... So, apa sebenarnya harapan kita untuk tahun baru ini ye? Apa yang perlu kita harapkan sebenarnya, kemahuan kita atau apa yang kita harapkan?
Yang pasti, kita inginkan keredaan Allah bagi setiap sesuatu yang kita lakukan, lalui dan alami. Kita inginkan ketenangan dalam kehidupan walau apapun yang melanda, kita ingin menjadi orang yang sentiasa bersyukur dengan segala apa yang kita ada dan cukup dengan apa kemampuan kita. Tapi kalau asyik sebut kita, kita, kita macam mementingkan diri sendiri je... macamana dengan orang lain?
Doa kita:
Semoga kita semua hidup dalam aman tenteram dan terpelihara dari keburukan dan kejahatan dunia dan akhirat. Semoga kita semua bahagia dunia dan akhirat, semoga kita semua berusaha membahagiakan orang lain juga dalam mendapatkan kebahagiaan untuk diri sendiri, semoga kita semua selamat dunia dan akhirat...semoga kita terhindar dari teraniaya dan menganiaya, dizaliman dan menzalimi, ditindas dan menindas, disakiti dan menyakiti. Semoga kita dapat membuat kebaikan sebanyak-banyaknya untuk kebaikan umat seluruhnya. Semoga kita terhindar dari fitnah dan kejahatan yang ada pada diri kita sendiri, fitnah dan kejahatan makhluk seluruhnya dan godaan hawa nafsu yang jahat. Semoga kita berjaya mengharungi kehidupan ini untuk memperolehi bahagia abadi! Amin!!!

Friday, December 4, 2009

Mencari kekuatan

Kalau kita perhatikan dalam dunia hari ini, orang yang berjaya dalam hidup adalah orang yang mempunyai ketahanan yang kuat. Bukan setakat fizikalnya tetapi dari emosi dan spiritual. Ini adalah kerana akal dan fikiran menguasai jasad dan menentukan arah yang hendak kita tuju… selama mana akal dan fikiran itu sihat dan bebas dari pengaruh-pengaruh yang bukan semula jadi seperti dadah, arak dan sebagainya…Tapi bagaimana agaknya mereka yang berjaya ini mempunyai ketahanan dan kekuatan mental yang tinggi?

Bila kita baca, kita dengar…. Apa juga agama mereka, semuanya percaya pada ketentuan Tuhan dan mempunyai kepercayaan yang tinggi bahawa Tuhan memberi dan menentukan. Lalu apa yang mereka lakukan. Mereka berusaha semampu daya mereka dan di akhir usaha itu, mereka berserah dan senjata akhir mereka adalah DOA!

Doa adalah satu tanda penyerahan dan keyakinan bahawa kita tak berdaya menentukan segala apa dalam kehidupan ini, kerana ada ketikanya… dalam keadaan yang biasa perkara yang sepatutnya berlaku tidak berlaku dan perkara yang tidak sepatutnya berlaku, berlaku. Dan doa juga memberikan kekuatan di saat-saat kita kesusahan, kesempitan, kesedihan…. Kerana kita semua secara semula jadi telah dilahirkan dengan memiliki harapan-harapan tertentu dalam kehidupan.

Satu laporan kajian yang kita pernah baca tentang orang-orang yang gagal dalam cubaan membunuh diri di Jepun, menjalani rawatan kaunseling dan terapi, menceritakan bahawa mereka mahu mati kerana mengharapkan agar penderitaan, kesakitan dan kesedihan mereka akan lenyap apabila mereka mati. Mereka percaya mati bunuh diri itu lebih mulia daripada hidup dalam penderitaan…mereka berharap untuk hanya tidur dengan tenang dan macam-macam harapan yang dirasa lebih baik jika mereka mati… harapan yang mungkin pada mereka terbaik!

Apa sebenarnya pengertian harapan itu? Sesuatu yang optimistik, positif dan baik…tapi dalam konteks orang yang tadi mungkin sedikit songsang. Doa kita adalah harapan kita. Untuk diberi kekuatan meneruskan ujian-ujian kehidupan, untuk menahan rasa sakit yang kuat, untuk mampu melupakan kesedihan, pedih, hampa; untuk sabar dalam apa segala…

Dan doalah yang memberikan kekuatan untuk terus tabah dan tawakal percaya bahawa akan ada sinar dan pertolongan menanti dalam apa jua cara jua. Anehnya, kita juga melihat masyarakat yang merasa takut dan bimbang dengan doa-doa orang-orang tertentu. Kalau kita bercakap dari sudut Islam, Rasulullah s.a.w menyebut tentang doa yang akan dimakbulkan dengan segera, antaranya adalah doa orang yang teraniaya dan dizalimi. Bayangkan jika orang yang kita zalimi itu orang yang baik amalannya, tinggi akhlaknya, taat pada perintah Allah…. Susahnya hidup yang menganiaya dan menzalimi.
Tapi, kita tidak boleh mendoakan untuk keburukan orang lain kan? Jadi pada fikiran kita, mungkin kalau begitulah sifatnya orang yang teraniaya, dia mungkin minta ditunjukkan kebenaran atas apa segala! Memang wajar sebagai muslim, kita merasa takut kalau-kalau ada orang alim marah, lalu mohon Allah balas sewajarnya perbuatan kita. Dah tu, patut ke kita buat jahat kat orang? Atau biarkan saja orang buat jahat pada orang lain sedang kita ada kuasa untuk menegah?

Dan kalau kita tak salah, kita pun boleh juga berdoa untuk selamat dunia akhirat dan terselamat dari dianiaya dan menganiayai, ditindas dan menindas, disakiti dan menyakiti, bla,bla,bla…. Patut ke hak dan kebebasan berdoa juga di sekat dan dihalang?

Lepas ni, kita akan dihalang daripada buat apa pulak? Sembahyang? Sebab sembahyang itu juga adalah suatu bentuk doa danpengharapan bagi manusia yang jahil macam kita ni. Kita hanya sekadar memerhati, mendengar dan menilai... jangan lah kita membuat sesuatu yang kita tahu salah, kemudian kita bimbang juga kalau-kalau makbul doa orang sehingga susah pula kehidupan kita. Adakah kita merasakan bahawa kita akan terlepas jika buat kesalahan, jika orang lain tak tahu, tiada yang minta kita diberi pembalasan...???

Doalah pula semoga kita terhindar dari bala bencana, apakah kita rasa doa kita tak makbul? Sebab apa? Sebab kita tahu kita selalu buat perkara yang tak baik? Kalau kita yakin kita baik, yakin lah juga bahawa doa kita di dengari dan insyaAllah akan dimakbulkan. Allah tidak memilih sesiapapun untuk memberi, sebab itu setiap makhluk ada bahagian mereka di bumi ini. (Serupa juga Allah saja yang tahu hati budi kita dan apa yang baik untuk kita dan apa jua ujian kita).

Entahlah.. kita teringat pulak masa kita kat hospital semalam... takut melalui pengalaman yang pernah kita alami sebelum... sampai menggigil gigi, tapi akhirnya kita diingatkan supaya berdoa dan tawakkal dan alhamdulillah...it wasnt so bad! Dan doa kita agar kita semua bersyukur, sabar dan tabah melalui ujian kehidupan...walau apa jua ujiannya... dan doa kita... kita akan terus-menerus berdoa kerana itulah senjata mukmin!


To get out of a difficulty, one usually must go through it.

Wednesday, November 25, 2009

Betul ke cerita ayam ni?

Kita menerima e-mel daripada seorang sahabat tentang ayam-ayam sembelih tak sembelih betul, sah tak sah, mati sembelih ke mati terendam ke, mati belum sembelih ke… satu jenama ayam goreng terkemuka di Malaysia dan di seluruh dunia. Kita pun bimbang jugak kalau benar. Dan dalam e-mel tu dinyatakan tentang seorang tokoh ustaz terkemuka yang mendakwa ayam goreng tu haram hasil daripada siasatan beliau di kawasan penyembelihan pada waktu subuh. Tentang tukang sembelih semua tak sembahyang, ayam yang dah mati pun kena sembelih, ayam tak mati secara semula jadi selepas di sembelih dan juga testimoni daripada seorang yang pernah bekerja sebagai penyembelih hanya bertahan beberapa hari. Kerana lajunya pusingan ayam sehingga tak sempat pun nak habis baca basmalah.
Kita pun terkejut juga kalau benarlah perkara macam ni berlaku. Kita dah banyak dengar cerita tapi kali ni ada yang menamakan seorang ustaz terkenal menyatakan bahawa hukumnya haram… tak boleh makan. Kalau benar, alangkah malangnya sebab syarikat ini sekarang dimiliki oleh perbadanan yang dimiliki oleh orang Islam. Dan baru semalam kita dengar wawancara dengan salah seorang orang besarnya tentang perniagaan sebagai jihad agama ini. Dan bagaimana cara kita nak sampaikan perkara ini jika benarlah ia berlaku supaya ada tindakan yang boleh dibuat agar tiada sesiapa yang teraniaya terutamanya umat Islam yang percaya dan tak sedar akan perkara ini.
Teringat pulak tentang satu syarikat pengeluar aiskrim antarabangsa yang mengeluarkan senarai aiskrim dengan terperinci dengan kandungan bahannya untuk makluman kepada orang Islam… mereka lebih berintegriti dari orang Islam sendiri. Teringat juga tentang cerita Ustaz Zahazan dalam satu siri tafsir Al-Quran di radio Ikim tentang seorang peniaga yang menjual dan mengedar minyak zaitun. Suatu hari seorang pembantunya mengadu tentang satu tong yang telah dimasuki oleh tikus. Maka peniaga tersebut menyuruh tandakan tong tu untuk di buang. Tapi seorang pekerja lain telah menutup semua tong kerana dia tidak tahu. Lalu apa kata peniaga tersebut apabila dia mendapat tahu bahawa tong yang tercemar telah ditutup, disuruhnya buang kesemua tong yang ada walaupun rugi beribu-ribu dirham…(nilai duit tak ingat daaa…). Dan kita sayang nak buang ayam dah mati dalam lori, sembelih juga bagi orang makan. Berapakah nilai seekor ayam daging dibanding dengan dosa yang kita tanggung beri orang makan makanan yang tak halal dan tidak suci??? Nauzubillah, serammm! Teringat juga kisah Sayidina Umar r.a. yang mendengar perbualan anak dan ibu yang menyuruh si anak mencampuri air ke dalam susu. Lalu si anak membantah kerana yakin Allah tak pernah terlepas pandang akan segala kejahatan dan kesalahan hamba-hambaNya. Langsung jadi menatu Khalifah anak perempuan itu. Dan lahir dari rahimnya seorang lagi Umar yang menjadi Khalifah yang terkemuka.
Macam mana kita nak lihat keturunan dan generasi yang cemerlang kalau makanan yang kita beri kepada mereka adalah yang tidak halal dan tidak menepati hukum syarak. Perkara ini bukan remeh atau perkara kecil. Sesuatu harus dilakukan oleh pihak yang mempunyai kuasa untuk mengubah keadaan. Dan orang-orang yang kat atas tu, turunlah ke bawah, jenguklah anak buah yang buat kerja, utamakan mencari reda Allah dalam perniagaan bukan keuntungan semata-mata. Alangkah malangnya bila Big Boss bercerita tentang jihad melalui perniagaan, soal halal haram dalam perniagaan, membantu umat Islam melalui perniagaan dan segala macam tetapi hakikat sebenarnya, perniagaan dicemari oleh perlakuan yang terang jelas, salah dari sudut agama.
Kita hanya mengulas dan memberi pandangan sendiri, tapi ia membuat kita was-was dan ragu untuk makan apa yang kita dah hilang keyakinan padanya. Jika semua orang yang membaca juga hilang keyakinan bayangkan betapa banyaknya kerugian yang akan mereka alami. Jadi kita sangat berharap hal ini disiasat dan di sahkan benar atau tidak. Manalah tahu ada saingan perniagaan yang kurang senang lalu menggunakan nama orang lain untuk merosakkan perniagaan saingan. Tetapi apa pun bagi diri kita, selagi tiada pengesahan bahawa semua itu tidak berlaku, kita tak akan makan la lagi, kita pun memang kurang berminat pun sejak dari dulu lagi.
Semoga kita selalu ingat bahawa apa yang kita makan itu menjadi darah daging…Wallahualam.

Tuesday, November 24, 2009

Bukan salah ayah, ibu mengandung!

Semua orang ingin di hormati. Marah betul kita kan kalau kita rasa kita tidak dihormati. Kalau pergi kaunter mana-mana agensi atau jabatan, orang buat dek aje kat kita, layan nak tak nak, kita rasa orang tu kurang ajar, tak tahu nak hormat orang. Kita rasa geram. Kalau pergi hospital kerajaan, dulu-dulu, selalu dengar orang merungut tentang layanan yang mereka terima daripada jururawat, kalau masuk wad kena marah la, kena leter oleh pembantu jururawat, itu semua cerita biasa… tapi sekarang mungkin tidak lagi. Zaman dah berubah, dunia dah maju…..

Semua orang ingin dihormati dan kalau orang hormat pada kita, pasti ada rasa gembira dan yakin diri meningkat. Tapi soalnya, adakah kita hormat pada orang lain? Tak tahulah. Kita melihat dua tiga hari ni, ramai wajah-wajah baru di persekitaran kita. Yang dah matang kebanyakannya, berkeluarga dan lebih berumur daripada yang selalunya berada di sini. Tapi kita rasa budaya mereka sedikit berbeza kerana mereka mungkin kelompok yang lebih tua dan telah dibudayakan oleh usia dan pengalaman mereka… di mana sajalah mereka berada sebelum di sini.

Kita melihat, (semoga ini bukanlah petanda kita merasa kita sangat baik dalam hal ini, muhasabah diri sendiri juga) mereka agak kedekut untuk senyum atau mengucap salam. Membalas senyum juga tak berapa rajin. Mungkin banyak masalah orang-orang ni. Apa yang kita ralat sedikit adalah cara beberapa orang memberi tindak balas kepada pengawal yang bertugas menjaga keselamatan dan lalu lintas. Pengawal-pengawal ni memanglah bukan pemegang ijazah dari mana-mana universiti atau ilmuan yang berkaliber. Ada yang dah tua lagi, bekas askar pencen atau memang pekerjaan mereka sejak dari mula jadi pengawal keselamatan.

Tapi tak pernah kah terfikir di hati kita semua bahawa mereka ini adalah bapa kepada anak-anaknya, suami kepada isteri, ketua keluarga, orang yang bertanggungjawab menyara anak-anaknya? Mereka juga pemimpin dalam keluarga mereka jika tidak di tempat kerja? Tidak layak kah mereka dihormati kerana kita marah mereka menegur sedangkan mereka sedang menjalankan tugas? Bukankah mereka juga manusia? Apakah pekerjaan mereka tu hina? Wajarkah kita marah dan membentak-bentak bila di suruh alih kereta dari tempat yang memang bukan tempat letak kereta pun?

Kadang-kadang ada dalam kalangan kita terlupa latar belakang kita sendiri. Mungkin mak ayah kita dulu pun penoreh getah saja, biasa dengan bau busuk getah skrap, atau tukang kebun sekolah yang siram pokok dan mesin rumput setiap hari, atau orang kampung yang buat kerja-kerja ambil upah apa saja nak cari duit untuk besarkan kita sampai kita pandai dan jadi orang ‘terhormat’. Sudah tentu kita rasa sakit hati kalau dengar mak ayah kita dihina orang atau tak di hormati hanya kerana mereka bukan berpangkat atau berjawatan besar. Bila kita dah berjaya, kita hormat ibu bapa kita tapi tak tahu nak hormat ibu bapa orang lain. Salah siapa tu?

Kita mungkin sombong dan rasa besar diri, kalau kita kata mereka tak hormat kita jugak walaupun kita 'ada juga' pangkat kat sini, macam mana mereka nak hormat pengawal keselamatan yang ada tepi pagar tu? Tapi itulah yang kita rasa sekarang bukan kerana kita ada sedikit “authority” kat sini, sebab semalam kita bercakap panjang juga dengan mereka tentang peraturan dan tatacara perlakuan ketika mereka dalam kawasan ini tapi bila kita tengok keadaan hari ini, macam kita tak pernah bercakap pun.

Semoga mereka dapat mengubah tingkah laku yang kurang baik kepada yang baik, kita tetap doakan. Tapi kita kesian juga tengok “Pak Guard” usung clam kereta sana-sini untuk clam kereta-kereta yang mungkin kurang faham papan tanda tepi jalan dan petak-petak parking yang memang berlabel dan bertanda untuk siapa! Kita pun terpaksalah pusing ke sana sini untuk parking sebab ruang kita pun telah diisi. Salah ke cara penerangan dan penyampaian kita semalam??????

aduh sakitnya!

Antara sakit nampak dan sakit tak nampak. Memanglah sakit itu satu perasaan yang kita rasakan kalau anggota badan kita mengalami luka atau melecur atau tercucuk kaca, duri atau lebam, bengkak, kudis, digigit lipan, sakit gigi dan sebagainya. Bila sakit kita tahu kat mana rasa sakit tu. Kita boleh ceritakan bagaimana perasaan sakitnya. Berdenyut ke, sengal ke, ngilu ke, pedih ke, menyusuk-nyusuk ke apa ke. Dan tempat yang sakit bolehlah disapu ubat, minyak angin, losyen, apa-apa saja yang boleh mengurangkan sakit dan makan ubat.
Itu semua kesakitan fizikal yang kita dapat kesan kat mana, apa puncanya, dan insyaAllah bagaimana nak mengubatinya. Ada penyakit yang melibatkan perasaan, tempatnya kat mana tak nampak tapi sakitnya ada. Kesakitan yang diakibatkan oleh kehilangan atau pemergian orang yang kita kasihi. Dan cara kehilangan tu kadang-kadang akan mempengaruhi kesan sakit yang ditinggalkan. Sakitnya dahsyat dan lama, ada kalanya sampai bertahun-tahun terasa. Sakit macam ni susah la nak makan ubat atau nak sapu apa-apa minyak atau krim. Kesannnya kadang-kadang lebih teruk dari sakit fizikal atau demam panas. Boleh kurus tanpa diet, boleh berjaga malam walaupun tak ada kerja dan walaupun ingin nak tidor.
Namun penyakit-penyakit macam ni, masih juga boleh kita kawal rasa sakitnya dengan cara makan ubat, redha mengingatkan ketentuan yang Allah takdiurkan dalam kehidupan kita yang sementara. Banyak cara untuk melalui, mengubati atau melupai.
Pengalaman kita melalui kehidupan macam manusia lain juga. Ada masa kita merasa sakit-sakit macam orang lain. Demam, sakit gigi, kena pisau dan sebagainya. Dan mungkin juga sakit yang kedua. Tapi semua tu sekejap saja kalau nak dibandingkan dengan waktu sihat dan waktu tak sakit apa-apa pun.
Tapi apa yang kita nak cerita adalah tentang satu lagi penyakit yang serius. Tak nampak juga secara fizikal, tak juga mengganggu kehidupan seperti sakit perasaan. Penyakit ini kesannya kuat sebab bukan hanya melibatkan orang sakit tapi orang-orang yang berhubung dengannya. Itulah hati yang sakit. Tak terasa sakitnya, tak nampak kesan pada tuan punya badan tapi boleh dilihat oleh orang lain. Ada yang tak merasa bahawa hatinya sakit. Bila ditegur supaya terimalah bahawa jawatan yang dia nak tu bukan rezeki dia tapi orang lain, dituduhnya orang menegur tu pengampu, kaki bodek sebab tak nak tolong dia kutuk orang yang baru naik pangkat. Kata orang tu tak senonoh, akhlak buruk, malas dan sebagainya. Kalau benar pun bukan orang lain tak tahu. kenapa pulak nak marah-marah dan mengaibkan diri sendiri.
Ada yang sesama adik-beradik pun tak boleh ngam. Kutuk-mengutuk, dengki antara satu sama lain. Tak boleh tengok orang senang hati jadi sakit. Menantu tengok pasangan bagi wang atau barang pada mertua, sakit jiwa sampai habis satu syarikat dengar cerita bengang dia pada mertuanya. Aduhai, apa yang nak bagi makan sebagai ubat pada yang berpenyakit macam ni.
Ada juga yang bila tengok orang senang dia pulak susah hati. Entah apa yang mengganggu kehidupan dia bila orang tu bahagia pun tak tahulah. Tapi dengar dia punya cerita kita pun boleh sakit jiwa. Ada jugak yang rasa dia yang pandai dalam semua bidang terutama dalam bidang dia la. Dia aje yang betul, dia aje yang cekap. Kalau ada orang baru, dia memang suka mengajar orang tu, tapi kat belakang macam-macam dikutuknya. Orang tu, nama pun baru memanglah banyak tak tahu, banyak yang tak faham... ada satu macam keseronokan lak dia bercerita macamana dia ajar dan betapa bodohnya orang baru tu. Stress laaa... kita. Nak cari ubat je lah!!! Moh tengok, kalau-kalau kita pun ada penyakit macam tu.

Wednesday, November 18, 2009

Aplikasi Ilmu macamana agaknya?

Kita jarang baca buku sekarang..nak kata kerana banyak kerja, memang kerja sentiasa banyak. Bukak blog pun tak sekerap dulu. Entah apa yang sibuk sangat tak tahulah. Yang pasti segalanya duniawi belaka. Mungkin faktor usia meyebabkan badan mudah penat dan bila balik rumah, kalau tak sambung kerja kita tidor awal.

Memerhati dan melihat sekeliling, perkembangan yang berlaku, macam-macam kan?! Setiap hari ada je...tapi kita jarang baca suratkabar pun sekarang, banyak dengar berita dari radio dan kawan-kawan yang mengikuti perkembangan semasa. Mungkin sebab tu, fikiran pun tak berkembang, idea tak ada, akal tumpul, mata kelabu. Ruginya kalau kurang membaca!

Hari ni kita baca beberapa blog dan tengok tv, dengar radio! Apa kita nak ulas ye? Tentang masyarakat yang telah banyak ilmu dan meningkat kepintarannya, sedang kita terasa jahilnya kita ni. Tapi kita menilai dari kacamata orang yang kurang ilmu so, mungkin penilaian kita kurang tepat.

Okay, perniagaan adalah satu bidang yang sangat baik bagi mendapatkan wang. Rasulullah s.a.w. pun ada kata kan tentang 9 dari sepuluh pintu rezeki itu adalah dengan perniagaan. Tapi perniagaan apa? Tak kiralah, ada macam-macam, janji halal! Kita perhatikan ada dalam kalangan kawan-kawan kita yang berusaha keras berniaga dan alhamdulillah maju dengan jayanya. Cumanya kita nampak ada yang macam terlupa dalam sebok berkempen untuk melariskan produk, terutamanya makanan kesihatan bahawa ada Zat Yang Maha Berkuasa menentukan datang dan perginya penyakit. Bagus mereka berkempen tapi ada masa macam produk dialah yang menyembuhkan penyakit orang. Mungkin terlalu ghairah, terbabas.

Dan ada juga orang yang tak nak beli, kurang berhemah dalam menolak tawaran barang. Ramai orang yang tahu tentang qada dan qadar, tentang apa saja yang Allah dah tentukan akan menimpa kita atau tidak akan menimpa kita... tapi ada nada riak dan sombong dalam menolak. Kenapalah tak ambil kesempatan mendidik sahabat yang berniaga tentang cara berniaga daripada mengatakan bahawa dia salah, berdosa, boleh jatuh syirik dan sebagainya.

Kadang-kadang cara kita bukan menolong tapi merosakkan hati orang. Kenapa perlu sakitkan hati kawan dengan kata-kata... kalau kita jaga sembahyang, doa bersungguh-sungguh, tawakkal Allah akan menolong kita. Tapi makan ubat tu ikhtiar kan??? Macam la kawan yang jual tu tak sembahyang!!! Kita tak jual apa-apa kita tak tahu. Tapi kita rasa, kenapalah nak cakap macam sombong. Kalau tak nak kata ajelah tak nak! Kalau tak mampu, kata tak mampu, kalau tak suka nak makan kata tak suka nak makan.

Ada kawan bawak air yang dijampi ustaz, ada pulak yang marah sebab dia kata tak boleh ke kau doa sendiri, lebih afdal datang dari hati kau sendiri! Tapi salah ke kalau ustaz tolong jampi, selain kita doa sendiri? Kenapa kita suka sakitkan hati orang dan tunjukkan kita serba tahu... sedangkan kita boleh cakap dengan nada yang baik.

Lepas tu, kita tengok ada orang yang kerana banyak belajar dan banyak tahu, ada kebolehen menegur dan memberi pendapat yang agak bernas tapi dalam nada yang kita rasa tak berapa kena. Kenapa nak tegur atau mengulas dengan menggunakan perkataan yang kasar dan menggambarkan keangkuhan dalam menegur. Tak tahulah kita. Tapi kita baca juga sejarah dan sifat-sifat Rasulullah s.a.w. yang sabar dan lembut dalam menegur dan menyampaikan ilmu. Rasanya tak pernah la Baginda s.a.w. panggil orang dengan perkataan bebal, dungu dan bodoh kalau mereka jahil dan buat kesalahan. Bukan kita semua manusia biasa aje?!! Tapi iyelah, hanya guru mengenal muridnya, jauhari mengenal maknikam... dan hanya yang menegur dan menyampai tahu audience yang mendengar. Mungkin penyampaian mengikut keadaan masyarakat atau kelompok yang telah dikenali. Wallahualam.

Apapun kita banyak belajar dari semua ni. Setiap hari kehidupan adalah pelajaran yang sangat berharga. Kaya pun ujian, miskin pun ujian; pandai pun ujian, bodoh pun ujian; sihat pun ujian, sakit pun ujian, sibuk pun ujian, menganggur pun ujian....... segalanya ujian. Cobaaaaannnnn! Tapi bagaimana ye kita nak melalui kehidupan ni dengan segala ujian-ujian yang tak berhenti. Buat salah, selain berdosa, orang mengata. Mengata orang buat salah pun berdosa, salah! Tak tegur pun salah, tegur pun tak kena gayanya pun salah, susahnya ujian-ujian ni kan!!?

Apapun kita mengingat diri kita supaya jangan sombong, jangan rasa bangga dengan ilmu yang ada, jangan pandang rendah pada usaha orang lain, jangan matikan semangat orang lain dengan menyebut-nyebut apa yang kita tahu.