Thursday, February 11, 2010

Mencari rusuk?

Tadi masa nak keluar kita nampak tajuk untuk rancangan halaqah minggu ni. Tentang suri idaman hati. Lepas tu kita ternampak perkataan tulang rusuk siapa. Dalam hati kita terfikir tentang kejadian manusia. Bagaimana Adam diciptakan dari tanah. Dan Hawa diciptakan daripada tulang rusuk Nabi Adam a.s. Perempuan pertama diciptakan daripada tulang rusuk Adam a.s. untuk menjadi pendamping dan teman menghibur hati dan menghilangkan kesunyian.
Lepas tu kita terbayang rupabentuk tulang rusuk. Teringat lagu…“tercipta engkau dari rusuk lelaki, bukan dari kaki untuk di alasi…..”
Kita pun mula lah terfikir macam-macam fikiran logic manusia yang tak logic. Agaknya lelaki yang ada ramai isteri, dari rusuk dia Allah jadikan lebih dari seorang perempuan. Dan bagi lelaki yang berkahwin dan kemudian bercerai, agaknya tersalah pasang rusuk. Macam spare parts kereta kalau salah pasang, kereta tu akan mengalami banyak masalah, lama-lama kena buang spare part tu lepas tu, ganti spare part lain yang boleh ngam dan sesuai sampai mati kot.
Lepas tu masa kita baca tentang anatomi tulang rusuk, betul ke tulang rusuk lelaki kurang satu? Tak ada pulak bukti saintifik . kita semua ada 12 pasang tulang rusuk. Tak adalah pulak kita jumpa maklumat saintifik yang mengatakan bahawa bilangan tulang rusuk lelaki kurang satu berbanding bilangan rusuk perempuan. Bukankah Tuhan yang Maha Hebat telah mencipta Adam daripada tiada kepada ada, rasanya bukan susah nak cipta seorang lagi manusia dengan bilangan tulang rusuk yang sama dengan apa yang dimiliki oleh manusia lelaki.
Lepas tu kita jumpa la beberapa rencana yang ditulis oleh lelaki (agaknya) dengan soalan siapakah tulang rusuk ku? Kita baca, menarik juga. Mungkin yang perempuan pulak boleh tanya siapakah tuan punya rusuk, diriku ini. He he he….lawak la pulak bunyinya. Tapi mungkinlah ada kebenarannya.
Kalau lihat kepada anatomi dan fungsi tulang rusuk dalam badan manusia… banyak dan sangat penting. Dalam lengkongan tulang rusuk manusia ini terletak paru-paru yang sangat penting untuk system pernafasan manusia. Tulang rusuk boleh mengembang dan menguncup mengikut keperluan paru-paru untuk berkembang. Macam-macam la fungsi lain yang berkaitan… malas nak taip.
Apapun kalau kita balik pada lagu yang atas tadi ada lirik ….“tapi dekat dibahu untuk dilindung, dekat jua dihati untuk dikasihi, engkaulah wanita hiasan duniawi. Mana mungkin lahir bayangan yang lurus elok, jika datangnya dari kayu yang bengkok, begitulah peribadi yang dibentuk….”
Entahlah. Apa pun memang menjadi idaman semua orang untuk mendapat pasangan hidup yang sesuai dapat bahagia dan membahagiakan… tak apalah kita tunggu dan dengar apa kata ustaz-ustaz tu nanti, insyaallah! Dan bagi yang masih mencari dan belum berjumpa tulang rusuknya atau mencari tuan punya rusuk….percayalah bahawa pasti ada hikmahnya mengapa belum juga di temui. Teringatla lagu lain pulak….Havent met you yet!

Monday, February 8, 2010

Nak jadi kaya, nak jadi kaya…

Wang ringgit dan harta dunia….macam-macam boleh buat kalau ada kan! Nak buat jahat senang nak buat baik pun tak susah. Kalau banyak duit boleh beli populariti, boleh beli kawan boleh beli segalanya, cinta dan kasih sayang palsu pun banyak boleh dibeli. Boleh buang orang-orang yang kita tak suka dengan kuasa wang ringgit dan harta benda, intan permata! Boleh buat apa saja kalau kita memiliki kebebasan dengan kuasa wang.
Tapi kita juga boleh buat berbagai kebaikan dengan wang ringgit dan harta benda yang banyak. Boleh tolong orang miskin, bayar hutang orang, hantar orang pergi mekah, beli tanah untuk yang tiada tanah, beli rumah untuk yang tiada rumah, belanja untuk pengajian dan pendidikan….macam-macam boleh buat! Tepuk dada tanya selera, ketuk hati tanya iman.
Masa kita tersentak dan terkedu melihat bilangan nombor yang kononnya ada dalam akaun kita, kita terfikir untuk menulis senarai tentang perkara yang tak sepatutnya dilakukan oleh orang-orang tertentu dan hantar surat berhenti kerja. Kita kata kat kawan-kawan nak bawa semua ahli keluarga kita dan mereka semua pergi Mekah tahun ni! Kalau ada duit boleh bayar semua boleh buat. Walau jauh di lubuk hati kita tahu…sunnatullah itu mengikut aturan nya. Kemungkinan kita nak kaya mengejut agak mustahil!
Kita juga terfikir untuk berjumpa orang yang kita ‘rasa’ telah berlaku zalim dan menganiaya kita dan tunjukkan bagaimana kita boleh senang juga walau apa pun. Kita berfikir macam-macam….kalaulah benar! Dan akhirnya kita sedar itulah sifat kita…belum pasti dah mula nak sombong, nak bongkak, nak riak, nak menunjukkan kelebihan kepada orang lain.
Kita sebenarnya tahu tak baik menyimpan perasaan buruk kepada orang lain dan kita tahu bila kita kata kita memaafkan kita mesti melupakan. Tapi kekayaan yang hanya ilusi sahaja boleh menimbulkan sifat buruk dalam diri seseorang… mengapa agaknya bila kita sedar tentang kemungkinan kaya itu, kita tidak terfikir untuk membantu bangunkan rumah anak yatim, menambah kemudahan di sekolah-sekolah pondok, membantu fakir miskin dan macam-macam perkara yang lebih bermanfaat daripada beli kereta mewah dan memandu depan orang yang suka menghina kita…….isyk, isyk, isyk! Kita baru sedar masih banyak sifat mazmumah dalam diri. Patutla tak kaya pun…baru kena acah sikit dah lupa mana daratan, mana lautan!
Adakah kita miliki apa-apa kekayaan dengan apa yang kita baru saja alami? Tak ada. Kita bukan saja miskin harta, kita juga mungkin miskin pahala. Ujian kecil kita gagal dengan teruk, kalau ujian besar dengan wang ringgit sebenar, mungkin kita gagal lagi teruk. Tapi itu bukan bermakna kita taknak kaya. Kita berdoa juga, kalau ALLAH takdirkan menguji kita dengan kekayaan, kita akan lebih berwaspada, kita akan bersedia untuk memanfaatkannya untuk bahagia dunia dan bahagia di akhirat sana.
Apapun kita besyukur dengan apa yang kita lalui hari ini, sebab kita ceria. Kita tahu semuanya kesilapan yang akan dapat diperbetulkan dan kita percaya ALLAH akan menolong kita. Dan kita tetap juga berdoa untuk tidak diuji dengan sesuatu yang yang amat berat dan tak mampu kita hadapi. Semoga kita semua kaya di sisi penduduk langit kalau tak kaya dalam kalangan penduduk dunia.

Too good to be true!

It was just another Monday morning. I was getting ready to go to work when I heard the familiar “toot” from my phone. Sms! Nothing urgent! So, I soon forgot about the sms. At the office, about 8.30 remembered there was the unread sms. It was just an sms from the bank. Okay the salary is in! Alhamdulillah! Then I first saw 7500 and thought to myself….”ada bonus ke bulan ni?” Am I supposed to get extra? Then there’s some deduction and the balance was 5200. That was a lot of deduction…why deducted so much. But then when I looked again….no, it wasn’t just 7500.00 or 5200.00. It was 7,500,000,000,024.29 and 5,200,000,000,027.30! Is this real??? I wasn’t even sure how to say it. Millions, billions, trillions?
I have always wondered how it feels to be filthy rich. And suddenly this morning, I received the sms stating that about RM 75 BILLIONS (is this right?) is deposited into my account! Could you believe that? I thought I desperately need a pair of glasses because my eyesight is really bad. Then I showed the sms to my friends and we counted the zero digits together. Yes, 13 digits! Every month I would receive sms from the bank when my salary is in, but now I am totally out of this world…. Ha ha ha! Bad, evil minds are beginning to work their ways in…he he he (imagine a witch about to put the last frog into the bubbling pot and cast the final spell!).With that amount of money I can do so many things! Fuyoo…. And my friends are getting excited too. Soon everybody in the department seemed to be thrilled with having a billionaire friend. There were..…lets go for a retreat abroad, give me just one percent please, can you pay for my house…blablabla…
Last month I also got more than RM 6000 extra in my account which I had to returned because of human errors…and don’t tell me now they made mistake again! And look at the amount! I don’t think the bank has that much money! Then my imagination was going wild. What if….some casinos or robbers deposited the money to a randomly selected account and I happened to be the unlucky or maybe lucky person. Then what if they wanted the money back and what if it was the mafia’s… I would be “mobbed?” or killed or “mutated?”(a bit ridiculous) or amputated….alamak….not nice at all!
So, I called the bank. But I didn’t get any answer and was thought to be joking! So unbecoming and unprofessional! The lady even said “POYO” to me! Was that the way to treat a client! Hello, this is a billionaire at the other end …yea! Anyway, decided to go to the bank with my account book and told the man at the counter about the sms.
That was the end of my “rich” moment! He he he, but that was fun. Later today received another sms apologizing for the earlier sms and the best part was…the RM0.30 charge for the sms will be refunded!
Okay, joke aside. This is no joke for one with a weak heart. Yes! A heart attack could occur with such news! Somebody said I could sue the bank for giving me false hope! And their staff shouldn’t react the way she did when I called for clarification. True indeed! But I believed, everything happens for a reason. So this is the second time for me this year. Maybe, I ll strike jack pot (literally)the next time. Who knows!!?

Sunday, February 7, 2010

Buntu memikirkan!

Hari ni kita baca surat khabar hujung minggu. Macam-macam cerita. Kisah seorang usahawan menjadi miskin kerana ikut nafsu. Bayi kecil mati dipercayai diliwat. Lelaki gay diiktiraf sebagai imam di Amerika sebab dia muslim. Isu artis tiada hak peribadi – di sebar gambar berbaju mandi masa bulan madu, komen artis lain tentang isu saman-menyaman, kisah menantu tertekan dengan mak mertua, kisah anak dalam dilema bila isteri tak suka mertua....macam-macam! Banyak sungguh masalah dalam dunia ni. Masalah sendiri pun, hanya ALLAH saja yang tahu, bila baca akhbar, manakah berita yang dapat memberi ketenangan. Isu gaji polis naik, alhamdulillah, semoga tiada lagi rasuah dan pecah amanah. Tengok gambar pemimpin ketawa bermain congkak, alangkah bahagianya dia, alhamdulillah.

Apa yang kita sedang hadapi dan lalui dalam kehidupan semasa adalah sangat getir dan mencabar. Bagaimana di Malaysia, gadis-gadis melayu remaja menjaja diri mencari sugar daddy, tak kisah siapa, yang penting ada duit, semua boleh jadi. Baca kisah luar negara pun, nauzubillah...mengerikan. Bagaimana agaknya perasaan penjenayah yang meliwat bayi kecil yang tak boleh mengelak atau membela diri? Apakah yang terbayang dihati seorang ibu yang melihat suami mati ditikam anak sendiri...apa trauma dia ye? Dari sudut mana kita nak ulas segala masalah yang ada dalam masyarakat kita hari ini. Dari sudut sosial, agama, politik, kesihatan, ekonomi, apa ye? Sebab kita boleh melihatnya dari semua sudut.

Dan apa yang kita sebagai ahli masyarakat dapat lakukan kerana setiap sesuatu ini menpunyai impak kepada kehidupan kita, banyak atau sedikit. Mungkin hari ini kita baca kisah orang lain, siapa tahu esok orang lain membaca tentang kita. Kita dulu selalu baca ruangan di selah-celah kehidupan dan kadangkala merasa macam tak logik aje cerita tu. Tapi akhirnya kita melalui apa yang orang lain lalui dan pengalaman mereka menjadi pengalaman dan mimpi ngeri kita juga. Kita selalu merasa orang yang ditipu oleh macam-macam skim tak cerdik, mudah terpedaya, kita pun akhirnya menjadi salah seorang dari mereka. Tak cerdik juga kita, rupanya.

Inilah kenyataan dunia akhir zaman. Bila maksiat bermaharalela, bila maruah tiada nilai, bila orang hanya memandang sahaja segala perbuatan mungkar tanpa ada sedikit usaha untuk mencegah atau menegur. Tapi adakah kerana kita menerima hakikat dunia akhir zaman memang begitu kita hanya sekadar memandang dan menerima sahaja? Bukankah Rasulullah s.a.w. pernah berpesan supaya memanfaatkan setiap waktu yang kita ada sehingga kita menanam juga benih terakhir yang kita ada walaupun dunia sedang kiamat.

Adakah cukup dengan kita berdoa kerana doa itu senjata mukmin. Bagaimana agaknya kita nak menangani segala kebejatan masyarakat kini? Adakah kita yakin akan terselamat sekiranya ALLAH datangkan malapetaka alam untuk menghukum kaum yang keterlaluan hanya kerana kita ke masjid lima kali sehari, berpuasa di bulan Ramadan, membayar zakat, menunaikan haji setelah kita beriman? Apakah akan ada kapal bahtera seumpama kapal Nabi Nuh a.s. atau Malaikat datang membawa kita keluar dari rejaman batu dari langit seperti kaum Nabi Lut a.s.? Rasul kita s.a.w. tak pernah berpesan yang begitu kan? Jadi tak adalah tu. Marilah kita sama-sama fikirkan. Apa misi kita selepas ni! Wallahualam!

Saturday, February 6, 2010

Nak buat apa lagi?

Membaca lepas membaca. Penat baca buku baca surat khabar. Penat baca surat khabar baca email, habis baca email baca blog. Apa yang kita dapat dari semua bahan bacaan tu? Adakah semuanya ilmu. Rasanya tak juga. Yang pasti semuanya maklumat. Ada yang menambah pengetahuan, boleh pakai, boleh amalkan...jadi ilmu yang berguna. Ada yang memberi kesedaran, jadi ikhtibar, jadi pedoman, boleh fikirkan....ilmu juga. Ada yang tak pasti kedudukannya, ada logik tapi diragui, macam fakta tapi tak pasti....simpan dulu. Ada yang memang terang jelas mengarut....lupakan saja.

Apa yang pasti setiap hari kita di hidangkan dengan berbagai isu dan tajuk untuk dibaca (bagi yang membaca la), tetapi bagaimana kita membuat pemilihan yang mana kita nak aplikasi dan yang mana kita nak biarkan sahaja. Terpulang juga kepada individu. Dan bahan bacaan memang banyak bagi yang suka membaca. Tapi lebih ramai yang tak suka membaca...kalau tengok statistik rakyat malaysia yang membaca...tak sampai satu buku setahun. Apapun, kita melihat bagaimana melalui bahan bacaan manusia boleh dipengaruhi. Berbagai propaganda disebarkan melalui bahan bercetak...penulisan yang disebarkan dalam bentuk buku, risalah, akhbar dan sebagainya. Nak tahu cerita kena baca kan? Dah baca ramai yang percaya. Tapi sebagai orang yang berilmu, wajar kita siasat dulu kebenaran cerita atau maklumat yang kita baca. Kalau orang Islam, memang Rasulullah s.a.w. pesan supaya kita pastikan darimana datang berita, siapa yang menyampaikannya supaya kita tidak tersilap dalam membuat tindakan.

Dan bagi yang menulis, berbagai pendekatan dan kaedah penulisan yang digunapakai mengikut tujuan penulis la. Selalunya kita (diri sendiri la ni) akan mencari bahan bacaan tentang sesuatu yang kita dengar dari orang lain tentang sesuatu isu. Kita baca sendiri, kita selalu mencari. Adakala penulisan sangat berkesan kita menjadi segera terpengaruh dan percaya...bahaya sebenarnya. Ada penulis menulis dengan gaya tersendiri, sebab itulah cara yang dia tahu guna (macam kita la tu), ada yang sangat mahir boleh guna berbagai kaedah dalam penulisan, ada yang mengambil tulisan orang lain dan mengulasnya dengan baik sekali, ada yang tulis dan mencari kesalahan penulisan orang lain...ada yang tak pernah tulis apa-apa tapi hanya komen sahaja setiap ada yang dibaca.

Itu juga ciri-ciri tersendiri sebab manusia ini berbeza wataknya. Kita suka dengar radio secara pasif... tak pernah talipon untuk berkongsi pendapat bukan sebab tak ada pendapat tapi sebab kita suka dengar pendapat orang. Walau kita tak setuju semua tapi kita suka mendengar. Kita baca macam-macam pun kita jarang komen melainkan ada hari-hari tertentu yang kita pun tak faham kenapa kita perlu komen. Tapi maksud kita sebenarnya adalah teruslah membaca sebab membaca itu adalah satu cara yang paling mudah untuk memastikan otak kita sentiasa berfikir. Pilihlah bahan bacaan yang baik. Komik pun apa salahnya kalau mesej baik. (Tapi awas ya, kita buat kajian dulu tentang minat remaja membaca komik/novel grafik dan yang seumpama dengannya....ada banyak bahan bacaan sebegini yang merosakkan! Ada banyak bahan lucah dan yang memang tidak wajar menjadi bahan bacaan pun! Dan bahan bacaan begini dijual banyak kedai kat malaysia ni! Tak percaya pergi la belek!)

Membaca juga merupakan satu cara menangani tekanan. Buku tak pandai berleter, tak bosan tengok kita (kita je yang bosan baca lama-lama), teman yang tak akan tinggalkan kita melainkan kita tinggalkan dia. Biasakanlah anak dan ahli keluarga kita membaca. Tapi jangan biarkan membaca dalam tandas. Tak bagus dan bukan adab yang baik. Tandas pun bukan tempat yang sesuai duduk lama-lama. Cari la buku yang dapat mendidik jiwa.

Mengapa kita tulis pasal membaca ye...sebab ada orang komen, kereta kita banyak buku, rumah kita banyak buku, kita asyik beli buku. Sebenarnya, kita tak pandai-pandai lagi sebab tu kita kena terus baca. Kita nak buat apa lagi kalau ada masa terluang. Tunggu kawan dalam kereta pun boleh membaca kan. Dan kita bosan juga baca buku, jadi kita baca la yang lain pulak. Dan kalau sampai masa kita pergi tinggalkan dunia membaca kita, buku jugalah harta yang kita tinggalkan untuk yang tinggal jika mereka suka nak baca. Kalau tak bagila kat sapa-sapa yang suka. Dah mati kita tak kisah.

Dan kepada semua yang mendidik jiwa kita dari apa yang kita baca, semoga ALLAH mengampuni dan merahmati anda semua....guru-guru kita tak kira apapun matapelajarannya!

Friday, February 5, 2010

Bolehkah dilelong harga diri?

Kita mengulangi membaca buku 30 wasiat Imam Syafie oleh Khairul Ghazali. (Dah agak lama tak keluar ke kedai buku!) Pada kulitnya tertulis “harga diri individu itu berdasarkan apa yang dilakukan bagi memperbaiki dirinya.” Kita cuba memahaminya dengan membaca berulang-ulang kali tapi kita tak pasti juga. Bila memikirkan harga diri, kita memikirkan berapakah nilai diri kita ini. Apakah matawang yang boleh kita guna untuk meletakkan nilai pada diri kita. Tadi kawan kita bercerita tentang seorang gadis yang melelong ‘daranya” untuk membiayai pengajian (boleh tengok kisah natalie dylan). Bukan perempuan muslim tapi dapat membiayai pelajarannya kerana lelongannya disambut dan ramai yang membida. Sudah tentu pembida yang paling tinggi dapat membeli ‘barang’ lelongan. Dan tak hairan ada pulak yang sanggup membayar sampai USD3.7 juta. Kalau si gadis menganggap dara sebagai suatu alat untuk memperoleh kekayaan.....dia menganggap bayaran mahar yang dibayar dalam perkahwinan juga sebenarnya adalah bayaran untuk kesucian gadis mengikut adat dahulu kala. Dia juga sebenarnya cuba memperbaiki taraf kehidupannya, memang salah dari segi agama, tapi dalam konteks masyarakat hari ini, kita terdengar nada-nada berbentuk kekaguman dengan tindakan ini. Adakah dia mempunyai harga diri?

Apakah tanda yang kita punya harga diri? Adakah dengan penghargaan orang kepada kita? Atau penghormatan orang atau apa yang kita rasa...bahawa diri kita berharga? Apakah harga diri seorang hamba kepada tuannya, seorang anak kepada ibubapanya, seorang isteri kepada suami atau suami kepada isteri, seorang teman kepada teman-temannya? Kita kah yang meletakkan harga diri sendiri? Dan kerapkali dalam perhubungan sesama manusia kita rasa kita tidak punya harga diri. Terpaksa merayu, beralah, menangis untuk mendapatkan sesuatu yang memang sepatutnya kita dapat,hak, tetapi tidak diberikan. Kita selalu merasa diri tidak beharga kerana kita tidak berdaya untuk menjaga anak sendiri, kita merasa tiada harga bila terpaksa merayu untuk berjumpa anak sendiri, sedang ketika dia dalam jagaan kita, kita tak pernah menghalang dia untuk berjumpa sesiapapun yang berhak dia temui.

Apa sebenarnya harga diri ini? Di manakah harga diri seorang wanita yang ditinggalkan suami tanpa sebarang alasan dan khabar berita. Adakah dengan menuntut fasakh dan mendapatkannya, dia mendapat harga dirinya kembali? Di mana harga diri seorang guru agama yang berdakwah pagi petang dan memberi didikan agama kepada ahli keluarga bila salah seorang anaknya sendiri menukar agama? Kita meraba-raba, mencari harga diri.

Tapi apabila kita fikirkan dan merenung kembali, harga diri itulah yang membezakan kita dengan orang lain yang tersungkur apabila dilanda ujian dan musibah. Orang yang punyai harga diri tak akan beralah sebelum berjuang. Orang yang punya harga diri akan berusaha mencari redha dalam redha...iaitu redha dengan segala ketentuan kerana mengharap redha Rabbnya. Harga diri itu pada kekuatan diri melawan segala kemahuan membalas perbuatan jahat orang, menjaga maruah walau kesempitan, sabar melalui segala kesedihan dan kesakitan, mengadu hanya pada Yang Berkuasa menyelesaikan segala masalah dan merungkai kekusutan. Harga diri itu pada meningkatnya keimanan dan ketakwaan setiap kali ditimpa musibah bukan sebaliknya. Harga diri itu terletak pada hati yang tenang dan jiwa yang tenang jua...percaya segala kesusahan akan berakhir, tiada kesedihan yang kekal, tiada luka yang tak akan sembuh dan percaya pasti ada pembelaan bagi setiap kezaliman yang dialami. Hanya dengan harga diri kita mampu melalui gelombang hidup, tak akan lemas dalam banjir duka, tak akan patah dihimpit sengsara. Dan harga diri memberi kekuatan untuk terus memperbaiki diri dan menerima hakikat kita tidak sempurna, banyak kekurangan lalu kita dapat memaafkan dan melupakan.

Itulah harga diri pada kita. Sesuatu yang tak mungkin kita tebus dengan matawang atau emas permata. Kita petik dari buku 30 wasiat Imam Syafie ini... “Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman bahawa mereka akan ditinggikan darjat dan diberi kemuliaan selagi mereka menunaikan perintah ALLAH...”

Semoga kita semua punya harga diri yang kalau kita sendiri tak tahu nilai...kita mengharap agar ALLAH menilainya tinggi dan berharga... semoga harganya meningkat setiap masa............

Wednesday, February 3, 2010

Sekadar Menulis

Hari ni kita kat Genting Highlands lagi sampai esok. Semalam kita datang sini petang. Lepas tu kita dapat bilik tingkat bawah, Alhamdulillah, tak payah panjat tangga. Kita pun malas nak memanjat. Bila kita sampai, kita tak adalah pergi tengok tandas, terus je kemas barang-barang lepas tu baring tunggu makan malam pukul 7. Yang tak syok, bila pukul 6.30 kita pun pergi la tengok tandas, alamak, malasla nak kita ceritakan. Alkisahnya, kita pun pergi kat kaunter depan nak mintak tukar bilik. Tetapi bilik yang baru, tandas nya tiada masalah, lampu dan tv pulak tak cukup sifat. Hu huh u…ujian untuk jam pertama di sini. Tak apalah, kita balik semula ke bilik pertama. Nasib baik, sebelah luar pintu kita ada tandas untuk tetamu, jadi kita guna yang itu saja. Hanya untuk sehari saja lagi. Cobaan….
Lepas tu, kita pergi ke dewan makan. Berkenalan dengan beberapa orang peserta kursus yang lain dan juga peserta kursus-kursus lain. Apapun, dalam berkenalan dan berbual kita melihat sesuatu yang kurang kita senangi. Kita melihat ke dalam diri, adakah kita pun macam tu juga.
Apa ya yang kita nak gambarkan? Bila kita naik ke satu tingkatan yang lebih tinggi! Contohnya, kalau dulu kerani, sekarang dah naik pangkat jadi penolong pengurus, dari guru biasa jadi guru besar, dari pensyarah jadi pengarah, dari pelajar jadi pengajar…..dan lain-lain yang seumpama dengannya. Kita duduk dan mendengar bagaimana sibuknya tugas baru dan bagaimana tugas itu memerlukan komitmen yang tinggi. Selepas itu kita juga mendengar bagaimana orang yang berpangkat menilai orang-orang bawahan yang suatu ketika dulu mungkin merupakan rakan sekerja…setaraf dan sewaktu dengannya.
Kita tidak menolak bahawa dengan pangkat kita juga mendapat tanggungjawab yang lebih. Kali ini kita melihat dan mendengar seseorang yang telah berjay a meningkatkan tahap pengajian dan berubah jawatan dan pangkat bercakap tentang orang-orang yang berada di tahap lamanya dulu. Namun begitu dalam mendengar celotehnya kita memikirkan adakah kita juga begitu? Hanya kerana kedudukan yang lebih baik sekarang, adakah itu bermakna kita adalah insan yang lebih baik daripada dahulu? Apakah ukuran yang kita guna untuk menilai kedudukan kita sebagai insan bukan sebagai ketua jabatan atau pangkat tertentu. Adakah jawatan baru memberi kita hak untuk mengutuk dan merendahkan orang yang belum naik? Kita tertanya-tanya.
Teringat pulak kita tentang anak yang dah berubah status anak menjadi ibu bapa. Adakah dengan menjadi ibu bapa kita setaraf dengan ibu bapa kita? Sudah tentu tidak! Ibu bapa walau siapa dan di mana mereka tetap mempunyai kedudukan yang tinggi. Bolehkah anak-anak yang dah menjadi ibu bapa mengutuk ibu ayah mereka…..Kita minta maaf kerana cakap macam ni, tapi kita rasa malu membaca kisah ibu bapa menyaman anak yang berpelajaran tinggi dan berjawatan pensyarah…..hu hu hu….kita malu ….. jangan lupa kita pun ada anak! Lepas tu bukankah kita juga menurunkan imu sekaligus mendidik…. Macamana kalau kita tak aplikasikan ilmu yang kita ada….bukan ilmu tu…hanya pengetahuan saja…
Apa pun balik pada apa yang kita dengar…. Apabila seseorang telah diberi latihan dan amanah untuk mendidik dan menyampaikan maklumat kepada orang lain, patutkah kita memandang rendah kepada orang-orang yang akan kita sampaikan pengetahuan itu? Kerana kita tahu kita sampaikan dan tidak semestinya mereka yang datang itu kurang ilmunya hanya kerana mereka menjadi peserta dalam kursus kita. Mengapa kita mesti membuat andaian bahawa kita akan berhadapan dengan masalah sebelum kita mula pun. Kita tak nafikan kemungkinan masalah akan timbul, tetapi patutkah kita berprasangka buruk? Entahlah. Mungkin orang yang bercakap mempunyai pengalaman lampau tapi bila kita tanya berapa lama dah dia dalam bidang sekarang katanya setahun setengah. Mungkin dia masih baru dan masih sedang menghayati….peningkatannya…entahlah. Mungkin kalau dah lama nanti, dia akan berfikiran lain pula.
Apapun kita tak baik menilai orang. Kita cuma memikirkan adakah kita juga seperti itu. Merasa diri sendiri lebih baik daripda orang lain, merasa orang lain banyak kekurangan, melihat orang lain kurang pandai, kurang sabar, kurang rajin….wallahualam. Kita bimbang jika perasaan begitu wujud kita sebenarnya sombong dan riyak. Betul kah penilaian yang kita buat terhadap diri sendiri dan betul kah penilaian yang kita buat terhadap orang lain?
Semoga kita menilai semula ibadah kita, keikhlasan kita, kejujuran kita, tanggungjawab kita dan segala amanah kita pada ALLAH dan pada semua….. jika tak sempurna adakah meningkat lebih baik dari dulu!