Tuesday, September 29, 2009

Bila yang ada hanya jasad yang belum mati.

Berlalulah sudah ramadhan, sebulan berpuasa. Tiba syawal kita rayakan dengan rasa gembira....! Betullah kata lagu tu. Sedih ramadhan berlalu pergi, gembira juga di hari raya. Dah masuk 11 syawal. Rumah terbuka di mana-mana. Dah jadi adat dan budaya orang Islam kat Malaysia ni macam tu walaupun hakikat sebenar aidil fitri ni sekejap sahaja. Tak apalah, perkara yang baik kalau tak bertentangan dengan agama dan mendatangkan dosa, buatlah!

Dan kita balik semula bekerja setelah cuti seminggu bersama keluarga dan perang melawan syaitan bermula lagi. Bukan hanya nafsu sahaja tapi dah ada lagi yang memang kerjanya menyusahkan hidup kita dunia dan akhirat. Kita cakap macam tu sebab kita rasa sunyinya sekarang. Dah seminggu beramai-ramai dengan sanak-saudara, lepas tu balik kepada rutin biasa... dok sorang-sorang. Emmm alahai, sunyi sepi. Terasalah dah lama aku ni dok sorang, rumah ni macam besar sangat! Masa ramadhan kita sorang jugak, tapi kita tak sedih pun!. Kenapa lepas raya ni kita rasa sunyi!

Walaupun kita cuba tenangkan hati dengan melihat keadaan orang lain. Bandingkan diri kita dengan orang lain, ingatkan diri kita tentang segala nikmat yang telah Tuhan berikan pada kita, nasihatkan diri bahawa segala perkara ada hikmahnya, Allah ada perancangan yang terbaik untuk kita, tapi kita tetap rasa sunyi dan sedar dengan jelas keseorangan kita ini. Pathetic betul kita rasa, tapi susah nak buang dari fikiran.

Kita bukan lupa bahawa mati itu sendiri, tapi kita belum mati kan?!! Teruk nya kita ni. Lepas tu kita cuba ingat tentang orang-orang yang buat macam-macam untuk dapat bersendirian, sebab tak ada privacy, kita sentiasa ada. Tetap jugak kita rasa sunyi. Apa dah jadi dengan kita haa??? Kita bayangkan kehidupan orang lain yang ada keluarga, suami, anak-pinak tapi tak bahagia, merana, sengsara, berusaha untuk melepaskan diri dari ikatan perkahwinan.... kita rasa sunyi jugak. Eee penatlah kita dengan rasa macam ni. Kelmarin kita bawak kereta kita, dan memandu sekeliling lembah kelang, sebab kita bosan dok kat rumah, tapi bila kita balik rumah kita sunyi juga!.

Mungkin, ini tanda-tanda yang kita dah mula masuk ke alam yang sunyi sepi... eeeee.. apalah sunyi sepi rumah kita ni!!! Lepas tu kita terkenanglah pada orang yang pernah ajak kita jadi teman hidupnya, alamak, kita tak minat la pulak. Kita rasa mungkin kesunyian kita tak akan hilang tapi akan ditambah pula dengan kebosanan, kita jadi tak sanggup untuk memikirkannya pun!!!

Mungkin hari ini adalah hari terakhir kita berperasaan begini sebab kita dah luahkannya. Esok mesti kita tak rasa begini lagi sebab dah cukup 3 hari kan?!! Okaylah, kita nak pergi sambung kerja kita. Semoga rasa sunyi ini berlalu pergi. Doakan kita ye!!

Wednesday, September 16, 2009

Mana tawaduk kita?

Ramadhan mula meninggalkan kita. Sayu pulak rasa hati ni. Mungkin bertemu lagi tahun depan? Wallahualam. Tertanya-tanya pada diri sendiri apakah kesempatan anugerah Ramadhan ini telah kita gunakan dengan sebaik-baiknya? Dapatkah kita segala macam ganjaran dan kebaikan yang Allah janjikan untuk semua hambaNya yang berusaha? Masalahnya kita tak tahu cukup atau tidak usaha kita. Fitrah kita sebagai manusia dan nafsu selalu sangat menyebabkan kita lalai dan leka, kita takut sangat kerugian.

Dalam melalui Ramadhan kita melihat berbagai-bagai cara umat Muhammad saw ini berusaha untuk memperbaiki diri. Semua orang puasa! Yang tak pernah kita lihat sembahyang pun berpuasa dengan baik aje, tak cakap hal orang, tak kacau orang, tak makan....Cuma tak sembahyang juga. Manalah tahu mungkin puasa yang baik itu akan membentuk juga hati untuk sembahyang... itu kita doakan.

Dalam mengejar pahala amalan sepanjang Ramadhan, kita juga melihat sesuatu yang kita rasa mungkin tidak disedari oleh mereka yang mengejar nilai pahala berganda ini. Janganlah kita lupa tentang penilaian Allah bukan sahaja setakat banyaknya amalan itu tetapi baiknya amalan itu. Kita melihat timbul pula suatu perangai memandang rendah terhadap orang yang buat terawih 8 dan berbangganya orang yang buat terawih 20. Ada pula yang marah sebab tak dapat buat sunat yang biasa buat sebelum Ramadhan kerana tok imam tak sempat-sempat nak buat terawih.

Kita jadi hairan pulak. Memang sunat terawih hanya ada pada bulan Ramadhan sahaja. Orang yang marah pun buat terawih dan bulan tak Ramadhan pun memang orang-orang ni kita lihat sebagai orang yang banyak amalan sunatnya selain tak pernah tinggal yang wajib. Malah ada yang keluar menyeru manusia ke jalan agama... tegakkan amal lakruf nahi mungkar. Tetapi bila kita dengar dan baca macam ada rasa riyak sedikit nadanya. Seolah-olah yang betul hanya apa yang dia buat sahaja, yang lain semua ada kekurangannya.

Mana pergi tawaduk kita? Mengapa merasa tak patut imam tinggalkan sunat ni untuk sunat itu, mengapa buat 8 tak buat 20, orang yang buat sunat kat rumah tak bagus, sebab terawih berjemaah lebih baik. Apakah skala yang kita gunakan untuk menilai bahawa orang-orang ni semuanya tak sempurna amalannya? Mengapa kita suka highlight benda-benda yang kurang dan sebut seolah-olah kita punya amalan yang paling betul?

Ada banyak benda yang baik kita boleh puji tapi kita pilih untuk mengeji perkara yang sedikit? Mana tawaduk kita? Yakinkah kita bahawa segala amalan kita itu diterima oleh Allah? Apakah kita tidak merasa perbuatan kita itu menunjukkan kesombongan yang kita tahu mungkin menjadi sebab kita tak masuk syurga. Bukankah Rasulullah saw pernah katakan bahawa tak akan masuk syurga orang yang ada sifat sombong dan takabbur dalam hatinya walaupun sedikit?

Mudahnya kita mengutuk, walau tak menamakan, walau tak ucapkan, walau tak tulis dengan pen tapi menaip dan menyebar pun sama jugalah. Cuba kita selami lubuk hati kita sendiri dan melihat dalam-dalam...apakah ini lambang tawaduk atau kita sudah merasa sedikit hebat dengan banyaknya amalan dan perbuatan baik yang kita lakukan? Untuk siapakah amalan kita itu? Jika untuk Allah mengapa pula kita yang menilainya? Ya lah kalau kita mula melihat orang semua tak kena dan semua tak betul, bukan kah kita menilai amalan kita sebagai yang paling betul?

Mungkin kita tak sedar dan tak perasan. Wahai saudara-saudara seagamaku atau sesiapa juga diluar sana, yang pasti adalah mati. Dan sebagai muslim kematian itu singkat sekali. Sekadar waktu nyawa dibawa pergi sehinggalah kita ditimbus pasir dan tanah. Selepas itu kita kan melalui dunia dan alam baru, alam barzah yang telah dialami saudara-saudara kita yang mendahului. Ada yang telah berada di sana beribu tahun lamanya. Alam dunia ini pendek sekali walaupun kita hidup 80 tahun. Dan alam barzah yang panjang itu belum tentu kita akan berehat dan tidur sebelum dibangkitkan ke alam akhirat, dihisab, melalui titian sirat, belum tahu syurga atau neraka. Yang ada dan pasti hanya dunia ini, sekarang! Mengapa kita terlalu sibuk melihat segala salah silap orang dalam amalannya? Bukankah kita semua mempunyai matlamat yang sama? Jika kita boleh tegur, tegurlah. Ada keupayaan memperbaiki, perbaikilah, ada kekuatan berdakwah, berdakwah. Ada ilmu untuk menyampaikan, sampaikanlah.

Tapi cubalah elakkan dari membandingkan mereka dengan kita sebagai contoh terbaik. Baik ke kita? Apakah kita yakin pasti bahawa segala amalan kita itu diterima? Yakinkah kita bahawa amalan orang itu kurang dari amalan kita? Marilah kita sama-sama mengejar kejayaan dengan saling ingat-mengingatkan bukan kutuk-mengutuk. Dan dihujung Ramadhan yang mulia ini mari kita doakan untuk semua umat seagama agar kita sama-sama berjaya.... semoga Allah angkat amal kita sebagai amal yang sempurna dan ikhlas keranaNya dan semoga kita sama-sama beroleh jaya di Akhirat sana. Amin!

Saturday, September 5, 2009

Pinjam meminjam

Perkataan meminjam ni selalu dikaitkan dengan ah long. Kelompok orang “baik” kerana dapat membantu orang-orang yang terdesak dan kesempitan. Tapi lepas tu dia mendesak dan menyempitkan! Ada macam-macam bentuk pinjaman dalam dunia ni. Kat malaysia ni pun kalau pinjaman bank tu ada berbagai-bagai. Islamik la tak islamik la. Lepas tu kita bukan setakat pinjam duit. Kadang-kadang kita pinjam baju, pinjam kain sembahyang, pinjam sejadah, pinjam pen, pinjam buku, pinjam kawan pun ada. Dalam cerita P. Ramlee kalau tak silap keluarga 69 pinjam isteri kawan pun ada. Dalam keadaan semasa boleh kata jumlah besar rakyat malaysia (tak tahu jumlah sebenar) memiliki harta melalui kaedah pinjam meminjam ni. Beli rumah pinjam, beli kereta pinjam, duit hantaran pinjam, beli baju raya pinjam dengan kredit kad... segala benda pinjam.

Apa yang kita miliki secara benarnya pun adalah pinjaman juga. Apalah sebenarnya yang menjadi milik mutlak kita. Hanya umur, masa dan rezeki. Tapi pemberian ini pula berbentuk amanah... bukan tabung amanah. Bila sebut amanah maka tanggungjawab terhadap setiap sesuatu itu adalah amat besar. Allah beri kepada umur tapi bukan untuk kita habiskan ikut sedap rasa aje. Allah bagi kita masa bukan untuk kita pergi enjoy sakan, shopping raya setiap hari di Ramadhan atau bercuti ke Sipadan atau tidur membesarkan badan atau mencari dan memikirkan soal apa nak makan! (Fuyoo! Berima la pulak... he he he rezeki!). Dan Allah beri rezeki berupa wang ringgit, harta benda dan segala macam untuk kita manfaatkan demi kebaikan kita semua makhluk dunia dan akhirat. Apa ye yang kita buat dengan semua tu? (Tanya diri sendiri ni!)

Berbalik kepada pinjaman, mudahnya mengatakan apa segala hanya setakat dunia sahaja. Dunia belaka! Selalu nasihatkan orang sabar dengan ujian sebab apa yang kita miliki sebenarnya Allah beri dan pinjam. Bila-bila Dia nak ambik dia akan ambik. Tapi bila kena batang hidung sendiri (walau tak mancung.. boleh tahan la) stress. Airmata menitik, reda tapi sedih. Ganjil sungguh. Bibir mudah mengucap sabar tapi yang remuk menderita, insan memandang punya berbagai tafsiran (ini lirik lagu- sempat gak nyanyi walau kita sedih). Kita selalu ingatkan yang semua Allah yang punya tapi kenapa hati kita sedih bila kehilangan atau terpisah dengan apa yang kita sayang. Lemahnya iman kita. Tapi kita percaya Allah tak pernah zalim dan Dia nak anugerahkan kita sesuatu yang hebat dan lebih baik dari apa yang kita ada... atau yang dah tak ada. Kereta baru ke, pangkat baru ke, duit banyak ke, apa-apa yang baru lah! Teringat lagi aruah ustaz Asri.... apa milik kita, tidak ada milik kita, semua yang ada Allah yang punya.... tapi airmata kita jatuh juga!
Teringat sambungan lagu yang kita nyanyi sekerat aje, sampai tak perasan dah masuk waktu berbuka..
‘segala takdir terimalah dengan hati terbuka, walau tersiksa ada hikmahnya. Harus ada rasa bersyukur disetiap kali ujian menjelma, itu jelasnya membuktikan Allah mengasihimu setiap masa.........Allah rindu mendengarkan rintihan mu berpanjangan, bersyukurlah dan tabahlah, menghadapi.....’

Mentarbiahkan diri sendiri dan sebenarnya harus selalu mentalkin diri sendiri juga. Tiada apa yang kekal bersama kita. Kalau tak berpisah semasa hidup, apabila mati terpisah juga kan!

Thursday, September 3, 2009

Ego, ego, egoist….

Dulu zaman baru-baru keluar dari alam jahiliah kita (taklah macam jahiliah arab sebelum Rasulullah s.a.w)… ada tengok drama yang ada lagu tema ni. Yang lain kita tak ingat, ceritanya ke, lagunya ke, pelakonnya ke…. Tiga patah kata je yang kita ingat. Apa pun nak cakap fasal ego sebab pagi tadi masa nak keluar pergi kerja sebelum tutup tv terdengar ustaz tu sebut tentang ego manusia ni. So, kita ingat kita nak kongsilah sikit.

Selalunya sifat ego ni di kaitkan dengan orang lelaki terutamanya suami dan bapa kat rumah. Ada lelaki yang bergelar suami merasa dia adalah pemimpin yang tertinggi di dalam rumahnya jadi hanya cakap dan fikiran dia sahaja yang perlu diterima. Kadang-kadang fikiran dia tu macam budak yang tak sekolah tapi sebab dia ego, dia tetap pertahankan keegoannya itu. Nak mudah bodoh dan sombong!

Tapi bukan lelaki je ego sebenarnya, orang perempuan pun ramai yang ego dan ego yang tinggi tahapnya terutama jika dia berpelajaran tinggi, berjawatan besar dan mentadbir pekerja yang ramai. Di pejabat, nauzubillah, sombong yang bertahap tinggi juga; balik ke rumah pun ego dengan suami dan keluarga. Kadang-kadang suami kurang pulak dari segi pelajaran, jawatan dan gaji, lagilah sombong yang teramat sangat…. Jadi kadang-kadang dia layan suami macam budak pejabat dan budak dispatch sahaja. (Hairan jugak masa nak nikah dulu tak kisah aje.. dan ada juga lelaki yang sanggup dilayan sebegitu rupa janji hidup senang dengan hasil isteri…. Dayus jugak tu).

Ada pula orang yang lebih tua merasa mereka lebih banyak pengalaman sebab dah hidup lama… dah banyak makan garam (tu yang darah tinggi semacam aje tu), jadi tak payah dengar cakap orang muda yang masih mentah… hijau. Tapi kalau makan ulam nak yang muda-muda sebab lembut dan sedap, nak kahwin cari yang muda, bergetah…. Emmm entahlah… sombong juga tu.

Ada pula pemimpin yang ego kerana merasa diri baik dan hebat sebab tu jadi pemimpin. Ahli politik dengan egonya, pak imam pun ada yang ego rasa dia yang paling alim dan serba tahu…. Segala macam ego, segala macam orang, seribu satu macam kesombongan!

Dan ego yang paling masyhur dalam sejarah alam semesta adalah ego iblis yang degil tak mahu sujud kepada Nabi Adam sebagaimana yang Allah perintahkan sehingga terhumban keluar dari syurga dan confirmed masuk neraka... kesombongan tahap gaban..(gaban tu maknanya extremely high... yang biasa kita cakap... he he he). Walaupun Nabi Adam a.s pun akhirnya terkeluar dari syurga, baginda diampunkan sebab bukan dia ego dan sombong, dia dikalahkan oleh hawa nafsu dan godaan iblis yang sombong tu! (Jahat tau nafsu kita ni....)

Sebenarnya kita sama-samalah mengelakkan diri dari bersifat ego dan sombong ni. Apalah yang hebat pada kita dan apakah kehebatan kita? Kalau kita kuat boleh angkat beras 10kg sebanyak 60 kali, bolehkah kita angkat diri kita sendiri dengan tangan kita tanpa apa-apa bantuan peralatan lain? Kalau mata kita terang boleh cam kawan kita yang curi-curi makan kat kedai mamak bulan puasa di belakang tabir, boleh ke kita nampak salur darah kita yang dah nak tersumbat tanpa bantuan alat atau orang lain dengan mata yang sama? Kalau kita boleh dengar tapak kaki isteri kita masuk bilik (dah tentu nak mintak tolong la tu) cepat-cepat kita pura-pura tidor, boleh dengar ke apa kata hati isteri kita bila dia nampak kita tidor? Boleh ke kita kenyang kalau tak makan 10 hari lepas tu buat kerja tak berhenti dan tak tidor hanya 48 jam sahaja tanpa rasa letih dan lapar? Boleh ke? Boleh ke kita pesan kat mulut jangan menguap hari ni, pesan kat hidung jangan bersin, ingatkan mata kita jangan berkelip? Boleh ke?

Kalau pergerakan kita sendiri pun diluar kawalan kita, kat mana kita nak letak rasa sombong dan ego tu? Sebab kita pandai lebih daripada orang lain, kita dah ada Ph. D, ijazah sarjana, ijazah dasar.... so, kita boleh sombong? Sebab kita cerdik? Adakah kita letak dan pilih sendiri otak kita? Kita ke yang tentukan siapa ibu bapa kita? Kita ke yang rancang nak jadi anak nombor berapa? Kita ke? Sebab kita rajin belajar, jadi kita berjaya, orang lain malas, so kita bolehlah sombong! Bila masa kita belajar tu? Siang atau malam? Kita ke yang menukar siang kepada malam, malam kepada siang? Kita ke yang menentukan pusingan waktu? Kita ke yang arah mata jangan kabur, badan jangan letih, otak supaya ingat? Kita ke? Adakah kita buat perancangan kehidupan sebaik sahaja kita lahir dan segalanya kita kawal tanpa ada sedikit gangguan pun?

Hebatkah kita? Apakah kehebatan kita? Boleh ke kita sombong dan ego? Dan kalau kita ada sedikit sahaja kesombongan kepada siapakah sebenarnya kita sombong tu?

Banyak sangatlah soalan. Jawablah sendiri ye! Wallahualam!

Wednesday, September 2, 2009

Kita pun kurang ilmu juga!

Hari ni ada seseorang letak sesuatu dalam kotak surat kita. Tapi bila kita baca kita geram pulak di Ramadan yang mulia ni. Dah bertahun-tahun lamanya benda yang sama ni tersebar dan dah macam-macam orang cakap tapi masih ada yang buat juga. Bukan surat berantai katanya tapi surat berangkai! Isyk, isyk, isyk.... stress jugak kita.
Memang bagus mesej yang ada dalam mimpi Sheikh Qadir Al Jailani (kalau betul lah dia yang cerita ni).. tapi mengapalah nak dikaitkan dengan perbuatan memanjangkan surat yang diterima sebagai satu perkara mengelak musibah! Heran sungguh dengan orang yang takut bencana datang kerana tak buat salinan dan bagi kat orang lain.

Cuba guna point yang ada dalam mimpi tu (kalau betullah ia mimpi) untuk sebagai tazkirah Ramadan. Iaitu:-

1. Bahayanya seorang isteri yang tidak mendengar kata-kata suami yang bertaqwa.
2. Azab yang akan dihadapi orang kaya yang tidak kasihan belas dan bertimbang rasa kepada orang miskin.
3. Ancaman Allah kepada orang yang meninggalkan solat, puasa, zakat dan haji walaupun mereka mampu melaksanakannya.


Mengapalah dalam surat tu nak bagi amaran pulak kalau tak dipanjangkan, tunggulah saat yang akan datang bila musibah melanda dan kita menyesal kerana mengabaikan surat tu.

Tiada suatu apapun boleh memudaratkan kita melainkan Allah dan apa-apa yang Allah izinkan. Apakata duit yang kita guna buat salinan fotostat tu bagi sedekah bulan Ramadan ni. Kalau fotostat guna harta pejabat, itu memang patut takut dan perlu diberi surat berantai.... iaitu amaran tentang halusnya perkiraan Allah sehingga kebaikan sebesar zarah dibalas apatah lagi kejahatan berupa berrim-rim kertas ofis dan dakwat pejabat kita guna untuk perkara yang boleh merosakkan aqidah dan boleh menyebabkan syirik berlaku.

Kalau niat baik untuk mengingatkan kawan-kawan, edit ajela part yang berbunyi amaran yang tak mengancam pun! Janganlah main forward dan pass aje kat sesiapa.... fikirlah ye!